Dengan wabak coronavirus kini sudah menular ke Malaysia, ramai sedang mencari jalan untuk melindungi diri mereka. Salah satu benda yang paling mendapat permintaan hari ini ialah topeng muka pembedahan, tetapi adakah anda benar-benar tahu sekiranya ini merupakan topeng yang paling berkesan untuk melindungi anda daripada virus tersebut? Benarkah topeng N95 yang terbaik dalam penapisan virus? Bolehkah kita mengulang pemakaian topeng atau adakah kita perlu membuang topeng yang kita pakai selepas memakainya sekali? Jangan risau, dalam artikel ini kami telah menyimpulkan semua yang anda perlu tahu mengenai topeng muka untuk menghilangkan keraguan anda
BENARKAH TOPENG MUKA BENAR-BENAR BERKESAN?
Ya, memakai topeng dengan cara yang betul boleh membantu menyaring zarah udara.
Pada tahun 2008, penyelidikan klinikal yang diterbitkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Antarabangsa telah membuat kesimpulan bahawa penggunaan topeng muka yang betul dapat membantu mencegah penyebaran penyakit. Jika ada ahli keluarga yang didiagnosis dengan influenza, didapati kadar jangkitan boleh diturunkan sebanyak 80% jika mereka memakai topeng muka dengan cara yang betul.
Walau bagaimanapun, kajian ini juga mendapati bahawa kadar risiko jangkitan tidak akan berkurang bagi mereka yang memakai topeng tetapi tidak mencuci tangan dengan kerap. Oleh itu, anda harus sentiasa ingat untuk mencuci tangan dengan cara yang betul.
BAGAIMANAKAH CARA MEMAKAI TOPENG MUKA?
Topeng muka pakai buang hendaklah digunakan sekali sahaja dan kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah. Anda juga perlu menggantikan topeng muka anda apabila ia menjadi lembap.
LANGKAH UNTUK MEMAKAI TOPENG MUKA
- Bersihkan tangan anda dengan air dan sabun atau pembasmi kuman sebelum menyentuh topeng anda.
- Keluarkan topeng dari kotak dan pastikan tiada koyakan atau lubang jelas di kedua-dua belah topeng.
- Tentukan bahagian mana topeng adalah bahagian atas. Bahagian topeng yang boleh dibentukkan adalah bahagian atas. Bahagian ini bertujuan untuk ditekan mengikut bentuk hidung anda.
- Tentukan bahagian mana topeng adalah bahagian depan. Bahagian topeng yang berwarna biasanya di bahagian depan, manakala sisi putih pula perlu menyentuh wajah anda.
- Ikut arahan di bawah mengikut jenis topeng yang anda gunakan.
- Topeng muka dengan gelung telinga: Pegang topeng pada bahagian gelung telinga. Letakkan gelung tersebut pada kedua-dua belah telinga.
- Topeng muka dengan tali: Bawa topeng ke paras hidung anda dan letakkan tali di atas kepala anda dan ketatkan ikatan. Pegang tali bawah, satu tali pada satu tangan dan ketatkan dengan ikatan riben terletak pada bahagian leher anda. Tarik bahagian bawah dan pastikan ia menutup bahagian mulut dan dagu anda.
- Topeng muka dengan gelung kepala: Pegang topeng dengan satu tangan dan pastikan bahagian untuk hidung berada di atas. Lekapkan topeng pada paras hidung dan tarik gegelang atas ke atas kepala anda supaya ia terletak di belakang kepala anda. Tarik tali bawah di atas kepala anda supaya ia terletak pada tengkuk leher anda. Picit dan bentukkan topeng di bahagian hidung anda untuk memastikannya terletak dengan baik.
CARA MEMBUKA TOPENG MUKA
- Bersihkan tangan anda dengan sabun dan air atau pembasmi kuman sebelum memegang topeng muka. Elakkan daripada menyentuh bahagian depan topeng kerana bahagian ini sudah tercemar. Hanya pegang bahagian gelung telinga, tali atau gelung kepala. Ikut arahan di bawah untuk mengetahui cara terbaik bagi setiap jenis topeng.
- Topeng muka dengan gelung telinga: Pegang kedua gelung telinga. Tarik dan alihkan topeng tersebut secara perlahan-lahan.
- Topeng muka dengan tali: Buka ikatan bawah dahulu sebelum ikatan atas dan tarik sahaja tali tersebut.
- Topeng muka dengan gelung kepala: Alihkan gelung bahagian bawah dahulu sebelum gelung atas.
- Buang topeng ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan anda dengan air dan sabun atau pembasmi kuman.
JENIS-JENIS TOPENG
Terdapat pelbagai jenis topeng yang dijual di pasaran. Antara yang paling umum termasuklah topeng N95, topeng pembedahan, topeng karbon, topeng span dan topeng muka kapas. Topeng wajah yang berbeza mempunyai kadar dan fungsi penapisan yang berbeza. Topeng N95 dan topeng pembedahan sangat disyorkan untuk melindungi diri anda dari zarah-zarah udara yang tercemar.Topeng ini mampu menapis sehingga 95% zarah udara. Sementara itu, topeng karbon, topeng span dan topeng muka kapas tidak disyorkan kerana kebanyakannya digunakan untuk menghalang zarah besar dan menyerap bau yang tidak baik.
APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA N95 DENGAN TOPENG PEMBEDAHAN?
CDC telah mengeluarkan garis panduan mengenai dua jenis topeng muka – topeng pembedahan dan topeng N95 – yang biasanya dipakai oleh profesional penjagaan kesihatan dan mereka yang telah dijangkiti.
Memakai topeng pembedahan membantu menyaring 90% zarah dengan diameter median massa 0.5 micrometres. Namun begitu, bahagian bawah topeng pembedahan selalunya longgar. Maka, apabila si pemakai mengambil nafas, terdapat potensi untuk zarah udara masuk dari bahagian bawah atau sisi topeng tersebut/
Topeng N95 sangat disyorkan buat profesional penjagaan kesihatan oleh CDC sekiranya mereka merawat pesakit yang dijangkiti oleh coronavirus baru. Topeng N95, yang memerlukan ujian dan kelulusan oleh CDC, adalah lebih ketat dan mampu menyaring sekurang-kurangnya 95% zarah udara. Walau bagaimanapun, topeng N95 harus diuji untuk memastikan ia berfungsi dengan betul, maka apabila yang tidak terlatih meletakkannya dengan cara yang salah, ini akan mengurangkan kesan pencegahan. Topeng N95 juga sukar dipakai berkesan untuk tempoh masa yang berpanjangan.
CARA MENGENALPASTI TOPENG N95 YANG PALSU
Terdapat banyak topeng N95 palsu di pasaran. Memakai topeng muka yang palsu boleh menyebabkan langkah pencegahan tidak efektif. Yang lebih merisaukan ialah, anda juga berpotensi untuk mendapat penyakit kerana bahan yang digunakan untuk membuat topeng tersebut mungkin tidak diregulasi. Untuk memastikan anda membeli topeng N95 yang betul, anda harus sentiasa memeriksa harga dan butiran pembungkusan sebelum membelinya.
3M Malaysia tidak menetapkan harga di pasaran. Anda boleh menemui kos topeng 3M 8210 N95 dari RM 35 – RM 100 (harga jualan di farmasi adalah sekitar RM 5 / sekeping). Ini margin yang luas. Jadi, agaimana caranya untuk mengetahui sama ada ia adalah produk yang sebenar atau palsu? Sekiranya 3M 8210 anda dijual pada harga di bawah RM 50, ada kemungkinan bahan tersebut ialah produk tiruan. Jika tidak, produk itu mungkin diimport dari negara lain, yang tidak dilindungi oleh liputan 3M Malaysia.
Anda juga harus menyemak artikel yang ditulis oleh Thai Residents, yang menulis catatan terperinci membandingkan topeng N95 palsu dan sebenar.
Untuk membuat kesimpulan, topeng N95 memberikan perlindungan terbaik terhadap virus. Walau bagaimanapun, anda mungkin mahu mempelajari cara memakai topeng N95 dengan betul supaya ia sesuai dengan anda. Sesetengah mungkin merasa tidak selesa untuk memakai topeng N95 dan ada yang tidak dapat memakainya terlalu lama Sekiranya ia berlaku, adalah lebih baik untuk anda memakai topeng muka pembedahan dan bukannya memakai topeng muka.
Akhir sekali, jangan lupa untuk mencuci tangan dengan kerap! Elakkan pergi ke kawasan sesak dan memakai topeng apabila anda keluar.