Penularan wabak tangan, kaki, mulut atau juga dikenali sebagai HFMD (hand, foot, mouth disease), membuatkan ibu bapa lebih prihatin untuk membawa anak-anak mereka ke tempat awam atau sekolah. Walaupun penyakit ini selalu dikenali sebagai endemik (iaitu jangkitan yang selalu hadir, tetapi dalam frekuensi rendah), dalam tahun 2019 sahaja lebih daripada 40,200 kes telah dilaporkan di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, penyakit ini juga telah meragut dua lagi nyawa, membuatkan semua orang lebih berjaga-jaga. 

Tetapi apakah sebenarnya penyakit tangan kaki dan mulut ini? Bagaimanakah ia menjangkiti seseorang dan apakah yang boleh kita lakukan untuk menghindarinya? Dalam artikel ini, kita akan mempelajari mengenai penyakit ini dengan lebih lanjut lagi dan apakah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkannya daripada tersebar kepada anak-anak kita. 

BAGAIMANAKAH PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT BOLEH MENJANGKITI SESEORANG? 

Berasal dari jangkitan virus pada strain Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71), penyakit tangan, kaki dan mulut ialah penyakit mudah menular yang boleh menyerang kanak-kanak mahupun orang dewasa. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun lebih cenderung untuk tewas kepada penyakit tersebut kerana imuniti badan mereka masih belum kuat berbanding dengan orang dewasa. 

Virus ini biasanya merebak melalui cecair hidung dan tekak (seperti  air liur, hingus), lecet dan najis orang yang dijangkiti. Minggu pertama penyakit ini adalah fasa paling berjangkit untuk penyakit ini. Justeru, sekiranya anak anda terjangkit dengan wabak ini, elakkan daripada pergi ke tempat awam sehingga ia berkurangan.

Periksa suhu anak - Demam merupakan satu tanda selepas tempoh inkubasi

APAKAH TANDA-TANDA PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT?

Biasanya, simptom kepada penyakit tangan kaki dan mulut hanya boleh dilihat selepas tiga ke enam hari selepas seseorang terdedah kepada virus tersebut. Waktu ini dikenali sebagai ‘tempoh inkubasi’. Tanda-tanda umum yang mungkin dapat dilihat selepas tempoh inkubasi termasuk demam, kemerahan mata, hilang selera makan, cirit birit, output air kencing yang minimum, dan pergerakan anggota badan yang lemah. Kemudian, seperti yang digambarkan namanya, mereka yang dijangkiti juga akan menunjukkan lepuhan atau luka pada bahagian tangan, kaki dan mulut mereka. Namun begitu, adalah penting untuk anda ketahui bahawa ini tidaklah berlaku untuk semua kanak-kanak. Setiap kanak-kanank akan menunjukkan tindak balas yang berbeza terhadap wabak ini. Kadang-kala, kerana seorang kanak-kanak tersebut hanya mempunyai ulser di dalam mulut, agak sukar untuk ibu bapa dan guru memerhatikannya. 

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN SEKIRANYA ANAK ANDA DIJANGKITI PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT?

Semestinya kita akan menjadi gelisah sekiranya anak kecil kita dijangkiti penyakit ini. Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, pasti anda tidak mahu ibu bapa lain melalui perkara yang sama. Maka, di sini kami telah kumpulkan beberapa petua yang boleh anda ikuti sekiranya anak anda di jangkiti dengan penyakit tangan, kaki, dan mulut. 

  • Maklumkan sekolah, tadika, atau pusat pengayaan anak anda secepat mungkin. Hal ini supaya mereka dapat mengenalpasti jika simptom-simpton ini juga berlaku kepada pelajar lain dan mereka boleh mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran penyakit.
  • Sehingga anda yakin bahawa si kecil anda sudah sihat sepenuhnya, elakkan daripada pergi ke tempat awam buat seketika. Gunakan cuti sakit yang diberi oleh doktor dengan sebaik mungkin dan pastikan mereka rehat secukupnya. 
  • Jika mereka demam, anda boleh pergi ke farmasi untuk mendapatkan ubat seperti acetaminophen or ibuprofen. Pastikan anda tidak membeli aspirin kerana ubat ini tidak sesuai untuk kanak-kanak. Pastikan anda bertanya kepada ahli farmasi sebelum membeli sebarang ubat. 
  • Kerana ulser mulut boleh benar-benar menyakitkan, sesetengah kanak-kanak akan enggan makan. Sekiranya itu berlaku, ubah diet anak anda kepada sesuatu yang lebih lebut seperti bubur dan puree. Buah-buahan lembut yang sejuk seperti tembikai juga bagus buat mereka. Tambahan lagi, pastikan makanan dan susu tidak terlalu panas. Untuk meredakan ulser, anda boleh menggunakan cucian mulut (mouthwash), spray atau gel kebas seperti Medigel. 
  • Untuk mencegah dehidrasi, adalah penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka minum air yang mencukupi. Jika anak-anak kecil anda mengalami kesulitan untuk minum, mereka mungkin perlu menerimanya melalui IV.

Pastikan tangan sudah dicuci dengan sabun untuk mencegah penyebaran kuman penyebab penyakit

APAKAH LANGKAH PENCEGAHAN YANG BOLEH KITA AMBIL?

Buat masa kini, menurut Datuk Dr. Noor Hisyam, Ketua Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, tiada ubat atau suntikan yang boleh mencegah penyakit ini. China adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyainya tetapi bilangan vaksin ini agak terhad.

Namun begitu, pengamalan kebersihan yang baik sentiasa terbukti menjadi kaedah pencegahan terbaik dan murah. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan keluarga dan kawan anda selamat dari penyakit tangan, kaki dan mulut. 

  • Pastikan anda membasmi kuman atau mencuci tangan dengan kerap dan betul (iaitu sekurang-kurangnya 20 saat). Ini harus dilakukan selepas pergi ke tandas, sebelum makan dan menukar lampin. Juga, jangan lupa untuk mengajar anak-anak anda melakukan perkara yang sama 
  • Jangan menyentuh mata, hidung, dan mulut dengan tangan yang tidak berbasuh. 
  • Elakkan daripada berdekatan atau berkongsi makanan dan alatan makan dengan mereka yang dijangkiti penyakit tersebut. 
  • Gunakan peluntur atau pembasmi kuman untuk membasmi mainan yang tercemar dengan air liur, batuk, bersin atau cecair hidung, serta permukaan yang sering disentuh.
  • Pakai topeng muka apabila anda merasa tidak sihat dan jangan lupa untuk menutup mulut dengan tisu atau kain tangan apabila anda bersin atau batuk. 
  • Sebelum menghantar anak-anak anda ke sekolah mereka, lakukan pemeriksaan suhu dan lihat jika terdapat sebarang ruam pada tangan, kaki dan mulutnya. Gunakan lampu suluh (jika perlu) untuk melihat jika ada luka di lelangit mulut.

Penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) Langkah Pencegahan

Nota editor: Kerana penyakit tangan, kaki dan mulut ialah satu endemik, penyakit tersebut akan sentiasa ada. Maka, ibu bapa dan premis pendidikan haruslah sentiasa berwaspada dan mengambil langkah yang seharusnya bagi mencegah penyakit ini daripada berleluasa.