Ada orang yang takut akan matematik dan merasakan bahawa subjek tersebut susah, tetapi ada juga yang seronok dan teruja apabila mereka dapat menyelesaikan sesuatu permasalahan pengiraan. Apapun pandangan anda terhadap subjek tersebut, adalah tidak dapat dinafikan bahawa matematik merupakan salah satu ilmu pengetahuan yang paling penting untuk diketahui manusia. Kecelikan aritmetik membuka lebih banyak peluang bagi seseorang untuk menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi dan kemahiran ini juga dapat membantu anak anda menjadi lebih yakin dalam menguruskan kewangan mereka kelak.

Tapi, kalau saya tak suka matematik dan mempunyai masalah dalam matapelajaran tersebut sewaktu zaman persekolahan, adakah anak saya akan menghadapi masalah yang sama?enghadapi masalah yang sama?

Ini soalan yang bagus! Betul, kebolehan matematik boleh diwarisi, tetapi, kajian terbaru mendapati bahawa genetik hanya menyumbang 20% kepada kebolehan tersebut. Maka, jika anda tidak gemar akan matematik, tidak semestinya anak anda juga akan begitu. Yang paling penting, anda perlu terapkan rasa seronok belajar mengira sejak mereka kecil dengan bertanyakan banyak soalan dan galakkan mereka untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar. 

Sertakan matematik dalam aktiviti harian anda

Daripada hanya duduk dan belajar tentang tambah, tolak, darab dan bahagi di atas buku, ajar anak-anak anda bagaimana untul melihat dunia ‘secara matematik’. Sebagai contoh, jika anda ingin membeli-belah di pasar raya, tanya pada anak anda, berapakah biji telur yang mereka boleh dapat untuk harga sekotak susu. Di meja makan, anda boleh mengajar mereka cara melipat kain napkin dari segi empat menjadi segitiga. Jika anda sedang membuat kek atau biskut, minta si kecil bantu anda untuk mengukur bahan-bahan yang diperlukan.

Family at the supermarket. Woman in a brown t-shirt. People choose products. Mother with daughter.

Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sedang belajar mengenai geometri, pengukuran dan statistik. Tambahan lagi, apabila anda melakukan ini, kanak-kanak dapat memahami dan mengingati satu konsep dengan lebih baik kerana ini adalah sesuatu yang telah mereka alami. Jadi, apabila mereka menghadapi tugas yang sama di masa depan, mereka akan dapat menyelesaikannya dengan lebih mudah.

Baca: Pelajaran Kewangan Mudah & Praktikal Untuk Kanak-Kanak

Terapkan banyak permainan

Cute little asian kindergarten 4 years old boy using the abacus with beads and wooden brick with numbers to learn how to count indoor at home, Use an Abacus to teach maths for little kids concept

Menurut Einstein, pembelajaran terbaik adalah melalui permainan. Apabila kanak-kanak cuba untuk menyelesaikan sesuatu masalah melalui permainan, mereka tidak terkekang dengan skema betul atau salah. Sebaliknya, permainan membenarkan mereka meneroka bagaimana mereka dapat menyelesaikan sesuatu masalah dan ini membolehkan mereka menjadi lebih kreatif.

Sebagai contoh, apa kata anda beri anak anda blok permainan dan minta mereka untuk membina sesuatu seperti rumah, daripada blok tersebut. Anda akan dapat perhatikan, blok yang mereka gunakan mungkin lain daripada bentuk yang anda sendiri akan pilih jika anda disuruh membina rumah. Seperti 2 tambah 3 jawapannya sama dengan 1 tambah 4, pada kanak-kanak, terdapat pelbagai cara untuk mereka boleh menyelesaikan sesuatu. 

Gunakan teknologi (jika anda mahu)

happy asian family on ramadan kareem using tablet pc for social interaction with friend

Bila kita bercakap tentang pendedahan teknologi terhadap kanak-kanak, selalunya topik ini pasti akan menjadi perdebatan hangat. Kami tidak lah mengatakan bahawa anda perlu gunakan teknologi untuk memperbaiki skil matematik anda anda. Namun, kami percaya bahawa teknologi boleh menjadi sangat bermanfaat apabila anda menggunakannya dengan cara yang betul, pada masa tertentu. Kanak-kanak sedang membesar pada zaman celik digital. Oleh itu, sekiranya kita tidak membenarkan mereka menggunakan peranti digital langsung, ini mungkin akan menyebabkan mereka ketinggalan. 

Sebenarnya, teknologi mempunyai banyak bahan bermanfaat untuk ditonton. Terdapat juga banyak permainan dan video yang mengajar matematik dengan cara yang lebih menyeronokkan berbanding pembelajaran konservatif. Sebelum anda melarang anak anda untuk menggunakan peranti digital, apa kata anda beri mereka peluang untuk mencubanya. Sekiranya anak anda kelihatan lebih seronok untuk belajar dan dapat belajar dengan lebih baik, apa salahnya?

Baca: Pendedahan Kepada Teknologi, Bilakah Masa Yang Sesuai Bagi Anak Anda

Berikan lebih masa untuk anak kita berfikir

Sering kali, kita diharapkan dapat mengira jawapan untuk soalan dengan cepat. Jika kita lambat mencongak, orang mungkin akan merasakan kita ‘lembab’ atau tidak bijak. Disebabkan sikap ini lah, ramai pelajar tidak suka akan matematik. 

tired and bored toddler while studying with mother at home

Namun begitu, kita seharusnya memberi lebih peluang kepada kanak-kanak untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan atau soalan kerana proses ini sangat penting dalam membentuk pemahaman mereka. Apabila mereka salah, jangan terus berikan mereka jawapan. Tanya mengapa mereka rasa jawapan mereka betul dan ambil masa untuk bincang dengan mereka bahagian mana yang mereka tidak faham. Setelah anda faham akan proses pemikiran mereka, barulah mudah untuk anda bantu anak anda. 

Baca: Cara membantu anak anda belajar dengan lebih baik semasa PKP

Matematik boleh menjadi seronok

Matematik ialah satu subjek yang menyeronokkan sekiranya ia diajar dengan cara yang betul. Apabila kita hanya mengganggap matematik sebagai satu masalah yang perlu dijawab dengan jawapan yang tepat, kita sedang meragut peluang untuk anak-anak kita berfikir secara lebih kritis. “Jawapan adik salah, kalau ikut skema jawapan kita kena buat macam ni.” Jika anak-anak kita sering diberitahu bahawa cara mereka salah, mereka akan merasakan bahawa mereka memang tidak pandai dalam apa-apa yang melibatkan nombor dan perkiraan. Dengan ini, ibu bapa perlu lebih bijak dalam menerangkan sesuatu kepada anak-anak. Cikgu di sekolah mungkin tiada masa untuk mengajar anak-anak kita satu persatu, maka, kita haruslah mengambil langkah proaktif dengan melatih anak kita sejak mereka kecil lagi.