Adalah sangat penting bagi mereka untuk dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat tinggi supaya anak-anak kita dapat membesar dengan kuat dan sihat. Namun, sebagai ibu bapa, kadang kala kita juga kalah dengan godaan makanan segera. Mungkin kerana kesibukan kerja, kita sendiri tidak mempunyai masa untuk menyediakan masakan buat anak kita. Makanan segera juga lebih murah jika ingin dibandingkan dengan makanan organik walaupun kedua-duanya sama mengenyangkan. Namun begitu, kami masih percaya bahawa mustahak untuk ibu bapa mengetahui apakah perkara yang membimbangkan tentang makanan tidak sihat yang sering anak-anak kita nikmati. 

Colorful soda drinks macro shot

Air berkarbonat dan jus paket

Bukan sahaja minuman ringan seperti Fanta yang perlu dijauhi oleh kanak-kanak, malah, pengambilan semua jenis minuman bergula seperti kordial, minuman buah-buahan, air vitamin, dan minuman tenaga juga dianggap tidak sihat kerana beberapa faktor. Minuman ringan sering mempunyai perasa tambahan yang dikenali sebagai ‘minyak sayuran bromin’ yang berfungsi untuk mengemulsi perisa sitrus supaya perisa ini tidak ‘terpecah’ sewaktu sewaktu pengedaran minuman tersebut. Bahan kimia dalam minyak ini sebenarnya boleh menjadi punca kepada ‘ketoksikan bromin’ yang boleh merosakkan sistem saraf, menyebabkan keradangan kulit and kehilangan ingatan. 

Walaupun jenama seperti Coca-Cola tidak lagi menggunakan bahan kimia ini dalam produk mereka, kita tidak boleh membuat andaian yang sama buat jenama lain. Tambahan, minuman ringan dan jus paket sering mempunayi jumlah kalori dan gula yang sangat tinggi. Hal ini boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan juga hakisan gigi. Mungkin inilah sebabnya minuman ringan dan jus bergula tidak sepatutnya diberi kepada kanak-kanak yang berusia kurang dari satu tahun. 

Baca: Cara Untuk Menggalakkan Anak Anda Bersarapan Pagi

Gula-gula

Si kecil mana yang tidak sukakan gula-gula? Walaupun ia sememangnya okey untuk kanak-kanak menikmati gula-gula sekali sekala, pengambilan gula-gula masih harus dipantau oleh orang dewasa. Nama pun gula-gula, tidak mengejutkanlah sekiranya kandungan gulanya pun tinggi. Gula-gula juga tinggi kalori, tetapi ia tidak mempunyai sebarang zat dan nutrisi yang dapat merangsang pertumbuhan kanak-kanak. Mungkin anak anda akan berasa kenyang selepas mengunyah beberapa nougats yang anda belikan untuk mereka, tetapi ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada keperluan nutrien harian mereka. Malah, pengambilan gula-gula yang kerap sebenarnya akan menyebabkan tubuh badan kita kehilangan nutrien lain kerana tubuh kita memerlukan sumber untuk mencerna gula yang telah diambil.

Pewarna tiruan dalam makanan yang digunakan untuk membuat gula-gula tampak lebih menarik juga tidak sihat bagi anak-anak. Tinjauan terkini terhadap 15 penyelidikan mendapati bahawa pewarna makanan tiruan boleh meningkatkan tahap hiperaktif pada kanak-kanak sensitif. Beberapa kod pewarna tiruan ini telahpun diharamkan dibeberapa negara kerana bukti yang menunjukkan ia boleh menyebabkan barah.

Daging proses

Sosej, pepperoni, nuget, dan salami memang mudah dimasak dan enak dimakan. Tetapi… mereka juga tinggi lemak, natrium, nitrat, dan pengawet yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, barah usus, diabetes, dan tentu saja, kegemukan. Tahukah anda, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa makanan yang diproses secara kimia dikenali sebagai karsinogen Kumpulan 1? Ini adalah makanan yang diketahui boleh menyebabkan barah! Sekiranya anda sayangkan si kecil anda, anda harus mengurangkan atau mengelakkan pengambilan daging proses dalam makanan harian mereka.

Baca: Strategi Buat Kanak-Kanak Yang Memilih Makanan

Kentang goreng

Kentang goreng dalam apa bentuk sekalipun sememangnya sedap tetapi jika pengambilan kentang goreng yang terlalu tinggi boleh mengundang musibah! Hal ini kerana, kentang goreng sangat tinggi dengan lemak trans. Lemak trans adalah sejenis lemak tepu yang dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular dan kenaikan berat badan. Lemak trans ialah punca kepada peningkatan kolesterol lipoprotein berkepadatan rendah (LDL) atau ‘kolesterol jahat’. Pada masa yang sama, lemak trans juga menurunkan kadar kolesterol ‘baik’ atau lipoprotein berkepadatan tinggi (HDL) di dalam badan kita.

Perkara yang anda perlu ketahui mengenai kolesterol jahat ini adalah, ia melekat pada dinding arteri kita menyebabkannya menjadi keras dan sempit. Apabila ini berlaku, darah lebih sukar untuk mengalir melalui arteri, maka jantung perlu bekerja dengan lebih keras. Dalam kes yang lebih serius, seseorang dengan arteri tersumbat juga boleh mengalami serangan jantung atau strok. Anda mungkin berfikir bahawa ini tidak mungkin terjadi pada seorang kanak-kanak tetapi apabila seseorang sudahpun terbiasa mengambil lemak trans semasa mereka masih muda, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang berkaitan dengan jantung. 

Bonus

Selain daripada mengawal pemakanan anak-anak anda, anda juga perlu mengambil tahu tentang bekas makanan dan minuman anda.  Anda mungkin pernah melihat istilah “Bebas BPA” pada kotak dan botol plastik sebelum ini, tetapi tahukah anda akan maksudnya? BPA atau Bisphenol-A adalah bahan kimia toksik yang biasanya terdapat dalam plastik, dan ia diketahui mempunyai kesan berbahaya pada tubuh manusia. Bahan ini boleh meningkatkan kebarangkalian anak anda menghidap asma, obesiti, penyakit jantung dan diabetes di usia yang muda. Selain dari bekas plastik, BPA juga terdapat di lapisan tin. Oleh itu, sekiranya anda ingin membeli puri tomato untuk masakan anda, pastikan anda membeli puri yang dijual di dalam balang daripada tin. Ia mungkin sedikit lebih mahal, tetapi pastinya jauh lebih selamat untuk anak-anak anda.

Sekiranya anda ingin tahu makanan apa yang baik untuk anak anda, anda boleh baca artikel ini: 7 Makanan ‘Super’ Untuk Kanak-Kanak.