Bayangkan anda sedang berada di pusat membeli-belah dan anak anda tiba-tiba meragam di khalayak ramai. Puncanya? Dia terlihat ibu bapa kepada kanak-kanak lain membelikannya permainanan lalu mahukan permainan tersebut juga, tetapi anda enggan membelikannya. Apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan beralah kepada permintaannya supaya dia tenang? Atau adakah anda akan cuba membuat alasan supaya anda tidak perlu membelikannya permainan yang dikehendakinya itu?

Sebagai ibu bapa kita lebih dari faham bahawa kadang kala ianya hampir mustahil untuk berunding dengan si kecil kita apabila mereka berada dalam mod tantrum penuh. Jadi, apa yang boleh anda lakukan sekiranya ada berada di dalam situasi ini? Berikut adalah 8 petua untuk meredakan amukan anak anda. Sekiranya anda mempunyai beberapa cara yang terbukti berkesan tetapi tidak kami disenaraikan di sini, anda boleh kongsikan tips dan pengalaman anda di ruang komen di bawah. Kami pasti ibu bapa yang lain juga akan berminat untuk membacanya!

1) Tetap Tenang dan Usah Risau

Ambillah nafas yang panjang dan elakkan dari berfikiran negatif. Beritahu diri anda bahawa ianya adalah perkara biasa untuk kanak-kanak berkelakuan sedemikian sekali-sekala. Berfikiran optimis lebih membantu dalam situasi seperti ini kerana ianya membolehkan anda berfikir dengan lebih tenang. 

2) Kurangkan bercakap

Apabila anak anda sedang melenting, mereka tidak dapat mendengar atau berfikir dengan jelas. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda kurangkan bercakap (i.e. membebel). Sebaliknya, beri tumpuan kepada penggunaan komunikasi lembut dan bukan lisan seperti pelukan atau tepukan lembut.

3) Elakkan daripada memarahi dan menghukum mereka

Kebanyakan ibu bapa akan berasa jengkel apabila anak mereka tiba-tiba meragam terutamanya di khalayak ramai dan ramai mata yang melihat. Mungkin kerana segan, tanpa disedari kadang kala kita juga akan memarahi mereka supaya mereka senyap dan berhenti meragam. Walaupun cara ini mungkin berkesan pada ketika itu, tindakan menghukum dan memarahi anak kita di depan orang lain akan meninggalkan kesan buruk buat diri mereka pada masa panjang. 

4) Tunjukkan sifat empati

Amukan anak kecil lebih mudah untuk diredakan sekiranya mereka merasakan bahawa mereka difahami. Tunjukkan bahawa anda empati dengan apa yang mereka rasai dan gunakan kata-kata yang lembut apabila bercakap dengan mereka. Sebagai contoh, “Ibu faham yang adik nakkan permainan itu, dan adik marah sebab ibu tak mahu belikan. Tapi cuba lihat kawan-kawan adik yang lain. Mereka semua tidak menangis. Segan kan kalau kita menangis di hadapan orang lain?”

5) Alihkan perhatian anak anda kepada perkara lain

Anda juga boleh alihkan perhatian anak anda kepada sesuatu yang lebih menarik seperti “Cuti sekolah dah nak dekat, kan? Adik ada teringin nak ke mana-mana?” Nampak mudah tetapi cara ini selalunya berkesan!

6) Tetapkan had

Walaupun ianya normal untuk kanak-kanak melenting, anda perlu pastikan agar mereka tidak terlalu ganas sehingga mencederakan diri mereka dan orang lain. Sebaik sahaja mereka mula berkelakuan ganas dan biadap seperti membaling barang dan meludah, ini adalah tanda amaran untuk anda memegangnya dengan ketat dan memberitahunya secara tegas supaya berhenti daripada berkelakuan tersebut. Walaubagaimanapun, jangan gunakan kekerasan terhadap mereka kerana mereka akan mengingati dan mempelajari kelakuan anda tersebut. 

7) Pegang mereka dengan penuh sayang

Sentuhan fizikal selalunya berkesan dalam menenangkan anak yang sedang marah. Cuba dekati anak anda dan berikannya pelukan atau pegang tangannya. Jelaskan bahawa mereka perlu berhenti menangis atau menjerit kerana perbuatan tersebut hanya akan meletihkan diri mereka. Mungkin jika mereka berkelakuan baik, anda boleh memberinya ganjaran pada masa hadapan.

8) Berikan sokongan terhadap anak anda sehingga kemarahannya surut

Kadang-kala anak anda hanya perlukan masa untuk bertenang. Sekiranya petua-petua di atas tidak dapat meredakan kemarahan mereka, biarkan saja mereka menangis sehingga penat. Lebih baik untuk mereka untuk melepaskan kemarahan mereka pada masa itu daripada meletus kemudiannya. 

Cara ibu bapa mendidik anak-anak semestinya sudah berubah seiring dengan peredaran masa. Kanan-kanak zaman ini mendapat akses kepada kemudahan yang lebih baik, maka apabila mereka melihat rakan sebaya mereka memiliki sesuatu, mereka juga mungkin ingin memilikinya juga dan kemudiannya menuntut daripada anda. Oleh itu, adalah penting untuk kita mendidik anak kita sebaiknya terutama sekali pada tahun awal tumbesaran mereka kerana pada ketika ini, mereka masih lebih dibentuk dan diberi nasihat. Bak kata pepatah jika ingin melentur buluh biarlah dari rebungnya.