Kadang kala untuk memutuskan sekolah menengah mana yang ingin dipilih bukanlah mudah kerana terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Terdapat juga pelbagai jenis sekolah yang boleh dipilih. Memahami betapa pentingnya peralihan ke sekolah menengah untuk pelajar dan ibu bapa, kami telah menyediakan panduan ringkas tentang laluan pendidikan sejurus tamat sekolah rendah.

Pada asasnya, terdapat tiga jenis sekolah menengah di Malaysia, iaitu:

  1. Sekolah Menengah Kebangsaan (mengikut kurikulum dan peperiksaan Kebangsaan)
  2. Sekolah Menengah Vernakular Bebas (biasanya Sekolah Persendirian Cina mengikuti sukatan pelajaran China atau Taiwan) 
  3. Sekolah Antarabangsa (mengikut sukatan pelajaran antarabangsa yang berbeza)

Untuk memudahkannya buat anda, ayuh kita lihat satu persatu jenis-jenis sekolah yang ada di Malaysia.

Education Pathways

Sekolah Menengah Kebangsaan

Sekolah Kebangsaan Awam 

Sekolah Menengah Kebangsaan atau sekolah kerajaan adalah jenis sekolah yang paling biasa di temui di Malaysia dengan lebih daripada 2400 sekolah kesemuanya (Sumber: Kementerian Pendidikan). Sekolah-sekolah ini mengikuti Kurikulum Nasional yang juga dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu untuk Sekolah Menengah atau Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Bahasa penghantar di sekolah kerajaan ialah Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris diajar sebagai bahasa kedua.

Memandangkan sekolah kebangsaan sepenuhnya dibiayai oleh kerajaan, hanya yuran minimum  dikenakan ke atas ibu bapa. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna kualiti pendidikan di sekolah awam adalah lebih rendah daripada sekolah yang memerlukan ibu bapa membayar yuran yang tinggi. Setiap beberapa tahun, kerajaan akan membuat Pelan Pembangunan Pendidikan untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan di Malaysia. Terdapat juga banyak sekolah awam elit dan kluster yang terbukti dapat menghasilkan pelajar yang kompeten dan holistik, bukan sahaja dalam akademik tetapi dari segenap aspek. Sesetengah sekolah ini sangat selektif dan hanya menerima mereka yang mempunyai prestasi akademik yang bagus di sekolah rendah.

Pelajar yang mengikuti Kurikulum Kebangsaan dikehendaki untuk mengambil  Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan peperiksaan berpusat yang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Tingkatan 5.

PT3 mula diperkenalkan pada 2014 untuk menjadikan sistem pendidikan lebih komprehensif. Pelajar Tingkatan 3 akan dinilai melalui penilaian berikut:

  • Kajian kes – hanya untuk subjek Geografi dan Sejarah
  • Ujian lisan dan pendengaran untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
  • Ujian bertulis untuk subjek lain

Kemudiannya di Tingkatan 5 pelajar akan menduduki peperiksaan SPM, peperiksaan kebangsaan yang setara dengan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) di England. Sijil ini adalah prasyarat untuk mendaftar ke pendidikan tinggi di Malaysia. Biasanya terdapat 6 mata pelajaran wajib yang perlu diambil semasa SPM dengan beberapa subjek elektif atau teras yang boleh diambil mengikut kursus elektif pelajar.

Sekolah Bantuan Kerajaan

Sekolah bantuan kerajaan adalah sekolah yang menerima pembiayaan kerajaan dan biasanya dibina di atas tanah yang disumbangkan oleh individu atau syarikat swasta. Kadang-kadang, mereka juga mempunyai sistem sekolah yang berbeza.

Antara sekolah bantuan kerajaan termasuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan India, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Agama.

1) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India

Kelas di SJK(T)

Bilik darjah YTL’s Frog di SJK(T) Ladang Edinburgh’s. Sumber: NEWSTREAM ASIA

Sama seperti sekolah kebangsaan awam, sekolah jenis kebangsaan Cina dan India mengikuti Kurikulum Kebangsaan, bermakna pelajar juga akan dinilai melalui PT3 dan SPM. Walaubagaimanapun, perbezaan paling yang ketara ialah penggunaan bahasa pengantarnya, iaitu Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia masih wajib dipelajari di sekolah. 

Walaupun sekolah-sekolah vernakular ditubuhkan untuk mendukung pengunaan bahasa dan nilai-nilai kaum Cina dan India di sekolah, kaum-kaum lain juga boleh memohon kepada sekolah-sekolah ini dengan syarat mereka mempelajari bahasa pengantar di sekolah tersebut. 

2) Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Hari Kecemerlangan SBPI Sabak Bernam

Hari Kecemerlangan SBPI Sabak Bernam. Sumber: ikim

Juga dikenali sebagai Sekolah Sains, sekolah elit ini seringkali hanya menerima pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kepimpinan serta sukan. Pada mulanya diperkenalkan untuk menyokong Bumiputera luar bandar yang bagus dalam pelajaran, sekolah ini biasanya terdiri daripada 90 peratus Bumiputera-Melayu, dan 10 peratus daripada mereka yang berasal dari kaum lain. Pada masa penulisan, terdapat 68 SBP di seluruh Malaysia.

SBP biasanya mempunyai jadual yang ketat di mana pelajar dikehendaki pergi untuk kelas persediaan selepas waktu persekolahan, yang memerlukan pelajar mempunyai disiplin yang baik. Kakitangan pengajar di sekolah-sekolah ini juga mempunyai reputasi akademik yang baik kerana SBP sering menjadi menyasarkan pencapaian terbaik di dalam negara. 

Mereka yang bercita-cita untuk mendaftar ke SBP bukan hanya perlu mempamerkan keputusan akademik yang cemerlang dalam UPSR, mereka juga perlu menunjukkan prestasi yang baik di dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) di mana mereka akan di nilai dari segi aktiviti sukan dan kokurikulum, tingkah laku kelas , serta ujian psikometrik.

3) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Hampir sama seperti SBP, MRSM ialah sekolah berasrama yang diwujudkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pelajar yang berjaya memasuki sekolah-sekolah ini biasanya terdiri daripada pelajar yang mempunyai rekod cemerlang dalam UPSR atau PT3 serta aktif dalam aktiviti kurikulum.

Apa yang membezakan MRSM dengan SBP ialah, kuota MRSM untuk pelajar bukan bumiputera adalah 30 peratus. MRSM juga menggunakan purata mata gred (GPA) dalam menilai pelajar prestasi mereka. Kaedah penilaian serupa digunakan oleh kebanyakan institusi pendidikan tinggi. Pelajar yang mendapat purata mata gred kumulatif (CGPA) sebanyak 2.00 dalam semester akhir mereka akan dianugerahkan sijil pengijazahan.

Selain itu, setiap MRSM juga menawarkan kursus yang berlainan:

  • MRSM Premier (mengintegrasikan Kurikulum Kebangsaan dan Mara)
  • MRSM Cambridge-IGCSE (pelajar mengambil kedua-dua SPM dan peperiksaan IGCSE)
  • Program MRSM IB-Middle Years (mengikuti sukatan pelajaran International Baccalaureate)
  •  MRSM Teknikal (pelajar-pelajar belajar modul Sains Teknikal)
  • MRSM Ulul Albab (termasuk pengajaran Quran, ekuestrian dan memanah)

4) Sekolah Agama

‘Sekolah agama’ atau sekolah-sekolah Islam dan mubaligh (contohnya Katolik dan Methodist), juga mengikuti Kurikulum Kebangsaan. Perbezaan utama ialah sekolah-sekolah ini biasanya akan mempromosikan nilai-nilai moral, pengajaran dan gaya hidup Al-Quran dan Bible.

Di sekolah agama, biasanya pelajar perlu mengambil mata pelajaran tambahan seperti pengajian Islam (Tasawwur), pengajian Quran, dan Syariah Islamiah (Undang-undang Islam). Biasanya sekolah mubaligh tidak mewajibkan pelajar mereka mengambil Pengetahuan Alkitab (i.e. Bible Knowledge) sebagai subjek, tetapi pelajar diberi pilihan untuk mengambilnya sekiranya mereka berminat.

5) Sekolah Pendidikan Khas

Dibina khusus untuk pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas atau ketidakupayaan pembelajaran seperti kelewatan pertuturan dan autisme, sekolah jenis ini memberikan perhatian yang lebih kepada pelajar mereka untuk memastikan pelajar dapat menyesuaikan dengan pelajaran dan persekitaran mereka.

Umumnya, kakitangan pengajar di sekolah-sekolah ini sangat terlatih dalam menjalankan program untuk pelajar-pelajar keperluan khas. Pelajar-pelajar di sekolah pendidikan khas juga diberi tempoh lanjutan untuk mereka menyelesaikan pengajian mereka.

Sekolah Kebangsaan Swasta

Kanak-kanak memegang Bendera

Sambutan Hari Kemerdekaan di Sekolah Persendirian Beaconhouse Sri Lethia. Sumber: Facebook Beaconhouse Sri Lethia Private School

Sekolah persendirian adalah sekolah di Malaysia yang menawarkan Kurikulum Kebangsaan Malaysia di peringkat rendah KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) dan tahap KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah). Kurikulum ini telah dikaji bagi memastikan pelajar mempunyai pengetahuan, kemahiran dan berkelengkapan untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Di samping itu, terdapat penekanan dalam pemupukan pemikiran kreatif, berinovasi, berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Sekolah swasta tidak dibiayai mahupun ditadbir kerajaan. Sekolah ini selalunya akan dikawal oleh sebuah badan swasta dan operasinya dibiayai secara sebahagian atau sepenuhnya oleh yuran pengajian para pelajarnya. Oleh kerana itu, yuran di sekolah swasta biasanya lebih tinggi daripada sekolah awam. Maka tidak hairanlah jika kemudahan dan teknologi yang ada di sekolah swasta lebih baik berbanding dengan sekolah awam.

Sekolah swasta terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa. Selain dari sekolah harian, terdapat sekolah swasta yang juga menawarkan kemudahan asrama penuh untuk pelajar. Mereka menawarkan pelbagai mata pelajaran elektif, aktiviti kokurikulum, sukan dan kemudahan pembelajaran.

Kebanyakan sekolah swasta mempunyai kelas yang lebih kecil dan tempoh pengajian yang lebih lama. Ini membolehkan guru memberi perhatian yang lebih kepada setiap pelajar. Metodologi ini penting dalam memastikan pembelajaran interaktif berlaku di setiap peringkat. Guru yang bekerja di sekolah swasta juga cenderung untuk dibayar lebih tinggi daripada di sekolah awam yang mungkin membawa kepada pengajaran yang berkualiti. Sesetengah ibu bapa memilih untuk membayar lebih banyak untuk pendidikan anak mereka untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Walaupun mengikuti kurikulum kebangsaan Malaysia, sekolah swasta sangat menekankan penggunaan bahasa Inggeris. Seringkali, pelajar yang berminat untuk ke sekolah swasta perlu menjalani penilaian dan temu duga.

Pendek kata, sekolah swasta mengikuti kurikulum yang sama seperti sekolah kerajaan. Namun begitu, kaedah penyampaian diputuskan oleh lembaga sekolah. Pentadbir sekolah dapat menentukan yuran sekolah dan kriteria kemasukan. Sekolah ini juga berhak memutuskan sama ada seorang pelajar memenuhi keperluan kemasukan atau tidak. Terdapat juga kriteria untuk pengambilan guru bagi memastikan kualiti pengajaran yang baik.

Pelajar sekolah swasta juga perlu menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Tingkatan 5. 

Yuran persekolahan swasta boleh agak mahal kerana mereka dibiayai oleh syarikat atau organisasi swasta dan menerima bantuan kewangan atau subsidi daripada ibu bapa. Namun, mereka menjanjikan yang terbaik dari segi tenaga pengajar, kemudahan sekolah dan persekitaran pembelajaran untuk meningkatkan lagi pertumbuhan dan perkembangan kemahiran pelajar.

Ringkasnya, melabur dalam pendidikan yang baik untuk kanak-kanak dapat membantu mereka mendapatkan pengalaman pembelajaran terbaik untuk kehidupan akademik yang lebih baik sekarang dan masa depan.

Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut jenis sekolah vernakular persendirian dan jenis sekolah antarabangsa di Malaysia, klik di link di bawah:

Baca: Sekolah Vernakular Persendirian di Malaysia

Baca: Kurikulum Antarabangsa di Malaysia (Bahagian 1)

Baca: Kurikulum Antarabangsa di Malaysia (Bahagian 2)