Jika 70 tahun yang lalu kaedah kuku besi dianggap cara yang paling berkesan untuk membesarkan anak-anak, mungkin tidak lagi hari ini. Malah, kini, boleh dikatakan agak sukar untuk kita memastikan anak-anak hanya mengikut telunjuk kita dan mematuhi peraturan yang kita tetapkan tanpa kita perlu jelaskan sebab di atas sesuatu arahan itu. Berbeza dengan dahulu, kita juga tidak boleh menghukum mereka secara membuta tuli. 

Arus pemodenan dan digitalisasi semestinya telah memainkan peranan besar dalam mengubah landskap keibubapaan masa kini. Dengan media sosial, pornografi dan kandungan ganas begitu mudah untuk diakses pada masa kini, persoalan yang mungkin sukar dijawab ialah,  apakah cara terbaik untuk kita bimbing anak-anak kita sedangkan cabaran untuk membesarkan mereka telah menjadi semakin rumit? Memang benar, tidak mudah untuk menggariskan cara terbaik untuk menjadi ibu bapa yang sempurna, tetapi kami percaya terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk melindungi anak-anak kita daripada bahaya dunia digital.

PERMODELAN 

Tingkah laku kanak-kanak sering dipengaruhi oleh apa yang mereka perhatikan, terutamanya di tahun-tahun awal kehidupan mereka. Oleh itu, jika anda mahu mereka mengamalkan sesuatu tabiat, maka anda harus menjadi contoh yang mereka boleh ikuti.

Sebagai contoh, daripada hanya menetapkan peraturan yang mengehad penggunaan teknologi anak-anak anda, anda perlu mengekang penggunaan media anda juga. Tidak adil buat mereka sekiranya anda menyuruh mereka untuk mengurangkan menonton televisyen sedangkan anda sendiri kerap bermain permainan di telefon bimbit dan menatal skrin Facebook anda. Sebaliknya, bawa mereka keluar untuk berjoging atau berkelah. Baca buku dengan mereka dan ajarkan mereka tentang sikap empati dengan membawa mereka ke program sukarela dan sebagainya.

TEKNOLOGI BUKAN ALATAN MEMUJUK

Sungguhpun benar penggunaan alatan elektronik sangat efektif dalam menenteramkan anak anda ketika mereka sedang meradang atau bosan, namun ini bukanlah cara penyelesaian jangka masa panjang yang terbaik. Kanak-kanak perlu diajar bagaimana untuk mengendalikan emosi mereka melalui teknik pernafasan yang betul, berkongsi perasaan mereka serta cuba untuk menyelesaikan konflik dalaman dengan cara yang tenang.

PUNYAI PEMIKIRAN POSITIF

Adalah penting bagi ibu bapa untuk mengikuti perkembangan semasa kerana ilmu ini dapat digunakan untuk membimbing anak-anak melalui zaman digital. Sudah tentu media digital punyai kesan positif dan negatif kepada penggunanya. Demikian, ibu bapa harus bijak dalam memilih jenis media yang perlu didedahkan kepada anak-anak. Kami faham, sesetengah ibu bapa mungkin menghadapi kesukaran belajar menggunakan teknologi, walaubagaimanapun, penggunaan teknologi masih perlu dipantau demi keselamatan mereka. 

MENGHUKUM ATAU MENJELASKAN?

Meskipun masih ada ibu bapa yang percaya tindakan menghukum adalah cara yang terbaik untuk mendisiplinkan dan mengajar anak-anak tentang kepatuhan, banyak penyelidikan telah membuktikan bahawa pendedahan kepada keganasan sebenarnya sangat bahaya buat kanak-kanak untuk jangka masa panjang. Malah, dengan memukul anak-anak anda apabila mereka menimbulkan masalah, anda hanya mengajar mereka bahawa keganasan adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Apabila mereka membesar, mereka mungkin menggunakan perkataan kasar dan keganasan fizikal untuk menyelesaikan pertikaian kerana itu sesuatu yang biasa bagi mereka. 

Mendidik anak-anak mengenai apa yang betul dan salah bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih apabila mereka lebih mempercayai internet lebih daripada anda. Jadi, apakah yang boleh anda lakukan? Mungkin anda mahu mencuba kaedah ‘disiplin positif’. Model ini mengajar kanak-kanak bagaimanakah cara mengatasi masalah dengan tenang dan bijak. Tatkala seorang kanak-kanak melakukan kesilapan, daripada memarahinya, jelaskan pada mereka mengapakah perbuatan mereka itu salah dan apakah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Pendekatan ini lebih demokratik kerana anak-anak tidak akan merasa patah hati, mereka juga dapat belajar cara yang lebih efektif untuk menyelesaikan masalah mereka. 

BERHUBUNG DENGAN ANAK ANDA

Selalunya, sebab mengapa anak-anak sering beralih kepada gajet adalah kerana ibu bapa mereka tidak ada apabila mereka memerlukan seseorang untuk berkongsi cerita. Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda seharusnya meluangkan sedikit masa bersama mereka. Tanyakan kepada mereka tentang hari mereka dan berikan mereka pelukan atau ciuman sekiranya sudah tidak melakukannya untuk masa yang lama. Walaupun ada yang kekok dengan perlakuan ini (lebih-lebih lagi remaja), sentuhan kasih sayang masih sangat penting dalam perkembangan anak anda, baik dari segi mental dan fizikal.

Jika anda ingin tahu tentang alam percintaan mereka, mengenai kawan-kawan atau aktiviti yang sedang mereka lakukan, jangan segan silu untuk bertanya kepada mereka. Mungkin mereka memerlukan sedikit masa sebelum berasa selesa untuk bercerita kepada anda, tetapi berilah mereka sokongan dalam proses tersebut.

PRIVASI DAN BAHANA ATAS TALIAN

Sebelum membiarkan anak-anak kita memulakan perjalanan digital mereka, mungkin kita harus berkongsi pengetahuan dan nilai yang kita ingin mereka ketahui atau amalkan. Hal ini kerana, langkah ini adalah penting dalam membantu anak-anak kita memahami bagaimana menggunakan teknologi secara bertanggungjawab. 

Siberbuli, contohnya, sering berlaku kerana kanak-kanak tidak diberitahu apakah akibat daripada melakukan sesuatu kesalahan, maka mereka tidak berasa bersalah, malah berasa seronok apabila melakukannya.  Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda perlu mula menerapkan nilai moral yang baik ini ketika mereka masih muda. Benar, mungkin akan mempelajari tentang nilai murni sekolah, tetapi harus kita ingat, pendidikan selalu bermula di rumah!

Selain itu, mustahak juga untuk kita mendidik anak-anak tentang cara penggunaan internet yang selamat. Ajari mereka tentang privasi mereka dan cara-cara untuk melindunginya daripada disalahguna. Pastikan mereka tahu tentang bahaya pemangsa atas talian. Mereka juga perlu tahu bahawa apa sahaja yang mereka kongsi di atas talian – imej, video, serta pendapat mereka akan serta merta menjadi sebahagian daripada jejak digital mereka selama-lamanya.

TETAPKAN MASA MENGHADAP SKRIN

Kegunaan media, seperti semua kegiatan lain, harus mempunyai batas yang munasabah. Buat kanak-kanak kecil terutamanya, pastikan mereka punyai masa bermain yang tidak melibatkan penggunaan alatan elektronik. Di samping itu, masa terluang bersama keluarga, sahabat dan guru-guru juga memainkan peranan penting dalam mendorong pembelajaran kanak-kanak dan pembangunan yang sihat. 

PANTAU PERLAKUAN MEREKA AND TETAPKAN BATASAN

Tidak kisahlah sama ada anda sedang mendidik anak anda mengenai dunia sebenar atau alam maya, garis panduan keibubapaan yang digunakan adalah sama sahaja. Pastinya mereka akan melakukan kesilapan. Sebaiknya, kendalikan kesilapan mereka dengan rasa empati dan ambil peluang ini untuk tunjukkan pada mereka cara terbaik untuk mengendalikannya. Perkara seperti menghantar teks yang berbaur seksual, buli atas talian dan menyebarkan imej yang membahayakan diri, perlu di anggap sebagai bendera merah. Ibu bapa perlu memerhati perilaku anak-anak mereka dengan teliti, mengetahui platform yang anak-anak sering lawati, dan ketahui apa yang mereka lakukan di atas talian. Anda juga mungkin mahu mengetahui siapakah rakan anak anda, baik di luar mahupun di atas talian. 

Ingat bahawa tidak semua aplikasi adalah “pendidikan” kerana ia menggalakkan, oleh itu adalah penting untuk ibu bapa membaca ulasan dan skrin melalui aplikasi sebelum membiarkan anak anda menggunakannya.Anda juga harus ingat, bukan semua aplikasi pendidikan benar-benar membantu mendidik anak-anak. Buat kanak-kanak kecil terutamanya, penting untuk ibu bapa membaca ulasan sebelum memuat turun dan membenarkan anak anda menggunakannya. Kebanyakan gajet kini juga dilengkapi fungsi kawalan keibubapaan yang membenarkan anda untuk menyekat aplikasi atau platform yang anda rasa berbahaya bagi anak-anak anda.  

DORONGAN POSITIF (“POSITIVE REINFORCEMENT”)

Skinner (1938) percaya yang otak manusia belajar untuk menerima atau meninggalkan sesuatu tabiat atau perlakuan dengan mempertimbangkan hukuman atau ganjaran yang berkaitan dengan tingkah laku tersebut. Premisnya mudah sahaja, jika anda mendapat ganjaran apabila melakukan sesuatu, tingkah laku itu diperkuat; maka anda akan melakukannya dengan lebih kerap lagi. Dan sekiranya anda mendapat hukuman apabila melakukan sesuatu yang dianggap salah, tingkah laku akan semakin dikurangkan. 

Dorongan sebegini adalah sangat berguna dalam menerapkan nilai dan disiplin di dalam diri anak-anak kita. Dengan itu, sekiranya anak anda melakukan sesuatu dengan baik, berikanlah mereka sedikit pujian mahupun hadiah kerana dorongan tersebut dapat membuatkan mereka rasa seperti mereka telah mencapai sesuatu, seterusnya memberi motivasi untuk mereka melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. Sedemikian juga jika mereka melakukan sesuatu yang salah. Anda juga perlu membetulkan dan menghukum mereka dengan sewajarnya.

BERHENTI MEMBANDINGKAN MEREKA

“Masa muda dulu, abah boleh saja melakukannya, kenapa anak abah tak boleh?” “Cubalah kamu rajin sikit macam kakak tu?” Perbandingan telah menjadi begitu sebati dengan masyarakat kita kerana kita terlalu kerap meletakkan harapan dan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak kita. Sungguhpun kita mahu mereka berjaya dalam kehidupan, kita tidak seharusnya memaksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak sukai hanya kerana anak jiran kita bagus dalam melakukannya. Apabila kita memaksa mereka, mereka bukan saja akan hilang keyakinan diri apabila mereka tidak berjaya melakukannya dengan baik, mereka juga akan membenci orang yang kerap dibandingkan dengan mereka. Kita perlu mula mengajar anak-anak dari kecil yang kepuasan dalam melakukan sesuatu bukannya datang daripada mengalahkan orang lain, namun apabila kita berupaya memperbaiki diri sendiri. 

Kita tidak akan dapat menghalang kemajuan teknologi, tetapi kita boleh cuba menyesuaikan diri selari dengan peredaran semasa dan menjadi ibu bapa yang baik dalam zaman digital ini.Teknologi mempunyai banyak faedah positif jika mereka didedahkan kepada bahan yang betul, oleh itu, asalkan mereka diajar kaedah yang betul, anak anda patut berada di landasan yang betul.