Sekarang merupakan musim hujung tahun! Krismas sudah berhampiran dan mungkin anda sedang bercadang untuk mengunjungi sesuatu tempat bagi meluangkan masa berkualiti dengan bukan hanya bersama pasangan anda tetapi yang paling penting, anak anda! Kanak-kanak suka akan musim Krismas kerana mereka boleh menikmati percutian akhir tahun. Sebagai ibubapa, anda boleh membawa anak anda untuk makan angin dan berseronok sekeluarga. Oleh itu, berikut adalah 8 tempat yang anda boleh mengunjungi bersama anak pada musim Krismas ini!

TEMPAT #1 – TANAH TINGGI GENTING – PAHANG

Sumber: Get Your Guide

Tanah Tinggi Genting dikenali sebagai tempat bercuti yang paling popular di Malaysia dan terkenal kerana taman temanya iaitu Taman Tema Skytropolis yang terletak di First World Plaza dan sebelah SkyAvenue di mana anda boleh menaiki 20 tunggangan. Ketika anda berada di sana, jangan lupa menaiki kereta kabel untuk menikmati pemandangan indah daripada puncak. Selain itu, Tanah Tinggi Genting juga berdekatan dengan Genting Highlands Premium Outlets (GPO) yang sering mempunyai promosi jualan. Oleh sebab itu, ia adalah tempat yang sesuai untuk membeli barang perayaan!

TEMPAT #2 – LEGOLAND MALAYSIA – JOHOR

Sumber: JomJalan

Legoland Malaysia merupakan taman tema antarabangsa yang pertama Malaysia yang terletak di Johor. Dengan saiznya yang seluas 76 ekar, kanak-kanak akan mempunyai banyak ruang untuk berlari dan menikmati berbagai-bagai aktiviti yang disediakan. Hiasan taman tema ini kebanyakannya diperbuat daripada blok Lego! Yakinlah bahawa anak-anak anda akan terpesona dengan skulptur mini istana yang berwana-warni, kapal lanun, haiwan dan juga Menara KLCC yang semuanya dibina dari Lego! Anda juga boleh menempah bilik di Legoland Hotel. Anda boleh memilih bilik berdasarkan 4 tema – Pirate, Adventure, Kingdom dan Ninjago. Reka bentuk di dalam bilik akan berdasarkan pilihan tema anda. Semestinya ini akan menjadi pengalaman berharga buat si kecil anda!

TEMPAT #3 – SUNWAY LAGOON – SELANGOR

SumberVoyagin

Sunway Lagoon bukan hanya dibuka untuk dewasa tetapi kanak-kanak juga! Terdapat 6 zon yang berbeza untuk anda nikmati bersama anak anda! Disebabkan lokasinya yang terletak di Bandar Sunway, anda juga boleh mengunjungi Sunway Pyramid untuk membeli-belah dan mencari makanan ataupun bermalam di Sunway Resort Hotel & Spa atau Sunway Clio oleh sebab berdekatan.

Baca: 7 Tempat Rekriasi Menarik Untuk Dikungjungi Bersama Anak Anda Di Sekitar KL Dan Selangor

TEMPAT #4 – AQUARIA KLCC – KUALA LUMPUR

Sumber: Traveloka

Aquaria KLCC sangat sesuai untuk anak-anak anda kerana anda boleh melihat haiwan lautan seperti ikan dan jerung berenang ketika berjalan melalui terowong jalan bawah laut. Aktiviti ini sangatlah berfaedah kerana ia dapat mendedahkan anak-anak anda kepada pengetahuan tambahan yang berkaitan dengan haiwan serta pemuliharaan ekosistem laut yang mungkin berguna pada masa depan. Ajarkan mereka sementara mereka masih muda!

Baca: 6 Tempat Pembelajaran Untuk Dilawati Bersama Anak Anda Di Sekitar KL Dan Selangor

TEMPAT #5 – MOVIE ANIMATION PARK STUDIOS (MAPS) – PERAK

Sumber: JomJalan

Movie Animation Park Studios, Ipoh, yang juga dikenali sebagai MAPS ialah taman tema animasi yang pertama di Asia! Terdapat lebih daripada 40 tarikan (termasuk tunggangan yang mendebarkan) di 6 zon bertema iaitu Animation Square, Blast Off Zone, Trick O’Thrill, Fantasy Forest Zone, Lakeside Zone, Live Action Zone untuk anda bermain bersama anak-anak anda. Animasi menarik yang terdapat di tempat ini dicipta berdasarkan karakter daripada DreamWorks Animation dan The Smurfs! Sekiranya anda mempunya masa lapang, anda juga boleh mencari makanan di sekitar Ipoh yang juga popular sebagai syurga makanan.

TEMPAT #6 – PENANG HILL – PULAU PINANG

Sumber: Malay Mail

Seperti namanya, Penang Hill yang terletak di Pulau Pinang sedikit dingin berbanding dengan kawasan lain di negeri tersebut, menjadikannya satu tarikan menarik bagi mereka yang ingin mengelakkan cuaca panas di bandar. Salah satu perkara yang menarik yang boleh anda cuba ketika di sana ialah menaiki kereta api ke Penang Hill. Dalam perjalanan tersebut, bolehlah anda  berehat dan menikmati suasana sejuk serta pemandangan yang cantik. Apabila sampai ke puncak bukit, anda sekeluarga akan dapat melihat pemandangan tempat seperti bandar Georgetown, dan jambatan Pulau Pinang.

TEMPAT #7 – TAMAN TEMA AIR A’FAMOSA – MELAKA

Sumber: JomJalan

Tahukan anda bahawa taman tema air yang terbesar di Malaysia terletak di Melaka? Kawasan resort A’Famosa terdiri daripada 3 taman tema yang berbeza dan taman tema air adalah salah satu daripadanya. Terdapat beberapa contoh tarikan untuk anda nikmati iaitu Family Raft, Wave Pool, Big Ice-Cream, High Speed Ride dan lain-lain lagi! Oleh sebab kebanyakan kanak menggemari aktiviti yang berkaitan dengan air, maka anda patut melawat taman tema ini jika mempunyai peluang!

TEMPAT #8 – WESTON RIVER CRUISE – SABAH

Sumber: Sabah Booking

Tempat terakhir yang perlu anda kunjungi terletak di timur Malaysia. Bawalah anak anda ke Weston River Cruise untuk menikmati pengalaman berbeza pada musim Krismas ini! Anda dapat melihat Monyet Proboscis (monyet hidung panjang) yang bergantung pada pokok bakau. Weston juga mempunyai spesies hidupan liar Borneo seperti ular, burung, kera, memerang dan lain-lain. Selepas makan malam, keluarga anda boleh menaiki pelayaran sungai sekali lagi untuk melihat kunang-kunang terbang di sekitar pokok bakau yang kelihatan seperti lampu pokok Krismas!

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan dengan tempat yang anda boleh membawa anak anda untuk bercuti, sila baca 6 Tempat Glamping Mesra Kanak-Kanak di Malaysia.

2019 merupakan tahun yang hebat bagi kami dan kami berharap ia juga sama bagi anda! Oleh itu, untuk menamatkan tahun anda dengan baik, kami mencadangkan anda membawa anak anda ke mana-mana tempat yang disenaraikan di atas pada musim Krismas supaya mereka dapat menikmati keseronokan pada cuti akhir tahun ini. Kami daripada Edu Reviews ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru!