Dalam usaha bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19, kita telah diseru oleh kerajaan untuk duduk di rumah, mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri. Tetapi dengan lebih 89% populasi pelajar dunia terpaksa belajar di rumah kerana penutupan sekolah dan pembatalan peperiksaan penting seperti IGCSE Jun ini, ramai ibu bapa kini semakin risau dan bingung dengan apa yang bakal terjadi kepada pembelajaran anak mereka sekiranya perkara ini berterusan?

Dengan sekolah kini mengambil langkah untuk beralih kepada pembelajaran dalam talian, kelas selalunya terhad untuk beberapa jam sahaja. Maka, ibu bapa harus memainkan peranan yang lebih besar pada waktu demi memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Di bawah ialah cara-cara yang ibu bapa boleh pertimbangkan untuk memudahkan pembelajaran anak mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

SEDIAKAN SATU RUANG UNTUK BELAJAR

Adalah penting untuk kanak-kanak mempunyai satu ruang pembelajaran sendiri walaupun mereka masih muda kerana ruang fokus ini boleh membantu mereka belajar dengan lebih baik. Apabila anak anda memiliki ‘kawasan’ sendiri, mereka akan lebih bermotivasi untuk menyiapkan tugas mereka. Pastikan ruang tersebut terang dan jauh daripada apa-apa gangguan.  

ELAKKAN GANGGUAN

Pada era digital ini, internet merupakan alat yang berguna untuk pembelajaran tetapi ia juga merupakan satu gangguan kepada kanak-kanak. Ibubapa boleh menghentikan segala penggunaan komputer atau telefon bimbit sehingga kerja rumah anak disiapkan. Walau bagaimanapun, jika mereka perlu menggunakannya, ibu bapa boleh memasang perisian kawalan yang menghalang laman media sosial dan hiburan semasa mereka sedang belajar. 

MENGAJAR MEREKA KAEDAH MENGAMBIL NOTA 

Kanak-kanak tidak sepatutnya menghafal keseluruhan buku teks ke dalam otak mereka. Ibu bapa boleh mengajar beberapa cara untuk mengambil nota seperti kaedah garisan, kaedah Cornell, kaedah pemetaan, kaedah kotak ataupun kaedah carta. Adalah penting untuk pelajar mengetahui cara pengambilan nota yang berkesan kerana ia menggalakkan pembelajaran yang lebih mudah dan anak anda akan menjadi lebih teratur juga. Highlighter berwarna-warni juga merupakan alat tulis yang menyeronokkan bagi anak anda. Sekiranya tabiat tersebut dibiasakan semasa kecil, ia akan banyak membantu anak anda ketika di universiti.

TETAPKAN JADUAL BELAJAR

Dengan menetapkan jadual belajar, anak anda akan lebih konsisten dan cekap dalam pembelajarannya. Ini juga membenarkan anak anda menjejaki kemajuan mereka mereka terutamanya apabila peperiksaan sudah berhampiran. Sudah tentulah jadual ini tidak perlu mengikut waktu persekolahan. Memandangkan kuarantin di rumah boleh menjadikan mereka tertekan, anda boleh memberi mereka lebih kelonggaran dalam waktu belajar mereka. Mungkin 4 jam pada waktu pagi dan 2 jam pada waktu petang atau malam dan lebih bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan penting tahun ini. 

Anda boleh menetapkan jadual belajar ketika anak anda masih muda atau melatih mereka untuk melakukannya sendiri. Biar mereka sendiri memilih topik dan subjek untuk dikaji setiap hari sehingga tarikh hantar sesuatu kerja rumah atau peperiksaan. Ingat untuk memberikan waktu rehat antara 15 hingga 20 minit. 

BANTU MEREKA MENJADI LEBIH TERATUR 

 Anda boleh mula melatih anak anda menjadi lebih teratur dari kecil kerana tabiat baik lebih mudah dipupuk apabila mereka masih muda. Oleh sebab anak anda akan mempunyai kerja rumah, peperiksaan, projek dan aktiviti kokurikulum, mereka boleh bermula untuk mengadakan rekod jadual tersendiri. Walaupun anda mempunyai jadual mereka, biar mereka sendiri mencatatkan jadual mereka dan memberitahu anda tentang kemajuan mereka. Anak anda perlu mempunyai tabiat suka mengambil nota kerja rumah, projek dan senarai tugasan dan mengkaji semula perkara-perkara tersebut pada hujung hari. 

MUAT TURUN APLIKASI PEMBELAJARAN ATAU TELEKONFERENSI

Oleh sebab sekarang sekolah menggunakan pembelajaran dalam talian, bantu anak anda untuk memuat turun aplikasi telekonferensi seperti Zoom, Skype atau Google Classroom, mana saja yang digunakan oleh guru kelas mereka untuk menyampaikan sesuatu topik. Selalunya anda tidak akan perlu membayar untuk aplikasi ini tapi pastikan bahawa anda memuat turunnya daripada laman sesawang rasmi mereka sekiranya anda tidak mahu data peribadi anda terdedah kepada malware

Bagi pelajar yang mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan, anda juga boleh memperkenalkan laman sesawang seperti Pencil.my dan Focus A kepada anak anda supaya mereka boleh belajar dan membuat latihan dalam talian. Edu Reviews juga bakal melancarkan portal e-tusyen kami PKP ini, di mana anak anda boleh mendapat akses kepada contoh kertas peperiksaan secara percuma! Jangan lupa untuk melanggan surat berita kami untuk mengetahui bila!

Baca: Cabaran ibu bapa zaman digital: apa yang harus anda lakukan?

GALAKKAN ANAK ANDA UNTUK MEWUJUDKAN KUMPULAN BELAJAR

Dengan adanya kumpulan untuk belajar bersama-sama, anak anda akan mempunyai sesi pengajian yang lebih menarik. Ya, sudah tentu anda perlu membiarkan anak anda belajar sendiri tetapi kumpulan belajar juga berfaedah buat anak anda terutamanya dalam tempoh PKP ini. Pastinya mereka akan merindui rakan sekolah mereka. 

Tambahan lagi, apabila anak anda belajar secara berkumpulan, mereka boleh saling membantu antara satu sama lain  jika mereka sukar memahami sesuatu topik. Oleh itu, mereka akan dapat menyiapkan kerja sekolah dan projek dengan lebih cepat. 

Kumpulan belajar secara fizikal mungkin mustahil pada waktu kuarantin ini, tetapi mereka boleh menggunakan aplikasi yang anda telah muat turun tadi untuk berbincang bersama-sama. Walau bagaimanapun, pastikan saiz kumpulan belajar tersebut adalah kecil dan berstruktur dan jangan lupa untuk menjenguk anak anda dari masa ke semasa. Jika tidak, kumpulan tersebut boleh bertukar menjadi kumpulan bermain! 

BERIKAN MEREKA GANJARAN

Jangan kata kanak-kanak dan remaja, kita yang dewasa ini pun akan gembira dan lebih bermotivasi apabila diberi ganjaran di atas pencapaian kita. Belajar di rumah mempunyai cabarannya yang tersendiri, jadi apabila anak anda berjaya mengekalkan fokus mereka selama beberapa jam untuk belajar, berikanlah mereka sedikit ganjaran. Benarkan mereka untuk berehat pada waktu petang, masakkan makanan kegemaran mereka atau beri mereka kebenaran untuk menonton rancangan kegemaran mereka lebih lama berbanding hari persekolahan yang lain. 

Memandangkan ada ibu bapa yang harus bekerja dari rumah, kami juga faham kadang kalanya ianya meletihkan untuk membuat kerja pejabat dan kerja rumah sambil memantau anak-anak belajar.

Namun begitu, kami ingin menggalakkan anda untuk melibatkan diri dalam apa jua cara yang anda mampu kerana kajian telah menunjukkan bahawa bagi ibu bapa lebih terlibat dalam pendidikan anak mereka, anak mereka lebih cenderung untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah. Wujudkan kaedah yang kreatif dan berkesan untuk membantu anak anda belajar! Beri anak anda ruang tapi pastikan ada pantau kemajuan mereka. Kongsikan kaedah yang anda gunakan dengan kami dalam kotak komen di bawah!

Baca: Pendedahan Kepada Teknologi, Bilakah Masa Yang Sesuai Bagi Anak Anda