Sewaktu Thaipusam, ribuan penganut Hindu di dunia akan bangun sebelum fajar menyingsing demi satu tujuan – untuk mencucuk diri mereka dan mengangkat struktur kavadi seberat 30kg sebagai tanda kesyukuran dan memohon kemaafan. Walaupun perayaan ini khususnya disambut oleh mereka yang yang beragama Hindu, kedinamikan dan kemeriahan Thaipusam selalunya berjaya menarik lebih dari sejuta penganut dan penonton ke Batu Caves setiap tahun. 

Pesta keagaaman yang melambangkan kekuatan dan penebusan dosa ini sebenarnya meraikan dewa Murugan, yang juga dikenali sebagai dewa keberanian, kekayaan dan kebijaksanaan. Mengikut kepercayaan Hindu, Thaipusam disambut untuk memperingati hari di mana Pavarthi, dewi Hindu, memberi anaknya, Murugan sebuah tombak bernama “Vel” untuk mengalahkan kejahatan. “Thai” membawa maksud “kesepuluh” manakala “pusam” bererti “saat bulan paling cerah”. Itulah sebabnya Thaipusan diraikan setiap tahun pada bulan kesepuluh pada malam bulan penuh mengikut kalender Tamil. Keraikan ini boleh jatuh pada tarikh yang berbeza pada setiap tahun tetapi selalunya ia akan berlaku di antara Januari hingga Februari dan berlangsung selama tiga hari.

Tahun ini, Thaipusam jatuh pada 8 Februari. 

THAIPUSAM DI MALAYSIA

Thaipusams Batu Cave

Sumber : KL Sentral

Perayaan Hindu Thaipusam adalah mengenai kepercayaan, ketekunan dan penebusan dosa. Pada hari ini, penganutnya akan berkumpul di sekitar kuil Dewa Murugan yang terkenal, iaitu Batu Caves untuk memberi hadiah kepada tuhan mereka sebagai tanda terima kasih, berdoa ataupun hanya berada di sana untuk merasa kemeriahan sambutan tesebut. Apa yang aneh dan menarik perhatian ramai ialah apabila ada yang membuat persembahan sambil membawa kavadi yang mencucuk daging mereka. 

APA ITU KAVADI? 

Kavadhi

Sumber: Khurki

Kavadi terdiri daripada tiang kayu pendek yang diikat kepada lengkungan kayu. Selalunya, gambar atau patung dewa Murugan akan diletakkan atau dilekatkan kepada struktur ini. Kavadi juga akan dihiasi dengan bulu merak dengan periuk kecil susu digantung di bahagian kanan dan kiri lengkungan kayu tersebut. Namun begitu, seiring dengan peredaran masa, kavadi juga telah berkembang kepada pelbagai bentuk dan saiz. Antara kavadi yang terkenal melibatkan anggota badan seperti pipi dan kulit badan dicucuk kepada besi atau cangkuk. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya anda terlihat sesetengah pembawa kavadi menggantung bekas susu dan buah-buahan yang berat menggunakan cangkuk sementara ada yang membawa kavadi yang dihiasi dengan bunga dan bulu merak di atas bahu mereka.  

MENGAPA MEREKA MENCUCUK DIRI MEREKA?

lelaki Thaipusam

Sumber : Khurki

Penganut Hindu selalunya akan berjanji atau bernazar untuk melakukan sesuatu demi menunjukkan kesyukuran mereka kepada dewa Murugan di atas rezeki yang diberikannya. Apabila hasrat mereka ditunaikan atau mereka ingin bertaubat, mereka akan membawa kavadi pada hari Thaipusam. Membawa kavadi dipercayai dapat membantu penganut Hindu untuk melepaskan diri dari dosa mereka – ego, kemarahan, nafsu, ketamakan dan kebencian.

Pembawa kavadi dipercayai akan berada dalam keadaan khayal atau separuh sedar, dikenali sebagai “arul vaku” apabila mantera dan nyanyian dimainkan bersama ketukan gendang. Pada saat ini, dikatakan bahawa semangat dewa telah memasuki tubuh mereka. Oleh sebab itulah mereka berupaya mencucuk daging mereka dengan besi tanpa berasa terlalu sakit. Untuk menjadi pembawa kavadi, seseorang itu harus berpantang selama 48 hari dan menjauhkan diri daripada sebarang kemewahan, perhiasan dan nafsu sebelum perayaan tersebut. Vegetarianisme adalah mandatori semasa tempoh ini. Selain itu, pembawa kavadi perlu menahan diri dari alkohol, merokok dan menggunakan perkataan kesat. Para penganut juga perlu tidur di lantai tanpa bantal pada kesemua 48 hari dan bangun sebelum matahari terbit untuk meditasi dan nyanyian. 

 

Idea untuk membawa anak anda ke Batu Caves untuk menyaksikan perayaan Thaipusam yang meriah dan berwarna-warni ini sememangnya bagus. Tetapi anda juga perlu berhati-hati kerana sesetengah kanak-kanak tidak terbiasa dengan bilangan orang yang terlalu ramai dan keadaan sesak. Pastikan anda sentiasa berdekatan dengan anak anda supaya anda tidak terpisah daripada mereka.