Ibu bapa pada masa kini lebih prihatin tentang pendidikan anak mereka dan mereka sanggup berbelanja besar untuk memastikan anak-anak mereka berpendidikan tinggi. Pelajaran harus bermula pada peringkat awal kerana ia merupakan fasa paling penting dalam pembangunan kanak-kanak dari segala aspek – bahasa, pembinaan watak, pengiraan, sifat, interaksi sosial, kesihatan & kesejahteraan, seni, kemahiran teknologi dan banyak lagi.

 

Walaupun setiap perkembangan kanak-kanak adalah unik, adalah penting untuk memilih pendekatan prasekolah yang sesuai dengan keperluan anak anda. Prasekolah yang berbeza menggunakan pelbagai jenis pendekatan pedagogi  dan program holistik yang berbeza. Maka, ianya adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang jenis-jenis pra-sekolah yang ada supaya anda dapat membuat keputusan yang lebih tepat buat anak anda. Walaupun tidak ada ‘program yang sesuai untuk semua’, artikel ini memberikan gambaran dan panduan untuk membantu anda menentukan prasekolah yang paling sesuai untuk si kecil anda.

Jenis Pendekatan Pra Sekolah

Kualiti Guru dan Sokongan Sekolah

Kelayakan guru serta sokongan daripada pihak sekolah adalah sesuatu yang amat penting untuk diambil berat. Sekiranya anda telah menyenarai pendek prasekolah yang anda minati,  adalah dinasihatkan untuk anda membuat lawatan ke prasekolah yang disenarai pendek, bercakap dengan guru besar dan guru untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang mereka lakukan di sekolah, dan melihat aktiviti mereka. Kekurangan sokongan atau terlalu banyak sokongan daripada guru kepada kanak-kanak berpotensi untuk menjejaskan pembelajaran mereka. Antara beberapa kriteria yang penting untuk ibu bapa ketahui ialah bahan pembelajaran yang menarik, kemahiran bahasa yang sesuai, jenis soalan yang ditanya oleh guru dalam merangsang proses pemikiran kanak-kanak, sistem pemerhatian & pemantauan dan latihan guru berterusan yang disediakan oleh sekolah.

 

Lihat Sekiranya Nilai Mereka Sama Dengan Anda 

Nilai yang dititikberatkan oleh ibu bapa lain mungkin tidak sama dengan keluarga anda. Maka, fikirkan sebaik mungkin apa pendapat anda mengenai pembelajaran di tahap prasekolah dan sama ada ada nilai teras, visi dan falsafah pembelajaran yang dipromosikan oleh sekolah tersebut selari dengan kepercayaan anda. 

 

Fahami Minat Anak Anda 

Sepertimana setiap individu mempunyai nilai yang berbeza, apa yang anda suka tidak semestinya sama dengan minat anakanda. Luangkan masa untuk memahami anak anda dan mengetahui minat mereka. Apakah aktviti-aktivitii yang membuat mereka teruja? Adakah mereka cepat dalam mempelajari sesuatu perkara? Di manakah tahap anak anda berbanding dengan anak-anak lain yang sebaya dengan mereka? Adakah mereka menghadapi masalah dalam melaksanakan kemahiran asas? Faktor-faktor ini juga penting dalam menentukan jenis pendekatan prasekolah yang paling sesuai untuk anak anda.

Belajar Sambil Bermain atau Berseronok Semata-mata?

Hampir kesemua prasekolah mempromosikan pembelajaran  sambil bermain, tetapi persoalannya adakah anak-anak kita benar-benar mempelajari sesuatu daripada pendekatan ini atau adakah mereka hanya berseronok semata-mata? Sekarang, ibu bapa perlu berhati-hati kerana ada banyak salah faham tentang bentuk pembelajaran aktif ini. Walaupun penerapan permainan dalam pembelajaran dapat menarik minat anak-anak, adalah penting untuk kanak-kanak didedahkan kepada bahan pembelajaran yang berkualiti juga. Antara beberapa soalan utama yang ibu bapa boleh tanyakan kepada sekolah adalah – Apakah unsur-unsur pendidikan dalam permainan atau aktiviti mereka? Bagaimana aktiviti tersebut dapat menyediakan kanak-kanak untuk pendidikan formal kemudian hari? 

 

Bersembang dan Rujuk Kepada Ibu Bapa Lain

 Tiada siapa yang bersendirian dalam perjalanan membesarkan si kecil. Walaupun kini maklumat sangat mudah untuk diakses secara dalam talian, tiada apa yang lebih baik daripada mendengar sendiri daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman dari kita. Selain itu, lebih baik sekiranya anda mempunyai kumpulan sokongan di saat anda perlukan pendapat atau nasihat mengenai anak anda. 

 

Ruang yang Secukupnya

Mempunyai sukatan pelajaran yang baik adalah penting untuk anak anda,namun begitu juga dengan ruang yang luas bagi pembelajaran mereka. Bilik darjah, koridor dan ruang luar yang luas sering menggalakkan kanak-kanak belajar dan berkembang dengan lebih baik. Ruang yang luas juga bermakna lebih banyak aktiviti untuk anak anda! Memandangkan kanak-kanak selalunya sangat bertenaga, maka mereka memerlukan ruang yang secukupnya dan aktiviti yang bersesuaian supaya tenaga mereka dapat digunakan sebaik mungkin. Untuk pengetahuan anda, mengendalikan kanak-kanak di dalam ruang terhad hanya akan memudaratkan pertumbuhan dan perkembangan mereka. Jadi, pastikan prasekolah yang anda lawati tidak terlalu kecil buat anak anda.

Pertimbangkan Kos

Adalah penting bagi ibu bapa menilai kos program prasekolah dengan sebaiknya untuk mengelakkan pembaziran. Adakah kos yang anda bakal keluarkan setara dengan kualiti guru, sukatan pelajaran, aktiviti, kemudahan, perkhidmatan dan sokongan yang ditawarkan? Yuran yang lebih tinggi juga tidak semestinya bermakna mereka mempunyai program dan perkhidmatan yang lebih baik. Berhati-hatilah dengan caj tersembunyi atau perbelanjaan tambahan mengejut yang mungkin dikenakan oleh sesetengah prasekolah tanpa pemberitahuan awal. 

 

Komunikasi dengan Pihak Sekolah

Satu lagi pertimbangan utama untuk ibu bapa ialah kerjasama prasekolah. Kerana kebanyakan ibu bapa sibuk dengan kerja, kadang kala ini boleh menjadi cabaran bagi anda untuk memantau kemajuan mereka di sekolah. Namun begitu, anak anda akan berkembang dengan lebih baik sekiranya ibu bapa sentiasa tahu akan prestasi mereka di sekolah. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bahawa prasekolah yang anda pilih komunikasi terbuka antara ibu bapa, guru dan pengetua.

Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran tentang perkara penting yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih prasekolah buat anak anda. Nantikan artikel kami yang seterusnya di mana kami akan mengulas tentang pendekatan prasekolah dengan lebih lanjut lagi.