Adakah anak kecil anda enggan memakan apa-apa selain makanan bergoreng dan gula-gula? Dan setiap waktu makan bagaikan pertempuran di mana jika anak anda tidak meragam, atau bermain dengan makanan, mereka akan membuang makanan tersebut? Untuk pengetahuan anda, anda tidaklah bersendirian. Ia adalah perkara biasa, terutamanya apabila bayi anda telah melepasi tahap pertumbuhan pesat dan peningkatan berat badan. Selera makan mereka akan berkurang dan mereka juga akan menjadi lebih memilih makanan mereka. 

Mengendalikan si kecil yang kini lebih cerdik dalam memilih makanan semestinya memerlukan banyak kesabaran. Tetapi usah hampa kerana selera makan anak anda akan berubah, cuma mungkin ini akan mengambil sedikit masa. Sementara itu, kami ada beberapa petua yang berkesan yang anda mahu cuba!

HORMATI SELERA MAKAN ANAK ANDA

Apabila anak-anak bermain dengan makanan mereka atau enggan makan, pastikan anda tidak memarahi mereka. Anda mungkin boleh memujuk tetapi usah memaksa mereka makan kerana ia tidak akan berfungsi. Tambahan, apabila mereka dimarahi atau dipaksa, mereka akan mula tidak menyukai waktu makan kerana mereka akan mengaitkannya dengan emosi yang negatif. Untuk sesetengah kanak-kanak, mereka lebih seronok melihat reaksi anda apabila mereka memberontak.

Picky eater

TETAPKAN JADUAL MAKAN

Sepertimana anak-anak anda perlu mempunyai jadual belajar, masa makanan juga perlu ditetapkan pada waktu yang sama setiap hari. Pengulangan ini akan menjadikan anak anda lebih berdisiplin. Mereka juga akan belajar bahawa makanan hanya akan diberi pada waktu makanan, maka mereka akan lebih berhati-hati untuk tidak membuang makanan kerana mereka harus menunggu waktu makan seterusnya sekiranya mereka berbuat sedemikian. 

 HIDANGKAN SATU JENIS MAKANAN SAHAJA

Jika si kecil enggan makan, tahan diri anda daripada menyediakan hidangan yang lain untuk memuaskan keinginan mereka kerana ini hanya akan menjadikan mereka lebih memilih. Ingat, jika mereka meminta anda untuk makanan selepas waktu makan mereka, usah mudah beralah. Tidakpun, tawarkan alternatif yang sihat atau membosankan. Benar, kadang kala kita tidak sanggup melihat anak kita meronta tetapi mereka harus dilatih dari awal supaya mereka tidak terlalu memilih kelak. 

TAWARKAN ALTERNATIF YANG MEMBOSANKAN

 Daripada menyediakan hidangan lain, tawarkan alternatif membosankan tetapi sihat seperti yoghurt biasa atau keju. Ramai ibu bapa bersetuju bahawa cara ini berkesan. Mengetahui mereka hanya akan diberi keju sekiranya mereka tidak mahu mencuba makanan yang diberikan, kebanyakan kanak-kanak paling kurang akan merasa sedikit apa yang diberikan kepada. 

HADKAN WAKTU MAKAN

Berikan anak-anak anda masa di antara 20 hingga 30 minit sahaja untuk setiap waktu makan. Selepas masa ini, jika mereka masih tidak mahu makan, kemas meja makan dan beritahu mereka waktu makanan sudah habis. Sekiranya si kecil membuang makanan, bertenang. Dengan santai, ambil makanan mereka dan “andaikan” mereka sudah selesai dengan waktu makan mereka. Anda juga boleh mengusik mereka sedikit dengan memberitahu mereka,“ Eh, tadi ibu/ayah tengok adik bermain dengan makanan. Ingatkan sudah kenyang. Kalau lapar semula, adik kena tunggu waktu makan seterusnya, ya?”

USAH RASUAH MEREKA DENGAN PENCUCI MULUT

Ramai ibu bapa sering menawarkan pencuci mulut sebagai ganjaran sekiranya anak-anak berjaya menghabiskan makanan mereka. Walaubagaimanapun, perbuatan ini menghantar mesej kepada mereka bahawa pencuci mulut adalah makanan terbaik, maka mereka akan menuntutnya sebagai pertukaran kepada apa sahaja yang anda mahu mereka lakukan. Oleh itu, daripada hanya menyediakan ais krim atau kek sebagai pencuci mulut, mungkin anda boleh mengubahnya kepada pilihan yang lebih sihat seperti yoghurt, buah atau kacang. 

HIDANGKAN DALAM BAHAGIAN KECIL

 Hidangkan dalam bahagian kecil supaya anak-anak tidak merasakan mereka perlu menghabiskan hidangan besar, lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak menyukai makanan tersebut. Sekiranya mereka mahu menambah, galakkan mereka untuk meminta lebih lagi. Kaedah ini meningkatkan kemungkinan untuk anak-anak anda makan kerana mereka tahu tidak banyak yang perlu mereka habiskan. 

Bahagian kecil

 TUKAR MENU MASAKAN

Pelbagaikan menu dan elakkan daripada mengulang makanan yang sama terlalu kerap. Dengan ini anda bukan saja menggalakkan pemakanan sihat, anak anda juga akan lebih terbuka untuk mencuba makanan baru. Banyak ibu bapa jatuh ke dalam perangkap di mana mereka sering memberikan “sayuran” yang sama setiap hari hanya kerana anak-anak mereka suka akannya. Namun, anak-anak akhirnya akan bosan dengan makanan tersebut lalu membencinya.

JADIKAN MAKANAN MENARIK

Bukan saja orang dewasa, kanak-kanak juga lebih berminat untuk mencuba makananan yang kelihatan menarik. Ini boleh dilakukan dengan menyusun makanan tersebut supaya nampak comel dengan menggunakan sayuran berwarna warni daan bentuk yang mereka kenali. Contohnya, anda boleh susun dan memotong sayur-sayuran dalam pelbagai bentuk seperti rama-rama, lebah dan banyak lagi. Di samping itu, kanak-kanak juga lebih gemar akan makanan jari. Anda boleh memotong makanan kepada saiz gigitan kecil agar lebih mudah dimakan.

Seronok

 KURANGKAN GANGGUAN

Pastikan tiada gangguan di sekeliling anak-anak anda semasa makan. Letakkan mainan dan alat elektronik jauh dari mereka, dan matikan apa-apa bentuk gangguan seperti televisyen. Ini akan membantu anak-anak anda untuk lebih fokus kepada makanan mereka. Juga, perlu diingat bahawa pendedahan kepada televisyen dan iklan juga boleh mendorong mereka untuk memilih makanan ringan dan tinggi gula.

MAKAN BERSAMA 

Anda digalakkan untuk makan bersama keluarga kerana anak kecil lebih cenderung untuk menghabiskan makanan mereka apabila mereka diteman oleh ahli keluarga mereka. Di samping itu, anak-anak juga akan lebih bersedia untuk mencuba makanan baru apabila mereka melihat orang lain di meja menikmati makanan yang sama. Walau bagaimanapun, jika anda atau pasangan anda mempunyai jadual yang sibuk dan tidak dapat melakukannya setiap hari, tetapkan beberapa hari dalam seminggu untuk makan dengan anak-anak anda. 

LIBATKAN ANAK ANDA DALAM PENYEDIAAN MAKANAN

Bawa mereka bersama anda ke pasar atau kedai runcit, dan biarkan mereka bantu anda pilih ramuan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain. Semasa persiapan makanan, dorong mereka untuk membantu anda dengan perkara yang paling mudah, sama ada mencuci sayur-sayuran, mengemas meja atau menghias makanan anda. Oleh kerana mereka sendiri terlibat dalam penyediaan makanan tersebut, ini akan mendorong mereka untuk makan lebih baik dan banyak.

 Apa pun, ingatkan diri anda bahawa ia adalah normal untuk kanak-kanak untuk “berentap” dengan makanan ketika mereka berada di tahap perkembangan tertentu. Sebaiknya anda hanya bertenang dan jangan memarahi mereka. Lagipun, itu bukannya kesalahan mereka. Selagi anak-anak mempunyai berat badan yang normal dan memenuhi pencapaian perkembangan mereka, yakinlah semuanya baik-baik saja. Sekiranya anda masih juga bimbang,cuba bawa mereka untuk pemeriksaan kesihatan dengan doktor anda.