Pelawak Kelas 

Memang dia boleh membuatkan anda ketawa terbahak-bahak tetapi kadang-kala lawaknya terlalu hambar, anda tidak tahu sekiranya anda mahu gelak ataupun tidak. Jika anda diusiknya setiap hari, sama ada dia seorang yang cepat bosan dan perlukan perhatian, tidakpun mungkin juga dalam diam dia meminati anda! Tetapi berhati-hati! –  berlawak, berlawak juga, usah biarkan dia melampaui batas gurauan serta bersikap kurang ajar terhadap anda. 

Murid Kegemaran Guru

Mereke tidak pernah menidakkan arahan cikgu apatah lagi melakukan sesuatu yang melanggar peraturan sekolah. Walaupun bukan semuanya begini, ada antara mereka akan berbuat apa-apa sahaja untuk mendapatkan perhatian guru kelas termasuklah mengadu tentang anda! Melainkan anda ingin mencari masalah, elakkan berkongsi cerita sensasi dengan mereka. Nanti semua diceritakan pada guru tersebut!

Yang Popular

Mereka sama ada pintar, berbakat dalam muzik atau seni, atletik, berkarisma, cantik atau kacak, lucu, baik hati atau kesemuanya sekali! Mereka digemari ramai kerana selalunya mereka sangat menyenangkan, ringan tulang dan ramah dengan semua orang, termasuklah mak cik kantin anda! Benar, ada yang sangat sombong di atas kelebihan mereka, jadi mereka tidak mahu berkawan dengan orang lain tetapi tidaklah semuanya begitu. Jangan terlalu mencuba untuk disukai oleh mereka yang popular ini. Kadang-kala tidak berbaloi pun. 

 Yang Kuat Mengarah 

Lantang, suka menjadi perhatian semua orang, cepat melenting dan selalunya ‘ketua’ kepada satu kumpulan. Mereka sering saja memerintah dan mempersoalkan anda tentang semua yang anda lakukan. Sekiranya persahabatan anda terancam hanya kerana anda tidak mengalah dengan ‘cadangan’ mereka, hati-hati! Ini mungkin tanda amaran untuk anda perlahan-lahan menjauhkan diri daripada kawan ini. 

Ratu Drama

Ah, semua orang mesti pernah bertemu dengan seseorang yang berperangai sebegini. Selalunya murid perempuan, mereka sedikit berbeza dengan mereka yang suka mengarah. Boleh jadi mereka ini pendiam dan kelihatan sangat baik, tetapi sebenarnya bakat terpendam mereka ialah untuk mencipta drama tanpa menjadi bahan perhatian. Mereka tahu semua gosip (kerana mereka antara orang yang menciptanya) dan suka menonton drama tersebut dari jauh sahaja. 

Si Pembuli

Pembuli  biasanya memilih pelajar yang tidak mampu atau tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri. Antara cara pembulian termasuklah fizikal, lisan, dan pembulian siber. Biasanya, pembuli ini berasal daripada keluarga yang bermasalah, persekitaran yang tidak sihat, atau mereka sendiri pernah menjadi mangsa buli. Seringkali mereka cuma hanya menyorokkan diri mereka yang lemah di sebalik topeng buli itu. Dapatkan bantuan sekiranya anda dibuli. Usah takut dan malu. Anda perlu ada cukup rasa hormat dan sayang kepada diri anda untuk mempertahankan diri anda. 

Yang Tidak Bermotivasi

Sering dilabel sebagai pemalas, kadang kala cikgu sendiri boleh berputus asa dengan mereka yang tidak bermotivasi ini. Mereka selalu sahaja kelihatan mengantuk di dalam kelas. Mungkin ini merupakan cara untuk mereka menyembunyikan masalah keluarga atau keyakinan diri mereka. Selalunya, apabila mereka ini diberi dorongan dan bangkit kembali, tidak mengejutkan jika prestasi mereka mencanak naik. Apa kata anda cuba dekati dan fahami mereka.  Sering dilabel sebagai pemalas, kadang kala cikgu sendiri boleh berputus asa dengan mereka. Mereka selalu sahaja kelihatan mengantuk di dalam kelas. Mungkin ini merupakan cara untuk mereka menyembunyikan masalah keluarga atau keyakinan diri mereka. Selalunya, apabila mereka ini diberi dorongan dan bangkit kembali, tidak mengejutkan jika prestasi mereka mencanak naik. Mana tahu anda akan mendapat kawan baru?

Yang Tidak Teratur

Mereka ini selalu sahaja terlupa akan sesuatu dan seringkali tidak pandai menguruskan masa. Meja dan loker mereka sentiasa bertimbun dengan sampah yang banyak, jadi untuk mencari sesuatu barang kadang kala memang payah! Walaupun tidak teratur, sesetengah mereka dilahirkan sangat pintar dan berbakat! Yang lain pula.. Mungkin personaliti mereka memang begitu. Amnya berkawan dengan mereka memang seronok kerana sikap acuh tidak acuh mereka itu. Mereka juga jarang menghakimi orang lain, jadi anda pun janglah terlalu menghakimi mereka!

 

Si Bijak Pandai 

Pelajar kelas pertama, mereka sangat bermotivasi untuk mempelajari benda baru. Mungkin bukan semuanya gemar belajar kerana sesetengah “harus” menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik atas desakan ibu bapa tetapi pucuk pangkalnya mereka bijak. Mereka inilah yang mungkin menjadi doktor atau peguam atau jurutera. Tetapi, ada antara mereka yang bukan sahaja berbakat dari segi akademik tetapi hebat dalam perkara lain juga. Maka, berkawan dengan mereka ini boleh membuatkan anda sama ada lebih bermotivasi atau rendah diri sehinggakan anda segan untuk bersama mereka.Jika ada yang betul-betul ikhlas untuk membantu anda, janganlah berasa rendah diri. Terima kebaikan mereka. Apabila anda belajar dengan mereka, anda juga boleh memperbaiki prestasi diri anda. Siapa tahu mereka akan mempelajari sesuatu daripada anda juga? Tapi jika anda jumpa si pandai yang bongkak, cari saja kawan lain. 

Yang Biasa Biasa

Jika satu pun kategori di atas tidak sesuai dengan anda, anda mungkin jatuh dalam kategori ini. Pelajar yang biasa-biasa sahaja ini bukanlah yang terbaik tetapi mereka juga tidaklah teruk. Prestasi mereka selalunya okey sahaja dalam semua perkara. Mereka mungkin berfikir bahawa kehidupan sekolah mereka  kurang menarik kerana mereka tidak menyerlah daripada orang lain. Tetapi, ini mungkin kerana mereka belum lagi menemui bakat dan kekuatan mereka. Setelah mereka menemuinya, tidak mustahil mereka boleh menjadi murid yang ‘luar biasa’! Jangan pernah pandang rendah kepada mereka yang biasa- biasa ini. Mana tahu satu hari nanti mereka akan menjadi bos di tempat kerja anda?

Anda mungkin seorang yang masih belajar ataupun dewasa yang sudah menamatkan zaman persekolahan anda bertahun yang lalu, tetapi pasti saja karakter di atas mengingatkan anda kepada seseorang di sekolah anda. Agaknya anda sendiri jenis pelajar yang bagaimana? Kongsikan dengan kami dan tinggalkan komen anda di ruangan di bawah!