Pada Februari 2019, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak berumur dua tahun daripada Johor Bahru yang dipercayai meninggal dunia disebabkan difteria dan kegagalan pelbagai organ. Difteria adalah satu penyakit yang boleh dikawal dengan vaksin. Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak mendapat imunisasi. Tidak lama selepas itu, lima lagi anak kecil diuji positif untuk difteria. Lima kanak-kanak itu sudah menerima imunisasi tetapi mereka mendapat jangkitan tersebut daripada budak yang tidak divaksin. Tiga kematian dilaporkan disebabkan difteria pada suku pertama 2019.

Baru-baru ini pula, kita sekali lagi mendengar berita bahawa puak Batek Orang Asli di Kuala Koh dilanda penyakit misteri yang menyebabkan 15 kematian. Puncanya? Demam campak. Orang Asli mengamalkan cara hidup nomad yang menyebabkan pasukan pasukan perubatan susah untuk merawat mereka. Apa yang lebih memburukkan keadaan, kebanyakan Orang Asli tidak mendapat zat dan nutrisi yang secukupya, menjadikan sistem imun mereka terlalu lemah untuk melawan demam campak, sekiranya mereka telah dijangkiti penyakit tersebut.

Walaupun ini adalah dua senario yang berbeza dengan dua punca yang berbeza, kedua-dua isu ini telah mencetuskan debat tentang kepentingan vaksinasi dan sama ada ia sepatutnya diwajibkan di Malaysia atau tidak. Dalam artikel ini, kami akan melihat apa itu vaksin dan apa kebimbangan yang mengelilingnya.

 

APA ITU VAKSIN?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen yang diperbuat daripada bakteria atau virus yang telah dilemahkan. Disebabkan antigen ini sudah dilemahkan, hampir mustahil untuk seseorang mendapat penyakit daripadanya. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya antigen yang dalam vaksin adalah lebih lemah jika ingin dibandingkan dengan bakteria yang ada di persekitaran harian kita.

Cara vaksin berfungsi sangat mudah. Apabila vaksin dimasukkan ke dalam badan kita, antibodi yang sudah ada dalam badan kita akan mengingati dan membentuk satu imuniti perlindungan terhadap terhadap antigen yang berada dalam vaksin tersebut. Oleh itu, tatkala badan kita berhadapan dengan penyakit yang serupa dengan antigen tersebut, badan kita sudah mempunyai perlindungan dan pertahanan terhadapnya, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

 

Kalau begitu, kenapa lima kanak-kanak di Johor itu dijangkiti difteria jika mereka sudahpun divaksin?

 

Hal ini mungkin terjadi kerana imuniti kita sebagai satu komuniti atau lebih dikenali sebagai imuniti kawanan (‘herd immunity’) sudah dijejas. Bila seseorang divaksin, mereka bukan sahaja melindungi dirinya sendiri, tetapi mereka juga menghentikan transmisi penyakit itu kepada orang lain kerana orang yang sudah dimunisasi tidak boleh memberi jangkitan kepada orang lain. Hanya apabila bilangan ahli komuniti yang telah divaksin mencukupi peluang penyakit itu untuk tersebar menjadi rendah.

Dalam komuniti yang senang terdedah, penyakit yang sangat berjangkit seperti demam campak boleh menjangkiti 12 ke 18 orang. Oleh itu, pihak saintis percaya bahawa kita  mesti memvaksin 17 daripada 18 orang dalam satu komuniti untuk mengelakkan transmisi penyakit. Walau bagaimanapun, dalam kes Orang Asli suku Batek ini, hanya 61.5 peratus daripada mereka menerima dos suntikan pertama Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus untuk dos kedua, menurut Kementerian Kesihatan (KKM). Ini mungkin penyebab utama penyebaran wabak tersebut.

Sungguhpun begitu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah dilaporkan bahawa lebih ramai ibu bapa memilih untuk tidak memvaksin anak mereka. Perkara ini sangat mengecewakan, kerana mereka juga menjejaskan keselamatan orang lain. Tetapi daripada terus menghentam keputusan mereka, apa kata kita teliti sebab-sebab mengapa sesetengah ibu bapa begitu menentang vaksinasi, supaya kita dapat memahami perasaan dan kebimbangan mereka?

 

HUJAH ANTI-VAKSIN YANG POPULAR DAN SALAH FAHAM MENGENAI VAKSIN

IMUNISASI BOLEH MENYEBABKAN AUTISME

Pada tahun 1997, Wakefield et al menulis sebuah kertas penipuan yang menghubungkan vaksin campak, gondok (beguk) , dan rubella (MMR) kepada autisme. Kertas tersebut kemudiannya ditarik balik 16 tahun kemudian selepas didapati bahawa data kajian tersebut sebenarnya dipalsukan dan sebenarnya tiada langsung hubungan di) antara vaksin dan penyakit itu. Yang terbaru, pada tahun 2017, dua lagi saintis, Christopher Shaw dan Lucija Tomljenovic telah  menulis artikel jurnal yang menyatakan bahawa pembantu aluminium dalam vaksin boleh mempengaruhi fungsi otak, yang membawa kepada autisme. Sekali lagi, kertas itu ditarik balik kerana manipulasi data. Walau bagaimanapun, kertas-kertas penyelidikan ini masih sangat popular alam kalangan mereka yang menentang vaksinasi juga dikenali sebagai ‘anti-vaxxer’.

Therimosal, pengawet berasaskan merkuri yang digunakan dalam banyak persediaan vaksin juga telah ‘dipersalahkan’ sebagai punca autisme. Tetapi kajian yang paling baru telah mendapati bahawa sebenarnya autisme berkembang semasa kehamilan, bahkan sebelum seorang kanak-kanak menerima sebarang imunisasi lagi.

Baca: Anak Saya Ada Autisme! Apa Yang Boleh Saya Lakukan?

 

KEPERCAYAAN BAHAWA HOMEOPATI DAN UBAT SEMULA JADI ADALAH CARA TERBAIK UNTUL MELAWAN PENYAKIT

Data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa lebih ramai ibu bapa enggan mengimunkan anak mereka kerana mereka percaya bahawa homeopati dan ubat semula jadi adalah alternatif yang lebih baik dan selamat.Walau bagaimanapun, tidak ada penyelidikan saintifik telahmembuktikan keberkesanannya dalam melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang sebaliknya boleh dicegah oleh vaksin. Homeopati juga tidak memberikan sebarang penjelasan biologi tentang bagaimana pencairan remedi ini boleh merawat penyakit. Selalunya, ubat homeopati terlalu dicairkan sehingga tiada satu pun satu molekul bahan aktif itu masih ada.

 

IA ADALAH SANITASI, KEBERSIHAN DAN GAYA HIDUP YANG LEBIH BAIK YANG MENGURANGKAN KADAR PENYAKIT BERJANGKIT

Walaupun ini benar, namun penyakit seperti cacar kecil (atau ‘smallpox’) hanya dibasmi sepenuhnya selepas pengenalan vaksin. Satu kajian yang dilakukan di Itali juga mendapati bahawa melalui vaksinasi sahaja, 4 juta kes kematian akibat penyakit berjangkit telah berjaya dibendung.Tambahan lagi, kira-kira 35 peratus daripada jumlah ini meliputi kanak-kanak di bawah umur 4 tahun.

Penghapusan penyakit berjangkit memang dipengaruhi pelbagai factor, oleh itu vaksin tidak sepatutnya mendapat semua kredit. Walau bagaimanapun, jika vaksin dapat memberikan kita perlindungan yang lebih baik terhadap penyakit maut ini tanpa membahayakan kita, tidakkah lebih baik jika kita memilihnya?

Baca: 7 Makanan ‘Super’ Untuk Kanak-Kanak

 

PELBAGAI VAKSIN BOLEH MEMBEBANKAN SISTEM IMUN BADAN

Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan memberi pelbagai vaksin secara serentak tetapi tidak ada penemuan yang menunjukkan bahawa penyakit kronik  boleh dihidapi daripada prosedur ini. Tambahan lagi, setiap kali vaksin baru diperkenalkan dan dilesenkan, ia juga akan diuji bersama dengan vaksin yang yang kini disyorkan untuk memastikan keserasiannya. Benar, kombinasi beberapa vaksin mungkin boleh menyebabkan kesan seperti demam dan bengkak, tetapi kesan ini hanya bersifat sementara.

Jika ingin dibandingkan, sistem imun bayi kita melawan antigen yang lebih aktif dalam persekitaran mereka, oleh itu, antigen yang lemah yang terdapat di dalam vaksin tidak sepatutnya menjadi satu kebimbangan langsung.

 

KEBIMBANGAN DARI SUDUT AGAMA

Mungkin salah satu hujah yang paling popular di Malaysia datang daripada Muslim yang bimbang bahawa vaksin itu mungkin tercemar dengan DNA khinzir yang tidak dibenarkan di dalam agama tersebut. Namun begitu, majoriti ulama dan pakar dalam kemaslahatan Islam di seluruh dunia telah membuat kesimpulan bahawa gelatin khinzir yang digunakan dalam vaksin boleh diterima kerana selalunya terdapat pengubahsuaian genetik yang telah dilakukan terhadap DNA tersebut. Sesetengah fatwa (hukum Islam) juga berpendapat bahawa vaksinasi adalah langkah pencegahan yang wajib untuk menyelamatkan nyawa.

Sesetengah orang Kristian ortodoks dan denominasi (atau mazhab) mempunyai bantahan teologi terhadap imunisasi menggunakan alasan bahawa kita tidak patut campur tangan atau mengubah ciptaan Tuhan, tetapi umumnya ramai orang Kristian menyokong imunisasi.

Bagi penganut agama Buddha, terdapat beberapa perdebatan mengenai penggunaan vaksin yang diperoleh daripada hidupan lain, kerana prinsip pertama dari Sepuluh Prinsip Buddha ialah “tidak mengambil nyawa.” Namun, kebanyakan umat Buddha moden akan mendapatvaksin untuk perlindungan.

Pada umumnya, kebanyakan agama utama di dunia tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap vaksinasi. Malahan , banyak yang berpendapat bahawa jika risiko tidak memberi vaksin membawa bahaya yang lebih besar, adalah satu tindakan yang tidak bermoral untuk tidak memberi vaksin.

 

BAGAIMANA VAKSINASI MENYELAMATKAN NYAWA

Sesetengah orang tidak boleh diimunisasi atas pelbagai sebab. Bukannya mereka tidak mahu, tetapi mereka lebih mudah terdedah kepada bahaya jika mereka diberi vaksin. Ini termasuklah bayi yang baru lahir kerana mereka terlalu muda, orang yang mempunyai alahan terhadap vaksin, orang tua dengan sistem imun yang lemah, serta pesakit kanser dan pesakit pemindahan organ.

Jadi apa yang melindungi pesakit-pesakit imuniti yang dikompromi? Imuniti kawanan. Walau bagaimanapun, imuniti kawanan tidak dapat menjamin perlindungan penuh kerana mereka yang menentang vaksinasi masih wujud dalam kalangan kita. Semakin tinggi jumlah orang mengelak dari vaksinasi, semakin tinggi kemungkinan penyakit yang boleh dielakkan oleh vaksin atau Vaccine Preventable Diseases  (VPD) untuk membuat kemunculan kembali.

Memang benar bahawa vaksinasi adalah satu hak, dan anda mempunyai pilihan untuk tidak mengambilnya. Tetapi ingatlah, apabila anda membuat keputusan untuk tidak memvaksinkan anak-anak anda, anda bukan sahaja mengancam hidup mereka, tetapi anda juga membahayakan kehidupan orang lain di sekeliling anda.