Dengan lebih daripada separuh penduduk di Malaysia kini mahir dalam bahasa Inggeris, tidak sukar untuk kita fahami mengapa ramai ibu bapa mahu anak mereka berupaya menguasai bahasa tersebut. Namun begitu, bagi keluarga yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama mereka, untuk mengajar bahasa ini kepada anak kecil boleh menjadi cabaran. Oleh itu, di sini kami telah menyediakan tujuh cara yang berkesan yang pasti akan memperbaiki Bahasa Inggeris anak anda. 

KUASAI BAHASA MENERUSI MEDIA VISUAL

Barney

Walaupun sesetengah ibu bapa sangat tidak bersetuju dengan pendedahan media seperti YouTube kepada anak kecil, sebenarnya program dan video yang disasarkan kepada kanak-kanak sangat membantu dalam memudahkan pembelajaran bahasa. Medium ini juga merupakan alat yang berkesan untuk mengajar anak-anak anda tentang nilai moral. Daripada membuangnya daripada dari rutin anak anda, ibu bapa harus bijak dalam mengawal penggunaan media. Mungkin tetapkan satu jam sehari untuk mereka tonton rancangan kegemaran mereka.

BACAKAN BUKU CERITA BAHASA INGGERIS KEPADA ANAK ANDA 

Child wants to read story book

Buku cerita bergambar yang menggunakan bahasa ringkas adalah jenis buku cerita terbaik untuk kanak-kanak. Melalui pengulangan perkataan mudah disertai dengan petunjuk visual, kanak-kanak dapat mengembangkan perbendaharaan kata mereka lebih pantas.

Selain itu, apabila ibu bapa meluangkan masa untuk bercerita kepada anak mereka, anak-anak secara tidak langsung juga mempelajari tentang aspek bahasa seperti nada, kelantangan, dan gerak isyarat badan. Melalui pemerhatian, mereka perlahan-lahan belajar untuk menjadi lebih yakin dengan kemahiran lisan mereka.

Untuk anak-anak yang sudah pandai membaca, lebih baik untuk anda dorong mereka untuk memilih buku cerita mereka sendiri daripada menentukan apa yang terbaik untuk mereka. Kita mahu anak-anak berasa seronok membaca, bukan menganggapnya sebagai sesuatu yang membosankan.

BERNYANYI BERSAMA

Lagu kanak-kanak atau nursery rhymes bukan sahaja sangat efektif dalam mendedahkan anak-anak kepada perkataan baru dengan cara yang menarik, mereka juga membantu untuk memperbaiki sebutan anak-anak kerana lagu seringkali dipenuhi dengan kata berima. Malah, nyanyian adalah cara yang sangat berkesan untuk mengajar bahasa – apa sahaja lagu yang anda ajarkan kepada anak sekarang mungkin akan diturunkan kepada cucu-cucu anda satu hari nanti!

 Selain itu, pemahaman tentang bagaimana irama berfungsi juga boleh membantu mereka untuk mempunyai kemahiran menulis yang baik pada masa akan datang. Sekiranya anda sudahpun mula bernyanyi bersama anak anda, ini bermakna anda berada di landasan yang betul.

ELAKKAN BERCAKAP SEPERTI BAYI

Kucing comel

Sesetengah ibu bapa akan berceloteh seperti bayi kerana mereka merasa bahawa bayi tidak dapat memahami ucapan orang dewasa dan percakapan kita terlalu kompleks buat mereka. ‘Percakapan bayi’ sering dicirikan oleh nada yang tinggi, frasa yang lebih pendek, jeda yang lama antara frasa, dan sebutan yang lebih jelas.                                                                                                                         

Namun begitu, banyak kajian telah menunjukkan bahawa perbuatan ini sebenarnya tidak baik untuk kanak-kanak. Hal ini kerana, kanak-kanak sebenarnya berupaya untuk mengikuti percakapan orang dewasa. Apabila ibu bapa mereka menggunakan bahasa biasa dengan anak mereka, anak-anak belajar untuk bercakap dengan lebih lancar. 

 

JANGAN TERLALU KERAP MEMPERBETULKAN ANAK ANDA

Sekiranya bahasa Inggeris adalah bahasa kedua anak anda, kemungkinannya, mereka akan membuat lebih kesilapan. Sungguhpun begitu, proses pembelajaran dan penyahkod corak bahasa yang baru bukanlah sesuatu yang mudah, oleh itu proses ini akan mengambil masa. Elakkan daripada terlalu kerap membetulkan mereka jika mereka melakukan kesalahan bahasa kerana ini hanya akan membantutkan perkembangan bahasa mereka.

Apabila anak-anak terlalu selalu ditegur atas kesalahan mereka, mereka akan hilang keyakinan untuk mencuba kerana risau dimarahi. Hal ini juga boleh menghalangnya daripada bercakap dan menulis dalam bahasa tersebut. Sebaiknya, tunjukkan pada mereka cara yang betul untuk menyebut sesuatu perkataan atau frasa. Anda juga boleh bertanya kepada mereka “Adakah ini yang adik maksudkan?”. Kaedah ini tidak memperkotak katikkan kesalahan mereka, malahan mereka juga boleh mempelajari cara yang betul untuk menulis atau menyebut perkataan yang diingini. 

BERMAIN PERMAINAN DENGAN SI KECIL

Bermain dengan anak

Mungkin salah satu cara terbaik untuk mengajar konsep atau bahasa adalah melalui permainan. Sebab itulah pedagogi pengajaran terkenal seperti Montessori dan Reggio Emilia menekankan pembelajaran berasaskan permainan di dalam bilik darjah mereka. Pendekatan ini tidak memberi tekanan kepada kanak-kanak dan membolehkan mereka mengamalkan bahasa itu dengan lebih semulajadi.

Antara permainan yang bagus untuk pembelajaran bahasa termasuk Simon says (pendengaran dan pemahaman), charades (percakapan dan gerak tubuh), and Hangman (perbendaharaan kata).

 BAWA MEREKA MEMBELI BELAH

Selain daripada menyeronokkan buat ibu bapa (kaum ibu terutamanya), ambil kesempatan membeli belah untuk mengajar dan menguatkan kosa kata anak kecil anda. Apabila anda pergi membeli-belah runcit anda boleh mengajar mereka tentang makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam bahasa Inggeris. Jika anda pergi ke pusat membeli-belah, anda boleh mengajar mereka tentang bahagian tubuh dan jenis pakaian. Selain itu, anda juga boleh meminta mereka membaca nombor pada tanda harga untuk menguji ingatan mereka. Anda perlu menjadi kreatif!

Akhir sekali, walaupun kami setuju bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah penting, kami juga percaya bahawa adalah lebih mustahak untuk ibu bapa memastikan agar proses pembelajaran bahasa itu menyeronokkan. Kami berharap artikel ini dapat membantu anda mencari cara untuk mempertingkatkan Bahasa Inggeris anak-anak anda. Sekiranya anda antara kaedah yang kami senaraikan di atas belum lagi anda lakukan, anda patut mencubanya!