Mencatit nota ialah salah satu cara pembelajaran yang paling berkesan untuk pelajar. Ramai pelajar hanya mengembangkan tabiat pengambilan nota sendiri di kolej atau universiti dan hanya menggunakannya semasa kuliah kerana pada waktu sekolah mereka terbiasa dengan menyalin nota daripada papan putih sahaja. Namun begitu, pengambilan nota juga boleh digunakan di luar kelas, terutamanya ketika anda sedang mengulangkaji atau mempersiapkan diri untuk sesuatu peperiksaan. Kaedah ini lebih berkesan daripada penghafalan buku teks kerana keupayaannya dalam membantu anda memahami dan mengingati maklumat dengan lebih baik. Dengan itu, ibu bapa digalakkan untuk mengajar kaedah mengambilan nota dari usia muda bagi mengelakkan anak-anak terbiasa menghafal keseluruhan buku tanpa memahaminya.
Sebenarnya, pencatitan nota yang efektif bukan lah semudah yang disangka. Proses memerlukan kemahiran dalam merumuskan sesuatu perkara, sebaiknya dengan perkataan sendiri. Mari kita terokai kaedah pengambilan nota yang paling lazim di luar sana.
1) KAEDAH GARIS KASAR I.E. OUTLINE METHOD
Dikenali sebagai salah satu cara pengambilan nota yang paling mudah, kaedah garis kasar sangat membantu dalam menyusun nota anda secara berstruktur. Seperti namanya, anda hanya perlu menggariskan fakta penting dengan menggunakan bullet point untuk mewakili topik dan subtopik yang berbeza. Mulakan dengan topik utama di sebelah kiri nota anda, kemudiannya gunakan inden untuk menambah subtopik yang berkaitan di bawahnya. Secara peribadi, penulis lebih suka menggunakan kaedah ini kerana ia merupakan salah satu kaedah yang paling mudah tetapi berkesan, khususnya dalam kuliah atau seminar yang pantas.
2) KAEDAH CORNELL
Kaedah Cornell disifatkan sebagai teknik pengambilan nota yang paling berkesan untuk persediaan peperiksaan. Walaupun kaedah Garis Kasar lebih mudah, kaedah Cornell memerlukan pelajar menganalisa dan berfikir secara lebih mendalam sebelum menulis nota mereka. Apa yang membuat kaedah inil unik ialah, selalunya halaman nota akan dibahagikan kepada 3 atau 4 bahagian, dengan dua lajur di tengah (lebar 30% untuk lajur kiri manakala baki 70% untuk lajur kanan) dan ringkasan di bahagian bawah halaman.
Lajur sebelah kanan halaman adalah untuk nota dan formula dalam bentuk bullet point. Lajur kiri pula ialah lajur kiu/tanda di mana pelajar-pelajar perlu menganalisis nota yang telah di ambil dengan cara menulis kata kunci, ataupun komen berdasarkan pemahaman sendiri. Akhir sekali, pelajar harus membuat ringkasan topik tersebut untuk memudahkan ulangkaji.
Mungkin kaedah Cornell ini memakan masa yang lebih lama untuk ditulis, namun, cara ini amat membantu pelajar dalam mengingati dan mencerna maklumat dengan lebih baik dan lebih berkesan, sekaligus membolehkan mereka untuk mencapai gred yang lebih baik dalam peperiksaan mereka.
3) KAEDAH KOTAK
Walaupun kaedah Kotak tidak digunakan secara meluas, tetapi metode ini semakin mendapat populariti dalam kalangan pelajar. Kaedah ini pada awalnya berasal dari ‘teori kotak masa’ yang sangat popular sebelum perancang harian atau daily planner dalam telefon pintar masih belum digunakan lagi.
Ramai mendapatinya sebagai teknik mengambilan nota yang berguna kerana pelajar hanya perlu mengumpulkan maklumat yang berkaitan di dalam satu kotak. Anda boleh menggunakan sebanyak mana kotak yang anda inginkan, asalkan poin di dalam kotak tersebut berkaitan antara satu sama lain. Kaedah Kotak ini juga adalah antara kaedah yang paling menarik sekiranya anda lebih selesa menulis nota secara digital kerana anda boleh mengubah dan menyusun semula kotak-kotak tersebut sekiranya anda mempunyai poin tambahan yang ingin anda sertakan di dalam nota anda.
4) KAEDAH PETA MINDA
Kaedah pemetaan atau lebih dikenali sebagai ‘peta minda’ telah menjadi kaedah pencatitan nota paling popular khususnya di sekolah. Metode ini menarik, mudah dan berkesan kerana melaluinya, pelajar dan guru boleh mengatur nota mereka dengan membahagikan topik kepada beberapa cabang idea. Cara ini juga memberi peluang kepada penulis untuk memikirkan hubungan antara idea atau topik.
Selalunya topik utama akan berada di bahagian atas atau di tengah peta, sementara subtopik anda akan bercabang dari topik utama. Untuk membuat pemetaan lebih menarik, anda boleh menggunakan highlighter, pen berwarna-warni atau lukisan untuk membezakan poin anda. Pelajar lebih berminat untuk belajar dengan kaedah pengambilan nota ini kerana ia menarik dan kreativiti dapat digunakan dengan baik.
5) KAEDAH PENCARTAAN
Sekiranya anda mempunyai banyak maklumat dalam bentuk statistik dan fakta, mungkin kaedah pencartaan adalah kaedah yang lebih baik untuk anda. Kaedah ini memerlukan anda untuk membuat beberapa lajur dan baris seperti spreadsheet atau jadual. Setiap lajur atau kolum akan mewakili kategori yang unik yang memudahkan pemahaman dan perbandingan maklumat. Jika anda sering membaca artikel kami, mungkin anda juga perasan yang kadang kala editor kami juga menggunakan teknik ini bagi memudahkan pembacaan terutamanya bagi topik yang memerlukan perbandingan.
Adalah penting untuk anak anda mempelajari kaedah pengambilan nota yang efektif untuk memudahkan pembelajaran serta memperbaiki prestasi akademik mereka. Melalui pengambilan nota yang betul, anak anda akan berupaya untuk memahami sesuatu subjek dengan lebih baik, mempercepatkan proses ulangkaji mereka serta menjadi lebih teratur dalam setiap aspek kehidupan. Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ – ajarkan kaedah ini kepada mereka dari usia muda dan kami pasti anak anda akan berterima kasih di atas pengajaran yang anda berikan kepada mereka di kelak hari 🙂