Di EduReviews, kami cukup memahami betapa susahnya untuk mencari pusat penjagaan ataupun pengasuh yang baik terutama sekali apabila kita sering digemparkan dengan berita penderaaan dan kemalangan yang berlaku kepada anak-anak ketika ibu bapa di tempat kerja. Oleh itu, di sini kami telah senaraikan kriteria yang kami percaya sangat penting dalam memilih pusat penjagaan atau pengasuh yang terbaik buat si kecil anda.

 

Rekod prestasi yang baik

Adalah sangat mustahak bagi pengasuh anda untuk mempunyai pengalaman menjaga kanak-kanak dan tahu apa yang diharapkan daripada mereka. Anda boleh bertanya kepada mereka tentang skop tanggungjawab mereka yang terdahulu, umur kanak-kanak yang pernah dijaga sebelum ini dan memberi mereka contoh berasaskan senario untuk melihat perspektif mereka mengenai perkara itu. Sekiranya mereka di bawah agensi, anda boleh bertanyakan kepada syarikat tersebut mengenai prestasi mereka dengan keluarga yang sebelumnya.

Bagi pusat penjagaan yang baru, mungkin sedikit sukar untuk anda menilai rekod mereka memandangkan masih tiada kayu pengukur sebagai asas tanggapan anda. Anda sekurang-kurang boleh duduk dan bercakap dengan guru-guru dan pengasuh di pusat tersebut. Cuba ketahui sekiranya mereka mempunyai sekurang-kurangnya  keperluan minimum untuk mengajar dan sama ada mereka fahami kurikulum pusat tersebut dengan mendalam, tetapi elakkan berbunyi seperti anda sedang menyoalsiasat mereka. 

 

Cute little boy playing with toys at the learning center

Sikap dan pandangan

Semestinya kita mahukan anak kita dijaga dengan penuh kasih sayang dan perhatian! Utama bagi kita untuk memastikan agar guru-guru dan pengasuh bersemangat dan suka menjaga kanak-kanak, proaktif dalam mencari aktiviti yang boleh membuat kanak-kanak terus aktif dan seronok ketika belajar dan bermain, serta tidak maudah berubah menjadi Hulk apabila anak anda meragam atau tertumpahkan air. Beri perhatian kepada cara pemakaian dan percakapan guru dan pengasuh kerana ini secara tidak langsung menunjukkan sama ada mereka berdisiplin, teratur dan berpengetahuan atau tidak. 

Tidak mengapa sekiranya mereka garang pada masa yang tertentu, namun jika mereka sentiasa kelihatan kepenatan, tidak bersemangat dan mengeluarkan aura negatif, mungkin anda mahu menggunakan perkhidmatan orang lain. 

 

Interior design of a kindergarten classroom

Keselamatan 

Pengasuh atau guru di pusat penjagaan anak anda perlu dilengkapi dengan sekurang-kurangnya pengetahuan pertolongan cemas, sekiranya berlaku kecemasan. Jika mereka mempunyai sijil pertolongan cemas yang sah, maka ia lebih baik. Untuk keselamatan anak anda, anda juga boleh mencuba memeriksa sama ada pengasuh atau penjagaan anak mempunyai sebarang kesalahan jenayah yang lalu terhadap mereka.

Di samping itu, anda juga perlu memastikan bahawa pusat penjagaan tersebut mempunyai kamera litar tertutup dan jumlah pelajarnya tidak terlalu ramai kerana  ini boleh meningkatkan kemungkinan kemalangan yang berlaku disebabkan kecuaian. 

 

Tahukah anda

Pada tahun 2019, Bukit Aman menerima 59 laporan penderaan kanak-kanak melibatkan pusat penjagaan setakat bulan Oktober. 

 

Nursery children playing with teacher in the classroom

Nursery children playing with teacher in the classroom

Komunikasi

Pengasuh dan pusat penjagaan anda seharusnya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan anda dan sebaliknya. Mereka perlu tahu bagaimana untuk menghubungi anda dan bila perlunya untuk melaporkan sesuatu kejadian kepada anda. Ada penjaga yang mengambil masa terlalu lama untuk memberitahu anda tentang apa yang terjadi kepada anak anda, tidak kisahlah sama ada ianya melibatkan kemalangan, atau prestasi di sekolah ataupun apabila mereka merasakan ada yang tidak kena dengan anak anda. 

Namun begitu, anda juga tidak akan selesa jika mereka asyik menelefon anda atas perkara kecil yang mereka boleh selesaikan sendiri. Pengasuh dan pusat asuhan yang baik perlu berupaya untuk menentukan keperluan untuk menghubungi anda mengenai sesuatu perkara. 

Di samping itu, anda juga perlu berasa selesa untuk menyampaikan kebimbangan anda mengenai anak anda kepada pengasuh dan pusat asuhan tersebut kerana selalunya mereka boleh membantu anda. 

Jika boleh, berikan pengasuh dan pusat asuhan yang anda minati tempoh percubaan dahulu. Lihat sekiranya anda gemar akan cara mereka menjaga anak anda dan jika anda boleh percayakan mereka. Pastikan anda bersetuju dengan cara si pengasuh atau guru memutuskan jadual harian anak anda, makanan yang diberi kepada anak anda serta pendekatan disiplin yang mereka gunakan. 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pengasuh dan pusat penjagaan yang baik adalah sangat penting dalam memastikan bahawa anak anda membesar dengan baik, sihat dan gembira. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda pastikan anda menghantar anak anda ke pusat penjagaan dan pengasuh yang baik. 

 

Nota editor: Perkhidmatan EduReviews  juga merangkumi pusat pengayaan seperti pusat asuhan dan penjagaan kanak-kanak. Anda boleh merujuk kepada laman sesawang bagi pusat penggayaan kami untuk melihat senarai pusat asuhan yang terdekat dengan lokasi anda.