“Jangan sesekali mula bercinta sebelum kamu tamat pembelajaran di universiti!” Saya masih ingat lagi pesanan ini daripada ibu bapa saya selepas saja saya akil baligh. Mereka akan mengintip saya apabila saya keluar bersama kawan-kawan, dan disebabkan itulah saya berasa lebih takut dan tidak ingin berkongsi apa-apa cerita dengan mereka. Mereka juga tidak tahu tentang kali pertama saya putus cinta, sedangkan saya sangat memerlukan mereka ketika itu.  Ibu bapa mungkin fikir yang anak mereka sedang memberontak apabila mereka berahsia, tetapi selalunya mereka bertindak sedemikian kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Selalunya ibu bapa akan berasa gelisah apabila anak mereka sedang membesar. Namun, adalah normal bagi remaja untuk meneroka dan mengetahui apakah rasanya untuk menjalinkan hubungan, tidak kiralah sama ada ianya hanya hubungan persabahatan mahupun percintaan. Sebagai ibu bapa, mungkin anda tidak gemar akan idea anak anda bercinta, tetapi adalah penting untuk ibu bapa berada di sisi anak mereka sepanjang proses tersebut. Mereka memerlukan sokongan dan mungkin juga petua kerana mereka mungkin masih tidak memahami apakah maksud bercinta, dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Tetapi sekiranya mereka mula bercinta, apakah yang perlu anda lakukan?

Mindset Anda

Anak anda tidak akan kekal kanak-kanak sampai bila-bila. Mereka akan membesar, bercinta dan kemudiannya hidup dengan insan lain. Ini tidak akan dapat dielakkan. Maka, anda perlu menerima perubahan ini dan galakkan anak anda untuk berkongsi perasaan mereka kepada anda. Anda tidak mahu mereka hanya belajar tentang ‘peraturan bercinta’ dari kawan sebaya mereka ataupun media tanpa sebarang input daripada anda!

Kita harus akui yang zaman percintaan memainkan peranan yang penting dalam pembesaran seorang remaja. Seperti yang kita tahu, untuk mendapatkan satu hubungan yang baik dan sihat tidaklah begitu mudah. Ia memerlukan banyak latihan, percubaan, kesilapan dan pembelajaran dari pengalaman. Dari pengalaman bercinta dan patah hati lah,remaja akan belajar untuk menjadi lebih yakin ketika bergaul dengan jantina berbeza, dan  bagaimanakah cara untuk mengawal emosi dengan sebaiknya. Apabila mereka belajar dari kesilapan, mereka akan mengetahui  apakah yang terbaik untuk diri mereka.

Ketahui Apakah Maksud ‘Bercinta’ Kepada Anak Anda

“Percintaan” bagi anda dan anak anda mungkin berbeza. Seorang gadis berusia 10 tahun mungkin akan berkata, “Ahmad ialah teman lelaki saya”, tetapi apakah yang dia maksudkan? Pada usianya, dia mungkin menganggap duduk bersama di dalam kelas atau pada waktu rehat adalah “bercinta”. Remaja pula mungkin berfikir bahawa mereka sedang bercinta walaupun mereka hanya menghantar mesej secara dalam talian dan berpegang tangan ketika di sekolah.

Perkara pertama yang perlu dibuat adalah mengenalpasti definisi bercinta mereka. Anda boleh bermula dengan “Ramai betul budak-budak yang bercinta sekarang. Adik macam mana?” Cuba korek sedikit demi sedikit. Tidak pun, anda boleh menggunakan cara yang lain untuk perlahan-lahan menyentuh topik tersebut. Mungkin anda boleh kaitkan topik tersebut dengan rancangan televisyen atau filem yang sesuai dengan umur mereka.

Apapun, dekati anak anda dengan cara yang berhemah dan sesuai. Anda mungkin merasakan hubungan cinta mereka seperti bermain-main tetapi mereka mungkin menganggapnya sesuatu yang serius. Usah permainkan hubungan cinta pertama anak anda kerana ia hanya akan menghalang mereka daripada bersikap jujur dengan anda.

Biar Mereka Memahami Apakah Maksud Cinta

Percintaan dan perhubungan adalah subjek yang pasti sekali akan mengundang rasa  minat dan rasa ingin tahu seorang remaja. Walau bagamaimanapun, persoalannya kini, adakah anak anda benar-benar jatuh cinta dengan seseorang ataupun adakah mereka hanya cuba bercinta kerana mengikuti kawan-kawan mereka dan tidak mahu ketinggalan?

Untuk anak anda bercerita dengan anda, anda juga haruslah tidak kekok untuk berkongsi cerita dengan mereka. Kongsikan cerita cinta anda daripada hubungan masa lalu dan bagaimana anda bertemu kekasih hati anda (iaitu ayah atau ibu mereka). Biar anak anda faham bahawa orang yang mereka minati sekarang tidak semestinya orang yang mereka akan kahwini pada masa depan. Ini adalah supaya mereka lebih bersedia secara mental untuk menghadapi kekecewaan pada masa hadapan.

Kanak-kanak memang berminat untuk tahu tentang hubungan cinta, perkahwinan dan perceraian ibubapa mereka (jika berkenaan).

Sekiranya anda tidak mempunyai perhubungan yang sempurna tidak semestinya bermakna anda tidak boleh memulakan perbualan ini. Beritahulah anak tentang pengalaman anda supaya mereka tidak akan mengulangi kesilapan anda. Dengan berbuat demikian, mereka tidak akan takut untuk mendapatkan nasihat daripada anda tentang cinta.

Couple in sunrise on the beach

Pastikan Bahawa Anak Anda Mempunyai Batasan

Anda patut membawa anak keluar untuk janji temu mereka yang pertama! Hanya anda dan anak anda. Biar mereka menikmati pengalaman bertemu janji bersama anda dahulu sebelum mereka ‘berdating’ sendiri dan tunjukkan mereka tingkah laku baik yang perlu ada dalam pasangan mereka pada masa depan.

Jangan malu untuk berbincang tentang topik mengenai kehormatan diri, nilai dan prinsip, kesihatan seks, dadah dan alkohol. Ini adalah untuk memastikan supaya anak anda tahu untuk tidak menyeberangi batasan yang ditetapkan dan tahu untuk meninggalkan pasangan mereka sekiranya batasan yang ditetapkan tidak dihormati.

Tetapkan Panduan

Penting untuk anda menjelaskan kepada anak anda tentang jangkaan anda terhadap perhubungan mereka. Meskipun anda okey sekiranya anak anda mempunyai kekasih, sebagai ibu bapa, anda perlulah menetapkan panduan untuk mereka ikuti. Biar mereka faham bahawa perlu ada sikap hormati-menghormati antara ibubapa dan anak.

Hubungan cinta remaja boleh berlaku dengan cepat. Oleh itu, anda harus berwaspada dengan tanda-tanda amaran juga. Sekiranya prestasi akademik anak anda terjejas dan mereka tidak meluangkan masa dengan kawan biasa mereka, anda boleh menetapkan batasan masa yang mereka meluangkan dengan seseorang istimewa tersebut.

Anda sepatutnya boleh mengharapkan anak anda untuk:

  • Memberitahu anda di mana mereka berada
  • Pulang ke rumah pada masa yang ditetapkan
  • Faham tentang kesihatan dan batasan seksual
  • Membuat pilihan yang baik
  • Tidak menyalahgunakan dadah dan ubat
  • Tidak lupa mengekalkan persahabatan dengan rakan lain mereka

Beautiful girl with handsome boy sitting in a park on a blanket with guitar

Jadi, apakah umur yang paling sesuai untuk bercinta? Sebenarnya, tidak ada jawapan yang betul untuk soalan ini kerana ia bergantung kepada kematangan emosi dan rasa tanggungjawab anak. Umur 16 tahun mungkin kelihatan sesuai tetapi sekiranya mereka sudahpun mempunyai fikiran yang matang pada usia 14 tahun, mereka mungkin sudah bersedia. Apapun, anda perlu ingat bahawa anak anda akan membesar dan adalah sangat biasa untuk mereka mengalami cinta remaja. Pastikan anda berada di sana untuk mereka sepanjang proses tersebut dan  jelaskan peraturan dan harapan anda untuk mereka.

Bacalah artikel Cara Membantu Anak Anda Mengatasi Putus Cinta Kali Pertama,  untuk mengetahui apa yang boleh anda lakukan sekiranya mereka mengalami patah hati akibat putus cinta.