Dalam semangat Ramadhan dan Aidilfitri, kita melihat lebih ramai orang, tidak kisahlah sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam, memberi sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Mereka menaja pemacu makanan, dan berkongsi apa yang mereka mampu kepada mereka yang memerlukannya. Mungkin inilah masa terbaik untuk anda mendidik anak anda untuk memberi dan berkongsi dengan yang lain.

Kajian mendapati bahawa kanak-kanak secara biologikalnya sangat bagus dalam perkongsian. Jika begitu, seharusnya mengajar anak kecil kita untuk berkongsi tidak sepatutnya menjadi terlalu sukar, betul? Tetapi alangkah indahnya dunia jika ianya senang begitu. Anda dikira bertuah anak anda tidak menangis dan bermasam muka apabila anda meminta mereka untuk mengambil giliran untuk bermain sesuatu permainan di taman atau berkongsi permainan dengan kanak-kanak lain.

Sekiranya anak anda boleh dikategorikan sebagai seseorang yang sukar untuk berkongsi, ataupun anda hanya ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi bagaimamanakah cara terbaik untuk menerapkan sikap ingin berkongsi dan memberi dalam diri anak anda, tip kami mungkin dapat membantu.

 

Buat Apa Yang Anda Suruh

Satu yang jelas tentang kanak-kanak ialah, cara terbaik untuk mereka mempelajari sesuatu ialah melalui permodelan. Anda ada biskut yang anda tahu akan menggoda anak anda? Kongsi dengan mereka. Tanyakan kepada mereka jika mereka gembira mendapat sedikit biskut tersebut, kemudian terangkan kepada mereka, sebab itu lah ianya bagus jika kita bermurah hati kepada orang lain. Apabila kita berkongsi, kita beri kegembiraan kepada orang lain.

Daripada hanya memberitahu mereka ‘Adik kena berkongsi’, biarkan tingkah laku anda menjadi panduan mereka. Hal ini adalah supaya apabila mereka berada dalam keadaan yang memerlukan mereka untuk berkongsi dan bertoleransi, mereka akan memikirkan apa yang akan anda lakukan jika anda berada ditempat mereka.

Satu penyelidikan mengenai permodelan ibu bapa dan perbualan tentang pemberian amal serta kesukarelawanan telah mendapati bahawa remaja dengan ibu bapa yang terlibat dalam kerja sukarela adalah 27 peratus lebih cenderung untuk menjadi seorang sukarelawan. Mereka juga 47 peratus lebih cenderung untuk berbuat demikian jika ibu bapa mereka pernah bercakap mengenai pemberian amal dengan mereka.  Lihat? Anak kita belajar daripada memerhatikan apa yang kita lakukan dan katakan.

 

Terangkan pada Mereka Konsep Memberi dan Kepentingannya

Sukar untuk kanak-kanak untuk berkongsi sekiranya mereka tidak melihat dan memahami keperluan untuk berkongsi dengan orang lain. Salah satu cara untuk mendidik anak kita supaya mereka lebih pemurah ialah melalui pembacaan buku-buku yang mengajar mereka tentang pemberian. Anda boleh membawa mereka ke ‘playdates’ di mana mereka boleh bersosial, berkongsi dan bergilir-gilir apabila bermain. Selain itu, anda juga boleh bawa mereka ke tempat di mana bantuan anda diperlukan, seperti pemacu makanan.

Semestinya anda pernah mendengar pepatah Barat ‘sharing is caring’, dan walaupun ini kedengaran klise, ia sebenarnya merupakan mantra yang bagus untuk dipegang. Ingatkan anak-anak bahawa apabila kita berkongsi dengan orang lain, ia memberi gambaran positif tentang diri kita.  Sekiranya mereka ingin dilayan dengan baik, mereka juga harus berlaku baik kepada orang lain, dan antara cara untuk mereka berlaku baik dengan orang lain termasuklah berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Adalah penting untuk anda sensitif dengan apa yang ingin anda tunjukkan kepada anak-anak anda. Sungguhpun anda mahu memupuk sifat simpati dalam diri anak anda, elakkan daripada menunjukkan mereka video mengenai kemiskinan yang terlampau dan video yang melibatkan kematian daripada kesusahan hidup. Anda mahu mereka menjadi pemurah kerana ianya merupakan perbuatan murni, bukan kerana mereka takut mereka akan menjadi punca kematian seseorang di luar sana sekiranya mereka tidak menyumbang.

 

Elakkan daripada Memaksa Mereka Berkongsi

Jika sebagai orang dewasa pun terdapat beberapa perkara yang kita tidak selesa untuk berkongsi dengan orang lain, apatah lagi anak-anak. Sebagai ibu bapa, kita harus mengajar anak-anak kita tentang sempadan dan pilihan untuk berkongsi. Ingatkan bahawa bukannya semua yang milik mereka harus dikongsi dengan orang lain.

Namun begitu, ajar mereka untuk meletakkan diri mereka ditempat orang lain. Sekiranya apa yang mereka inginkan tidak dikongsi dengan mereka, apakah perasaan mereka? Bukannya anda mahu mereka untuk merasa bersalah, tetapi ini ialah pendekatan yang bagus kerana ia membantu anak anda untuk menjadi lebih perihatin akan persekitaran mereka dan lebih simpati kepada orang lain.

Sekiranya mereka masih tidak mahu berkongsi, tidak mengapa. Barangkali mereka masih tidak bersedia, maka pastikan anda tidak menengking mereka dan jadi berikan mereka masa. Adakah anda tahu kajian telah menunjukkan bahawa manusia tidak akan melakukan sesuatu kebaikan untuk jangka masa panjang sekiranya berasa terpaksa untuk melakukannya? Jadi, yang lebih penting ialah mengajar mereka untuk menolak permintaan untuk berkongsi secara baik.

 

Berikan Mereka Pujian Apabila Mereka Berkongsi

Sepertimana anda akan berasa lebih yakin apabila anda dipuji oleh orang atasan di pejabat, begitulah perasaan anak anda apabila mereka diberitahu yang mereka melakukan sesuatu yang bagus. Tanpa mereka sedari, mereka akan lebih bermotivasi untuk berkongsi. Inilah yang kita sebut sebagai ‘positive reinforcement’.

Ucapkan ‘terima kasih’ atau berikan mereka pelukan dan ciuman terima kasih apabila mereka berkongsi sesuatu dengan anda. Tunjukkan bahawa anda menghargai perbuatan baik mereka. Dengan ini, anak-anak akan merasa lebih positif untuk terus berkongsi dan memberi.

 

Libatkan Mereka Dalam Membuat Keputusan

Setiap kali anda terlihat seseorang yang memerlukan bantuan atau sesuatu yang perlu dibaiki, minta pendapat anak anda “Apa yang patut kita lakukan?”, “Bagaimanakah caranya kita boleh bantu?”. Dengar cadangan mereka dan ambil initiatif untuk membantu mereka laksanakan idea tersebut.

Sebagai alternatif, anda boleh menyenaraikan beberapa tempat yang mereka boleh pergi untuk memberi bantuan. Anda boleh bawa mereka ke tempat perlindungan haiwan, rumah orang tua atau pusat komuniti setempat anda. Sentiasa ingatkan anak-anak anda bahawa mereka sedang membuat perubahan. Tidak kisahlah sekecil manapun perubahan tersebut,yang lebih penting adalah usaha mereka. Selalunya apabila mereka lihat sendiri perubahan yang mereka bawa dengan berkongsi mereka akan berasa lebih bersemangat untuk mengulanginya lagi.

 

Akhir sekali, adalah sangat penting untuk kita ingat bahawa untuk menjadi seorang yang pemurah tidak bermakna kita harus mengeluarkan wang. Konsep perkongsian juga boleh digunakan untuk pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya anak anda suka membuat kek, apa kata anda mengajaknya untuk menjual kek dan salurkan hasil kutipan jualan tersebut ke badan kebajikan? Jika mereka bagus dalam sesuatu pelajaran, mereka juga boleh membantu kawan mereka dengan mengajar subjek tersebut selepas kelas. Dan jika mereka sangat gemar akan alam semulajadi, anda juga boleh mengajak mereka untuk menanam pokok dan tumbuhan. Galakkan mereka untuk menjadi kreatif dalam cara mereka boleh berkongsi dan memberi kepada masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak anda akan lebih seronok untuk memberi, bukannya berkongsi kerana mereka dipaksa untuk berbuat demikian.