Bukan semua hubungan cinta pertama kekal selamanya. Apabila anak remaja kita putus cinta buat kali pertama, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memberi sokongan emosi dan mental kepada mereka. Putus cinta sememangnya sesuatu yang menyakitkan buat seseorang, tidak kisahlah sama ada individu tersebut tua atau muda. Tetapi yang membezakannya ialah pengalaman. Perpisahan buat orang dewasa mungkin lebih mudah untuk di atasi kerana kita lebih matang dan mungkin pernah menghadapi beberapa hubungan yang tidak berjaya sebelum ini. Namun begitu, buat remaja, pengalaman putus cinta kali pertama boleh menyebabkan mereka lebih murung dan sedih kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk mengawal perasaan tersebut. 

Disebabkan anak kita belum lagi terbiasa dengan kekecewaan putus cinta, ibu bapa tidak harus memandang enteng terhadap apa yang mereka rasai. Penyelidikan telah membuktikan bahawa putus cinta merupakan salah satu punca belia ingin membunuh diri. Sebagai sekuel kepada artikel “5 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Apabila Anak Anda Mula Bercinta”, kami akan kongsikan dengan anda sedikit tip untuk memujuk anak anda yang sedang patah hati. 

Young alone girl feeling sad

 

FAHAMI PERASAAN ANAK ANDA DAN DENGAR APA YANG MEREKA INGIN KONGSIKAN

Apabila anda selalu memberi sokongan kepada anak anda (sebelum mereka mula bercinta lagi) dan sering meminjamkan telinga anda kepada mereka, mereka akan pasti berkongsi kisah kedukaan mereka kepada anda. Memang benar, kebanyakan remaja akan melupakan cinta mereka pertama jika diberi masa secukupnya, tetapi ibu bapa dapat membantu mereka untuk bangkit dengan lebih pantas dengan meluangkan lebih masa dengan mereka serta berikan mereka lebih lagi perhatian dan kasih sayang. Kadang kala, hanya mendengar akan keluhan mereka juga sudah cukup. 

BERIKAN MASA DAN RUANG UNTUK ANAK ANDA BERASA SEDIH

Tidak mengapa jika anak anda berasa sedih kerana ini ialah lumrah manusia. Mudah untuk ibu bapa berkata “Janganlah bersedih sangat. Perpisahan dalam perhubungan itu biasa. Tak lama lagi kamu akan lupakan dia.” Tetapi, cuba bayangkan jika orang lain berkata sesuatu yang sedemikian rupa ketika anda sedang sedih, adakah ini sesuatu yang anda akan suka? Anda seolah-olah menidakkan perasaan dan hak mereka untuk merasa sedih. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka. Anda seharusnya lebih sensitif dengan kata-kata dan perbuatan anda apabila anda sedang cuba ‘memujuk’ mereka. Namun begitu, sekiranya anak anda masih lagi kelihatan murung atau tertekan selepas sebulan menamatkan perhubunganya, anda mungkin mahu mendapatkan bantuan profesional. 

JANGAN DILUMURKAN GARAM KE LUKA

“Kan mama dah kata dulu? Mama memang tak pernah sukakan budak tu dan Mama tahu dia memang tak sesuai dengan kamu!” Bunyinya seperti skrip drama tetapi memang ada ibu bapa yang selalu berperangai sebegini. Pada dasarnya, kata-kata yang sedemikian kedengaran seperti anda mengatakan kepada anak anda “Padan muka mereka.” Tidak dinafikan, mungkin kita akan gembira sekiranya kita betul, tetapi anak anda pada ketika ini sedang dalam kesedihan. Tidak ada keperluan untuk anda menyakitkan hati mereka lagi dengan menggunakan teguran yang seakan-akan menyindir. Pada ketika ini, apa yang mereka paling perlukan adalah untuk anda cuba memahami mereka dan berikan kasih sayang kepada mereka. 

Concerned serious wife sad about family problem, thinking about relationships ending, husband sitting behind being ignorant and indifferent. Concept of spouse break up, unsuccessful marriage, quarrel

KONGSIKAN CERITA ANDA

Ketika kita muda, kita akan berkongsi segala cerita kepada sahabat karib kita – dari saat kita mula bercinta, ketika kita bertemu janji serta apabila kita putus cinta. Apa kata anda cuba layan anak remaja anda seperti seorang kawan karib? Kongsikan cerita cinta anda pada zaman muda, apa perasaan anda apabila anda putus cinta dan bagaimanakah cara anda mengatasinya. Tunjukkan rasa empati kepada mereka, yang anda faham betapa sukarnya untuk anda melupakan orang yang anda pernah sukai dahulu. Hal ini supaya mereka tahu bahawa anda peduli dengan apa yang mereka sedang lalui kerana anda juga pernah melaluinya dahulu. Yang paling penting adalah untuk anda bantu mereka memahami bagaimanakah kegagalan sesebuah perhubungan itu boleh menjadikan kita seseorang yang lebih baik. Pasti di luar sana ada seseorang yang lebih baik juga buat anak anda.

GALAKKAN ANAK ANDA UNTUK MELUANGKAN MASA DENGAN SAHABAT MEREKA

Usah paksa tetapi dorong anak anda untuk keluar berseronok bersama rakan mereka sekiranya mereka masih bermuram. Mana tahu apabila mereka dikelilingi oleh rakan-rakan, mereka akan lebih mudah untuk melupakan kedukaan mereka? Ada juga remaja yang tidak mahu keluar dengan sesiapa pun dan mengasingkan diri mereka daripada orang lain. Jika ini terjadi pada anak anda, anda boleh galakkan mereka untuk melepaskan stress dengan mengajak mereka bermain permainan video ataupun menonton wayang. Pastikan mereka tidak terlalu berfikiran negatif.

Mustahak bagi kita sebagai ibu bapa untuk sentiasa ada dengan anak kita kerana kita boleh menjadi sumber kekuatan mereka. Anak kita tidak seharusnya takut untuk berkongsi cerita dan perasaan mereka dengan ibu bapa mereka. Jadilah seorang kawan yang mereka boleh percayai dan bergantung harap, nescaya mereka akan merujuk kepada anda sekiranya mereka mengalami sebarang kegusaran dalam kehidupan mereka. Anda boleh rujuk di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang boleh anda lakukan apabila anak anda mula bercinta.