Max melepaskan tangan kecilnya daripada anda dan berlari ke arah kedai LEGO kegemarannya. Anda menghembus nafas berat lalu mengeluh. Ini adalah satu minggu yang sukar untuk anda, anda perlu menangani tarikh akhir yang ketat di tempat kerja dan kemudiannya perlu berbelanja untuk pembaikan rumah yang tidak dijangka pula.Anda dan pasangan anda sedang kesempitan wang dan mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan. Dan sekarang, anak anda meminta anda membelikannya mainan LEGO baru walaupun dia mempunyai mainan lain di rumah. “Mama dan papa tak ada duit untuk membeli permainan ini untuk adik. Jom kita pergi”. Seperti biasa, anda cuba menjelaskan tetapi anak anda hanya jatuh ke lantai meraung, menangis dan memohon agar anda membeli LEGO tersebut untuknya. Lebih lama lagi anda menidakkannya, semakin kuat dia menjerit.
Ramai ibu bapa akan mengatakan bahawa adalah perkara biasa untuk anak-anak bersikap seperti itu kerana mereka masih muda dan tidak memahami nilai wang. Persoalannya, mengapa kita hanya mahu mereka belajar berenang atau balet, tetapi bukan kemahiran menguruskan wang? Kerana topik berkaitan wang hanya boleh dibincangkan di kalangan orang dewasa? Atau mungkin kita, sebagai ibu bapa, tidak bijak dalam menguruskan perihal kewangan juga.
Kebanyakan kita hanya celik kewangan apabila kita memasuki alam pekerjaan dan kita hanya belajar dari percubaan dan kesilapan. Walaubagaimanapun, celik kewangan ialah kemahiran hidup yang penting untuk masa hadapan. Maka, kita haruslah menerapkan tabiat berbelanja dengan baik dari anak-anak kita masih kecil lagi.
BERMULA DARI AWAL
Satu kajian pada tahun 2013 oleh Universiti Cambridge menunjukkan bahawa kanak-kanak sudahpun bersedia untuk belajar tentang celik kewangan dari 5 hingga 7 tahun. Pada usia ini, mereka akan melihat dan mempelajari daripada perbelanjaan ibu bapa mereka. Anda memainkan peranan penting dalam mendidik anak anda dalam celik kewangan dan juga sebagai contoh yang baik kepada mereka. Anda perlulah menetapkan contoh yang sihat untuk mereka supaya mereka akan lebih cenderung mengikutinya apabila mereka dewasa.
Sebagaimana kita sentiasa menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, pemikiran kritikal kanak-kanak dan kebolehan membuat keputusan adalah sebahagian besar daripada perkara yang mempengaruhi ‘tabiat minda’ mereka. Menanam benih literasi kewangan dalam minda anak anda ketika mereka masih muda dapat membantu mereka membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka. Anak-anak anda bukan sahaja belajar tentang wang, tetapi juga tentang tanggungjawab, nilai keluarga, bagaimana untuk membuat keputusan, membandingkan harga ketika membeli-belah, serta menentukan matlamat dan keutamaan.
KONSEP-KONSEP WANG
Sebelum kami berkongsi dengan anda beberapa aktiviti dan permainan yang boleh anda main dengan anak-anak anda agar mereka dapat mempelajari kemahiran wang dengan cara yang menyeronokkan dan menarik, di bawah adalah beberapa konsep wang yang sangat asas untuk anak-anak anda pelajari:
- Konsep Pendapatan – Bagaimanakah wang diperolehi? Apa yang perlu dilakukan oleh orang dewasa untuk mendapatkan wang? Mengapa kita perlu mendapatkan wang? Adakah mudah untuk mendapatkan wang? Biarkan anak anda memahami kerja keras yang perlu dilakukan untuk mendapatkan wang, supaya mereka menghargai wang dan tidak membelanjakannya begitu sahaja. Anda juga boleh berkongsi dengan mereka tentang kerjaya anda dan mengapa anda memilihnya.
- Konsep Penjimatan – Mengapakah penjimatan penting? Mengapa anda perlu mengetepikan wang untuk kegunaan masa depan? Apakah faedah menetapkan dana kecemasan? Ibu bapa boleh mula memberikan elaun anak-anak anda sebaik sahaja mereka dapat mengira wang. Walaupun kanak-kanak cenderung berjimat untuk matlamat jangka pendek seperti membeli mainan baru, adalah penting untuk kita mengajar mereka kepentingan penjimatan jangka panjang juga.
- Konsep Perbelanjaan – Kanak-kanak biasanya pembeli impulsif kerana mereka menggunakan wang anda. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang paling penting untuk tidak memberikan wang kepada mereka dengan mudah. Ajari anak anda tentang tanggungjawab dengan mengendalikan atau menguruskan wang mereka. Sebagai contoh, perbelanjaan ke atas perkara-perkara penting seperti bil dan makanan. Apakah perbezaan di antara kehendak dan keperluan? Apakah anggaran dan perbelanjaan mengikut kemampuan anda?
- Konsep Perkongsian – Setelah mereka menyimpan sejumlah wang, pastikan anda mengajar mereka tentang perkongsian dan bagaimana memberi semula kepada masyarakat adalah bahagian penting dalam kehidupan. Mereka boleh mula dengan mendermakan mainan lama mereka kepada organisasi amal, lebih baik lagi sekiranya ibu bapa dapat membawa anak-anak untuk melawat mana-mana rumah anak yatim atau rumah orang tua. Biarkan mereka memahami pentingnya untuk kita menjangkau orang lain yang memerlukan.
PENGALAMAN DAN PERMAINAN PRAKTIKAL
Di dunia yang pesat berkembang ini , anak-anak kini belajar lebih baik melalui permainan, aktiviti dan pengalaman praktikal. Walaupun sekolah mengamalkan pendidikan holistik, kita sebagai ibu bapa juga perlu mencari cara yang menyeronokkan dan kreatif untuk memasukkan pelajaran wang ke dalam kehidupan harian anak-anak kita. Pembelajaran terbaik buat kanak-kanak ialah melalui aplikasi harian dan apabila kita mempercayakan mereka dengan tanggungjawab untuk menguruskan wang. Berikut adalah beberapa aktiviti mudah dan permainan yang boleh anda lakukan setiap hari dengan anak anda supaya anda dapat memperkayakan mereka dengan pelajaran wang.
MEMBELI-BELAH
Anda boleh menukarkan aktiviti membeli-belah menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk anak-anak anda. Daripada hanya melihat barang-barang, tunjukkan anak anda harga yang berlainan buat item yang sama dan minta mereka membandingkan nilai yang berbeza. Amanahkan si kecil anda untuk membuat pembayaran dan kira baki supaya mereka dapat mengalami pengalaman menggunakan wang sebagai pertukaran untuk mendapatkan sesuatu barang. Apabila mereka lebih besar, anda boleh tunjukkan kepada mereka perbezaan di antara keinginan dan keperluan seperti mereka tidak perlu membeli lebih banyak pensel sekiranya pensel mereka masih cukup, sebaliknya gunakan wang tersebut untuk menggantikan pemadam yang sudah lama haus. Untuk kelainan, setiap kali anda mengadakan parti atau piknik di pantai, tugaskan mereka untuk menyenaraikan apa yang mereka perlukan, beri mereka bajet dan biarkan mereka merancang senarai belanja mereka sendiri! Ini mengajar mereka akan nilai wang, disiplin diri dan cara berbelanja.
BERIKAN MEREKA TABUNG SIMPANAN SENDIRI
Walaupan dianggap sangat tradisional, tong penjimatan masih merupakan alat pengajaran yang indah untuk menunjukkan kepada anak-anak bagaimana wang dapat bertambah. Kebanyakan kanak-kanak suka mengumpul barang seperti mainan, pelekat dan banyak lagi. Jadi, mengapa tidak memasukkan wang simpanan ke dalam koleksi? Beri mereka beberapa duit syiling atau elaun setiap hari dan biarkan mereka mendepositkannya ke dalam balang atau pig mereka. Pada akhir bulan itu, bawa mereka untuk mengosongkan balang dan menghitung wang itu. Anda boleh membawanya keluar untuk membeli sesuatu yang kecil dengan wang itu.
BAGAIMANA BANK BERFUNGSI
Anak-anak anda mungkin ada melihat anda mengeluarkan wang dari ATM atau menggunakan kad kredit untuk membayar sesuatu perbelanjaan, tetapi mereka akan mendapatinya sukar untuk memahami bagaimana transaksi perbankan sebenarnya berfungsi. Mereka mungkin fikir bahawa wang itu akan diberikan secara percuma kepada anda apabila anda pergi ke mesin ATM. Bawa mereka ke bank dan buka akaun simpanan di mana mereka boleh meletakkan simpanan mereka ke dalam satu akaun merekan sendiri. Tunjukkan kepada mereka bagaimana ianya berfungsi dan bagaimana perbankan dalam talian juga berfungsi. Walaupun akaun simpanan menjana sedikit dividen, juga mengajar mereka strategi penjimatan yang berbeza yang membantu mereka menjana lebih lagi keuntungan. Anak anda akan belajar untuk menghargai menyimpan wang apabila mereka melihat simpanan mereka berkembang.
KERJA RUMAH
Menggalakkan anak anda mendapat wang dengan melakukan kerja rumah adalah salah satu cara paling mudah untuk mengajar mereka mengenai pendapatan wang. Walaubagaimanapun, sesetengah ibu bapa telah menyuarakan kebimbangan bahawa kaedah ini menyebabkan anak-anak hanya bersedia untuk membantu di rumah hanya jika mereka dibayar untuknya. Oleh itu, satu cadangan bukannya membayar mereka untuk setiap tugas yang telah selesai, anda boleh memberi mereka elaun mingguan dengan syarat-syarat mereka membantu dengan tugas-tugas di rumah.
Untuk kanak-kanak yang lebih besar, ibu bapa harus menggalakkan mereka untuk mengambil kerja sambilan semasa cuti sekolah untuk mereka merasai dunia pekerjaan. Anda bukan menyuruh mereka bekerja kerana tidak menyayangi mereka, sebaliknya, anda melatih mereka untuk menjadi lebih mandiri, matang dan bertanggungjawab terhadap kewangan mereka sendiri pada usia muda.
PERMAINAN YANG BERKAITAN DENGAN WANG
Satu lagi cara bagus untuk mengalakkan anak-anak anda mempelajari kemahiran wang dengan cara yang menyeronokkan adalah dengan bermain permainan! Terdapat banyak kad yang berkaitan dengan wang dan permainan papan yang direka untuk pelbagai kumpulan umur kanak-kanak dan remaja. Sesetengah permainan mengajar mengenai tabungan & perbelanjaan manakala ada yang mengajar mengenai pengurusan aliran tunai dan pelaburan. Beberapa permainan berkaitan wang yang boleh anda pilih adalah Monopoly, Payday, the Game of Life, the Allowance Game, Act your Wage, Thrive Time for Teens dan Cashflow 101.
KIRIMKAN ANAK ANDA UNTUK KELAS LITERIA KEWANGAN
Terdapat beberapa pusat pengayaan dan sekolah yang menawarkan kelas celik kewangan yang yang boleh diikuti anak anda. Memandangkan mereka mempunyai sukatan pelajaran berstruktur untuk anak anda ikuti, ini dapat membina asas yang lebih kukuh untuk anak anda kerana mereka akan mempelajari kemahiran wang langkah demi langkah. Sebagai contoh, Sekolah Antarabangsa Dwi Emas mengambil pandangan yang tersendiri mengenai celik kewangan dan mengamalkan program keusahawanan untuk kurikulum mereka. Edu Talent, pusat pendidikan bakat sehenti dan kecergasan juga menawarkan kelas Literasi Kewangan dalam program mereka.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rossa kerana dia share artikel ini kpd saya. Bagusnya tips ni!
Bagus sangat lah blog ni. Anak saya memang suka beli2 barangan, tak tahu value money. Harapkan ni boleh bantu dia tahu kepentingan “Save”
Sangat setuju. Perlu ajar kanak kanak kepentingan wang apabila mereka masih kecil. So lepas besar, tak akan ada banyak isu
Saya nak katakan bahawa tips2 di artikel ni sangat bagus, akan cuba guna atas kids saya. Saya fan yg baru blog ni!