Adalah penting untuk kita mula mengajar anak-anak kita untuk berdikari dari usia muda kerana ini dapat membantu mereka membina keyakinan diri dan berasa lebih optimistik akan kemampuan diri sendiri setelah mereka dewasa. Dan sebagai ibu bapa, semestinya anda mahu mempersiapkan mereka dengan semua kemahiran hidup yang diperlukan, bukan? Jika anda tidak pasti mahu bermula di mana, di sini kami telah senaraikan 5 kemahiran hidup yang penting buat anak anda.
MENCUCI PAKAIAN
Buat si kecil, apa sahaja yang kita lakukan di rumah kelihatan menyeronokkan. Sementara mereka masih merasakan kerja rumah itu “menyeronokkan”, ambil kesempatan ini untuk mengajar mereka bagaimana mereka boleh membantu mencuci pakaian. Terangkan kepada mereka mengapa kita perlu membasuh pakaian dan tunjukkan kepada mereka langkah-langkah untuk melakukannya. Sekiranya pakaian anda perlu dimuatkan dari bahagian atas mesin (top loader), sediakan bangku kecil supaya anak anda boleh memanjatnya dan bantu anda untuk meletakkan pakaian ke dalam mesin tersebut. Untuk menjadikan kerja rumah ini lebih menarik, mungkin anda boleh bermain permainan menyusun warna untuk mengajar mereka bagaimana untuk memisahkan pakaian berwarna putih dan berwarna. Mereka juga boleh meneka bau detergen (sama ada lavender, vanila atau rose) sebelum menuangkannya ke dalam mesin.
Apabila mereka lebih bersedia dan menunjukkan pemahaman asas tentang kemahiran hidup ini, anda boleh tunjukkan kepada mereka bagaimana cara memilih tetapan, cara membaca label pakaian, dan apakah cara sidaian yang betul. Tahukah anda, ramai remaja yang tidak tahu bagaimana untuk mencuci pakaian sendiri kerana selalunya kerja rumah ini di lakukan oleh ibu bapa mahupun pembantu rumah? Anda tidak mahu anak anda tergolong dalam kalangan ini.
MENYEDIAKAN MAKANAN MUDAH
Walaupun kita tidaklah mengharapkan anak-anak kita berupaya untuk memasak setanding MasterChef Junior, anak-anak perlu diajar untuk menyediakan hidangan ringkas untuk diri mereka sendiri apabila perlu. Sungguhpun anda masih perlu memasak, tetapi sekurang-kurangnya jika atas sebab tertentu anda tidak ada di rumah, anda tahu bahawa anak anda tidak akan kelaparan.
Namun, sebelum memperkenalkan mereka kepada masakan sebenar, mulakan dengan sesuatu yang mudah. Contohnya, mulakan dengan memotong menggunakan pisau tumpul, minta mereka pilih topping pizza, atau ajak mereka untuk membantu anda menghias kek! Melalui sesi masakan bersama inilah anda boleh mendedahkan mereka kepada bahan-bahan masakan serta manfaatnya terhadap kesihatan mereka.Dengan cara ini, anak-anak anda akan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk makan dengan lebih sihat.
Bagi mereka yang berumur 6 hingga 8 tahun, anda boleh mula memperkenalkan mereka kepada perkakas dapur seperti pembakar roti dan microwave serta bagaimana untuk menggunakannya dengan selamat. Walaubagaimanapun, sehingga anda yakin bahawa mereka boleh mengendalikan peralatan ini sendiri, jangan biarkan mereka menggunakannya tanpa pengawasan.
PERTOLONGAN KECEMASAN
Pertolongan cemas memang selalunya akan diajar di sekolah, tetapi tidak salah sekiranya anda mengajar anak anda akan kemahiran ini terlebih dahulu. Lagipun, banyak kajian telah menemui bahawa pengulangan membantu untuk menguatkan ingatan dan meningkatkan keyakinan diri. Paling kurang, sekiranya anak anda atau sesiapa sahaja di sekelilingnya memerlukan bantuan, mereka tahu apa yang harus dilakukan.
Anda boleh mulakan dengan menunjukkan mereka kandungan kit pertolongan cemas dan terangkan kepada mereka bagaimana ia boleh digunakan untuk merawat kecederaan ringan. Tunjukkan langkah demi langkah – bagaimana cara meletakkan tekanan pada luka supaya pendarahan dapat dihentikan kepada bagaimana untuk menutup kecederaan tersebut dengan plaster. Untuk kes-kes kecemasan, ibu bapa juga harus mengajar kanak-kanak bagaimana prosedur menelefon 999 serta cara untuk menjelaskan kepada pengendali telefon tersebut tentang keadaan atau lokasi mereka.
KEMAHIRAN KEWANGAN
Tahukah anda bahawa 67% rakyat Malaysia yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 dan 31% daripada mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan menyimpan kurang dari RM 1,000 setiap bulan? Mengejutkan, bukan?
Ramai orang tidak menyedari perkara ini, namun, mengajar anak-anak bagaimana untuk menjadi celik dalam menguruskan kewangan adalah sangat penting dalam memastikan agar mereka tidak jatuh ke dalam kancah hutang apabila mereka dewasa. Sebagai permulaan,belikan mereka sebuah tabung untuk mereka menyimpan wang tambahan. Ajar mereka cara untuk menjejaki perbelanjaan dengan menulis apa yang mereka beli dalam buku nota dan tunjukkan bagaimana mereka patut membandingkan harga dengan membawa mereka ke kedai-kedai yang berlainan. Jika mereka inginkan sesuatu, anda juga boleh dapatkan mereka untuk melakukan kerja rumah untuk wang saku tambahan. Kaedah ini dapat mengajar mereka untuk lebih menghargai wang, pada masa yang sama mendorong mereka untuk bekerja keras untuk apa yang mereka mahu.
Selain itu, anda juga boleh daftarkan anak anda ke kelas celik kewangan seperti yang ditawarkan di Edu Talent, atau program dalam talian seperti The Mint. Untuk kanak-kanak dan remaja yang lebih besar, lebih baik jika anda boleh duduk bersama mereka dan terangkan kepada mereka konsep kewangan yang penting seperti cara terbaik untuk menabung, kepentingan berjimat cermat, serta penggunaan kad debit dan kredit.
INTERAKSI DENGAN ORANG LAIN
Sejak dari kecil kita sering diingatkan supaya tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Walaupun nasihat ini diberi atas sebab keselamatan, kita tidak sepatutnya membuat generalisasi sedemikian kerana ini akan menjadikan anak kita ‘takut’ untuk berinteraksi dengan orang yang mereka tidak kenali sedangkan keyakinan untuk berkomunikasi ini sangat penting untuk masa depan mereka.
Daripada memberitahu anak kita bahawa mereka boleh diculik sekiranya mereka bercakap dengan orang yang tidak dikenali, anak-anak sepatutnya diajar untuk mengenalpasti sama ada mereka patut berhati-hati dengan orang tersebut atau tidak. Ini boleh dilakukan dengan memberi senario kepada mereka, kemudian lakonkannya (i.e. role-playing).
Tidak salah untuk mereka bersembang dengan orang yang tidak dikenali tetapi mereka harus mengekalkan jarak tertentu dengan individu tersebut (i.e. tidak terlalu dekat). Mereka juga perlu diingatkan untuk tidak mengambil apa-apa yang ditawarkan oleh orang lain jika mereka bersendirian. Kanak-kanak juga harus diajar tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya mereka berpisah daripada anda. Beritahu mereka untuk meminta pertolongan daripada orang dewasa ada bersama keluarga mereka (lebih dipercayai) ,atau mungkin masuk ke kedai terdekat dan meminta bantuan daripada pekerja mereka. Biasanya, kedai akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), oleh itu ia lebih selamat untuk anak anda.
Sebenarnya terdapat banyak lagi kemahiran hidup yang boleh diajar kepada anak-anak anda, seperti cara menjaga kebersihan diri, cara untuk menavigasi dan cara berenang. Yang penting, dalam mengajar anak-anak anda kemahiran ini, anda harus selalu ingat untuk tidak memaksa mereka mengingatinya. Jadikan proses pembelajaran di rumah menyeronokkan. Dengan cara itu, mereka akan ingat apa yang diajar kepada mereka dengan lebih baik lagi.