Apabila kita bercakap mengenai kesihatan mental yang baik, apa yang kita maksudkan ialah keupayaan untuk menyampaikan perasaan dan kemahuan kita secara jelas serta kebolehan untuk melakukan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan psikologi atau emosi. Penyakit mental pula ialah keadaan kognitif yang ‘menyerang’ kebolehan di atas, menyebabkan peribadi seseorang terjejas secara signifikan. Hal ini selalunya boleh diperhatikan melalui perubahan dalam cara seseorang mengekspresi diri; baik dari segi tingkah laku mahupun pemikiran.

Terdapat lebih kurang 200 jenis penyakit mental yang boleh di diagnosis dan antaranya ialah kemurungan, gangguan obsesif-kompulsif (OCD) dan skizofrenia. Setiap penyakit ini mempunyai simptom yang berbeza dan mempengaruhi penghidapnya secara berlainan. Maka, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan kesemua pesakit mental dalam satu kategori tunggal dan membuat generalisasi daripada itu. Peliknya, walaupun penyakit lain seperti obesiti dan diabetes selalunya berpunca daripada gaya hidup pesakitnya sendiri, stigma terdapat penghidap penyakit-penyakit ini tidak seteruklah mereka yang mengalami gangguan mental.

Yang lebih menyedihkan ialah, stigma yang mengelilingi pesakit mental ini sungguh kuat sehinggakan ada yang takut untuk mendapatkan bantuan kerana tidak mahu dianggap ‘gila’, ‘mental’ atau pun ‘psiko’. Malahan, sehingga kini, topik kesihatan mental masih dilihat sebagai topik pantang bagi ramai rakyat di Malaysia. Hal ini sangat membimbangkan kerana penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar yang akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020.

statistik kesihatan mental belia Malaysia

Kajian Kesihatan Kesihatan dan Morbiditi 2015 mendapati bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas telah meningkat daripada 10.7% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada tahun 2015. Bayangkan, sekiranya terdapat 30 pelajar di dalam bilik darjah, 10 daripadanya mungkin menghidapi sejenis penyakit mental. Banyak bukan? Kajian yang sama juga mendapati bahawa belia, perempuan, Bumiputra bukan Melayu, dan orang dewasa dari keluarga berpendapatan rendah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk didiagnosis dengan penyakit mental.

Melihat belia kepada Malaysia khususnya, data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah pelajar mengalami penyakit mental meningkat dari 1/10 pada tahun 2011 kepada 1/5 pada tahun 2016. Selalunya, pelajar yang menunjukkan keagresifan, tidak berminat untuk belajar dan masalah untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka yang lain akan dianggap sebagai ‘pelajar bermasalah’ atau remaja yang sedang mengalami fasa akil baligh. Tetapi hakikatnya mungkin lebih kompleks daripada itu. Kadang kala, mereka yang mencederakan diri sendiri, ponteng sekolah, menyalahgunakan dadah atau melibatkan diri dalam aktiviti seks, menganggap kegiatan ini sebagai satu cara melepaskan diri daripada masalah mereka. Boleh jadi, perbuatan ini juga sebenarnya cara untuk mereka untuk mendapatkan perhatian dan bantuan daripada orang lain.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN?

Memahami betapa pentingnya sokongan kesihatan mental untuk belia di institusi pendidikan, kami di EduReviews telah meminta pelajar di peringkat pengajian tinggi untuk mengulas sekiranya mereka tahu jika sokongan tersebut ada di universiti mereka. Walaupun ada yang mengatakan bahawa mereka tahu ke mana mereka boleh mendapatkan bantuan (seperti kaunselor, rakan sebaya, ibu bapa), lebih daripada 50% responden mendakwa bahawa mereka ‘tidak pasti’ apa perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi mereka dalam menangani isu ini. Klise, tetapi kita tidak boleh menyangkal bahawa belia ialah aset negara. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk menyediakan ruang yang selamat bagi mereka untuk membincangkan perihal kesihatan mental dan bagaimana masalah ini boleh dirawat. 

Kami juga berpendapat lebih banyak usaha yang perlu diambil untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang status kesihatan terkini dan cara untuk mengatasi stigma yang mengelilingi penyakit mental. Berikut adalah cara anda boleh membantu:

perempuan tertekan sambil memegang kepala

1. Jika seseorang memberitahu anda bahawa mereka berasa tertekan, sentiasa cemas atau terasa seperti ingin membunuh diri, usah endahkan kegusaran mereka dengan berkata “Awak hanya berfikir terlalu banyak’, ‘Ini hanya satu fasa. Nanti ok lah.’ atau ‘Mungkin awak perlu banyakkan bersembahyang’. Anda tidak akan memberitahu seseorang yang menghidap kanser perkara yang sama, bukan? Selalunya jika seseorang berkongsi sesuatu dengan anda, ini bermakna mereka mempercayai anda. Pinjamkan telinga anda untuk mereka dan cuba bantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. 

2. Tunjukkan belas kasihan. Ramai yang selalu lupa yang kebaikan kecil juga sangat bermakna bagi mereka yang dahagakan perhatian dan kasih sayang. Malah, dalam kebanyakan kes, mereka yang didiagnosis dengan gangguan mental pernah mengalami pengalaman traumatik sebelum ini. Mungkin anda boleh beritahu apa mereka tentang perkara bagus yang anda suka mengenai diri mereka atau tanya jika mereka mahukan pelukan. Tanpa kita tahu, perkara mudah ini mungkin dapat membuat mereka berasa lebih baik dan meringankan bebanan emosi mereka.

3. Didik diri anda dan cuba didik orang disekeliling anda mengenai kesihatan mental. Banyakkan membaca, bantu dalam meningkatkan kesedaran dengan menyertai kempen dan perbincangan mengenai kesihatan mental, dan apabila anda mendengar atau melihat seseorang menyebarkan tanggapan yang salah mengenai mereka yang mempunyai masalah mental, perbetulkan mereka dengan hormat. 

Meskipun langkah-langkah ini ini boleh diambil pada tahap peribadi, apa yang kita yang kita perlukan adalah untuk komuniti – guru, ibu bapa, institusi pendidikan, pihak berwajib dan badan bukan kerajaan – untuk berkerjasama supaya isu ini tidak menjadi lebih parah pada masa hadapan. Pasti sekali, ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi bukankah bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat? Kami yakin perkara ini boleh diperbaiki sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka. 

Nota editor: Sekiranya anda mengalami masalah mental atau mengenali seseorang yang menghadapinya. Anda boleh rujuk kepada laman web Persatuan Kesihatan Mental Malaysia dan dapatkan bantuan yang diperlukan. Intervensi awal dapat membuat perubahan besar.