Anak anda sudahpun berada di sekolah rendah namun anda menyedari bahawa dia mempunyai kesukaran dalam menulis. Tulisannya bukan saja sukar untuk dibaca, ejaannya sering kali salah walaupun untuk perkataan yang mudah dan dia juga mempunyai masalah untuk menjangka jarak di antara huruf dengan huruf serta nombor. Anda tahu anak anda bukannya mengambil sikap acuh tidak acuh apabila menulis, tetapi menulis kelihatan .. sangat sukar baginya. Apa yang anda tidak tahu adalah, mungkin anak anda mengalami masalah pembelajaran yang dikenali sebagai DISGRAFIA.

Disgrafia adalah masalah pembelajaran yang menjejaskan keupayaan menulis, menaip dan kemampuan mengeja. 

Anak-anak dengan keadaan ini sering mempunyai masalah dalam tiga bahagian yakni kemahiran visual-spatial, kemahiran motor halus serta pemprosesan bahasa. Walau bagaimanapun, sama seperti disleksia, disgrafia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kepintaran. Seorang kanak-kanak disgrafik boleh menjadi sangat bijak tetapi mempunyai kesukaran untuk menyampaikan ideanya melalui penulisan.

Untuk memahami disgrafia dengan lebih lanjut, mari kita lihat apakah simptom-simptomnya, bagaimana permasalahan ini boleh memberi kesan kepada anak-anak dan bagaimana kita boleh membantu mereka sebagai ibu bapa dan guru.

Gadis rambut pendek

 

Kemahiran visual-spatial 

  • Ketidakupayaan memahami konsep jarak. Mereka mendapati menulis dalam secara lurus dan teratur sangat sukar. 
  • Penulisan aksara yang tidak konsisten. Saiz aksara kadang kala tunggang langgang, dan terdapat percampuran antara huruf besar dan huruf kecil di dalam ejaan.
  • Kesukaran menyalin maklumat visual dengan tepat menyebabkan tulisan mereka kelihatan tidak lengkap dan tidak dapat dibaca dalam beberapa kes.

 

Kemahiran motor halus

Kanak-kanak memegang pensil

Normal bagi kanak-kanak di bawah umur 3 tahun untuk kekok apabila memegang alat tulis, tetapi sekiranya ini masih berlanjutan sehingga anak anda mencecah 5 tahum, anda mungkin mahu mendapatkan pendapat mereka yang lebih arif.

  • Kemahiran motor halus yang rendah menjadikannya sukar untuk kanak-kanak disgrafik memegang pensil atau alat penulisan lain dengan betul. Anda juga mungkin melihat mereka menulis dengan satu tangan sambil menahan kertas mereka dengan tangan yang lain bagi memastikan kertas tersebut tidak bergerak-gerak.
  • Kanak-kanak disgrafik juga akan menghadapi masalah dengan mengekalkan postur badan dan posisi lengan yang betul ketika menulis, menyebabkan proses penulisan sangat lambat dan memenatkan bagi mereka. 

 

Pemprosesan bahasa

Anda boleh perhatikan banyak kesalahan ejaan dan huruf yang tidak lengkap. Pelajar ini juga tidak berupaya untuk membezakan huruf ‘d’ dengan ‘b’ dengan betul. Sumber: EduBlox Online Tutor.

  • Kesedaran fonologi yang lemah. Mereka mendapatinya sangat sukar untuk menafsir sesuatu bunyi (lisan) kepada huruf (tulisan). Untuk menghasilkan sesuatu huruf / nombor terus dari ingatan tanpa merujuk kepada sesuatu yang lain (menyalin) juga payah bagi mereka.
  • Kesalahan ejaan yang kerap merupakan salah satu ciri unik pelajar disgrafik. Ini terutamanya menjadi masalah sesetengah bahasa seperti bahasa Inggeris dan Perancis di mana ejaan tidak semestinya mencerminkan bunyi huruf tersebut
  • Disgrafia juga menyebabkan kesulitan dalam mengatur buah fikiran ketika menulis, sekaligus menyebabkan penggunaan ayat yang terlalu panjang tanpa tanda baca yang betul serta huruf yang tidak lengkap. Ini kemudiannya menjadikan proses semakan sukar untuk mereka kerana mereka sendiri mungkin tidak memahami apa yang ditulis. 

 

Walaupun peratus pelajar yang dianggarkan mengalami kesulitan menulis di sekolah boleh mencecah 20 peratus (Reynolds, 2007), kes disgrafia sering kurang mendapat perhatian kerana tidak banyak penyelidikan telah dilakukan mengenainya. Maka, umum kurang tahu akan gejala masalah pembelajaran ini. Hal ini boleh memudaratkan pelajar kerana tanpa disedari, ibu bapa dan guru mungkin berfikiran bahawa pelajar tersebut hanya malas atau tidak meletakkan usaha yang mencukupi kerana mereka tidak dapat menyelesaikan nota dan kerja rumah mereka.

Dengan ini, selain daripada memberikan mereka perhatian, kita juga harus berusaha untuk membantu mereka, dan berikut adalah langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk memudahkan pembelajaran anak-anak disgrafik:

Hantar mereka ke ahli terapi pekerjaan atau sekolah yang boleh menampung pelajar dengan kesukaran pembelajaran

Melalui terapi pekerjaan,pelajar disgrafik dapat mengembangkan ketangkasan dan kemahiran motor halus menerusi latihan berbeza yang dibuat khusus untuk mereka. Terdapat juga beberapa sekolah seperti Sekolah Antarabangsa Nexus dan Sekolah Antarabangsa Nilai yang terkenal dengan kelas keperluan khas mereka. 

Bercakap dengan guru mereka

Adalah sangat penting bagi ibu bapa untuk duduk dan membincangkan perihal kanak-kanak dengan guru mereka supaya si guru boleh cuba mengubah suai rancangan pelajaran sesuai dengan keperluan pelajar tersebut. Pelajar disgrafik biasanya memerlukan masa lanjutan untuk latihan menulis. Terdapat juga beberapa alat penulisan dan bantuan mengajar yang boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan menulis kanak-kanak di dalam dan di luar kelas.

Berfikir di luar kotak – manipulasi deria mereka yang lain!

Bagi membantu pelajar disgrafik untuk menulis, gunakan kertas yang mempunyai garisan menaik supaya mereka boleh rasa sekiranya mereka tidak menulis di atas garisan. Anda juga boleh membantu mereka untuk ‘merasa’ huruf dengan menulis huruf tersebut di atas telapak tangan mereka atau mencipta huruf tersebut menggunakan tanah liat. Dengan cara, ini, anda tidak hanya bergantung kepada deria lihat tetapi meletakkan fokus yang lebih kepada deria sentuh. Selain itu, anda juga boleh memanipulasi deria percakapan mereka dengan mendedahkan mereka kepada perisian yang boleh mentafsir percakapan kepada teks. Sebaiknya, beri rangsangan kepada anak-anak ini untuk berlatih memberikan idea mereka secara lisan dahulu supaya mereka tidak terlalu tertekan untuk berkongsi idea mereka melalui penulisan.

Ajarkan mereka tulisan berangkai

Tulisan cetak (seperti apa yang anda sedang baca sekarang) sedikit sukar untuk dimahiri oleh pelajar disgrafik kerana ianya memerlukan mereka untuk menulis, mengangkat dan meletakkan mata pena mereka kembali setiap kali mereka ingin menulis perkataan yang baru. Tulisan berangkai pula membenarkan mata pena lebih lama di atas muka surat, menjadikannya kurang memenatkan bagi mereka. Anda boleh mendapatkan beberapa sumber berguna daripada Learning Without Tears. 

Gunakan penyusun grafik dan kertas dengan garisan besar

Salah satu cabaran terbesar bagi pelajar disgrafik ialah untuk menyusun buah fikiran mereka secara teratur. Penggunaan penyusun grafik dapat membantu mengurangkan masalah ini dengan memecahkan tugasan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil. Garisan yang lebih besar juga memudahkan kanak-kanak yang menghidapi disgrafia untuk memperbaiki kemahiran motor halus mereka.

Untuk mendapat gambaran bagaimana disgrafia boleh menjadi cabaran bagi mereka yang menghidapinya, cuba tulis dengan tangan anda yang bukan dominan. Anda mungkin mendapatinya susah untuk menulis dengan kemas dan laju seperti kebiasaannya, walaupun anda berusaha bersungguh-sungguh. Namun, ini bukanlah perkara yang paling mencabar bagi seorang disgrafik. Setidaknya, anda masih boleh menyusun idea anda di dalam otak secara teratur dan boleh menterjemahkannya dalam bentuk penulisan. Keupayaan ini sangat sukar untuk dimimik mereka yang mempunyai disgrafia. Dengan terapi, penggunaan teknologi dan masa, mereka boleh memperbaiki keadaan mereka tetapi yang paling penting ialah dorongan dan sokongan oleh mereka yang terdekat. 

Nota editor: Sekiranya anda mengesyaki bahawa si kecil anda mempunyai masalah pembelajaran, usah takut untuk mendapatkan bantuan. Mungkin anda boleh menempah ujian saringan dengan pakar terapi di We Rock The Spectrum Kids’ Gym supaya anda tahu dengan lebih lanjut lagi tentang keadaan anak anda. Selalunya masalah pembelajaran dapat dikurangkan dengan banyak jika tindakan awal dan susulan diambil ibu bapa.