EduReviews Blog

Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Anak Saya Dibuli

Anak-anak sering takut untuk memberitahu ibubapa bahawa mereka dibuli. Buli yang berpanjangan bukan saja memberi memori buruk kepada mereka, perbuatan ini juga memberikan kesan negatif terhadap perkembangan mereka. Ibubapa sewajarnya mengetahui tanda-tanda amaran seperti yang dibincangkan dalam artikel, “12 Tanda Anak Anda Mungkin Dibuli”. Di dalam artikel ini pula, kami akan membincangkan tindakan yang patut diambil dan cadangan kepada ibubapa sekiranya anak anda dibuli.

 

SEBELUM BERTINDAK, KUMPULKAN FAKTA!

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengenalpasti maklumat tentang apa yang telah berlaku. Apakah yang terjadi? Mengapakah perkara tersebut berlaku? Siapakah yang terlibat? Anda boleh mengumpulkan maklumat dan bukti melalui persembangan dengan anak anda. Jika mereka enggan memberitahu anda, bercakaplah dengan guru atau pengetua mereka. Anda boleh cuba berlembut apabila berbual-bual dengan anak anda supaya mereka akan mula bersikap lebih terbuka dengan anda. Anda boleh dekati anak anda dengan cara yang berikut:

Ibubapa juga boleh memantau sekiranya terdapat pertukaran dalam kumpulan kawan anak anda melalui perbualan dengan ibubapa mereka. Dengan berbuat demikian, adalah lebih senang untuk anda meneliti sekiranya anak anda diabaikan dari mana-mana jemputan untuk keluar bersama kawan-kawan mereka.

JANGAN BERTINDAK SECARA BERLEBIHAN

Sekiranya anak anda dibuli, jangan ambil tindakan secara melulu! Ya, kami faham bahawa hal ini boleh membuatkan anda sangat marah sehingga anda ingin saja masuk ke dalam sekolah untuk menghukum si pembuli. Tetapi perbuatan ini akan hanya memburukkan situasi untuk anak anda dan menjadikan anda sebagai seorang pembuli! Ingat, pembuli tersebut juga merupakan seorang kanak-kanak dan mereka mungkin tidak sedar akan perbuatan mereka adalah salah. Mungkin si pembuli juga pernah dibuli oleh pembuli lain sebelum ini?

 

DAPATKAN BANTUAN DARIPADA SEKOLAH

Sebaliknya, adalah lebih baik untuk berbincang dengan guru atau pengetua sekolah. Mereka berada dalam kedudukan yang terbaik untuk memantau anak-anak, bercakap dengan ibubapa pembuli dan jika pembulian masih berlaku, dan juga mereka mempunyai protokol sewajarnya yang mungkin melibatkan pembuli dibuang sekolah. Walaubagaimanapun, jika pembulian terus terjadi, dapatkan bantuan daripada pihak berkuasa dari luar sekolah. Pastikan anda memberitahu anak anda tentang rancangan anda dan dapatkan keizinan mereka terlebih dahulu sekiranya mereka berasa tidak selesa.

 

BERIKAN ANAK ANDA JAMINAN DAN SOKONGAN

Apabila anak anda menjadi mangsa buli, adalah penting anda untuk meluangkan lebih banyak masa bersama mereka supaya mereka tahu bahawa anda akan sentiasa berada di sisi mereka lalu berasa selamat. Biasakan memeluk anak anda dan beritahu mereka bahawa anda menyayangi mereka. Jika anak anda memberitahu anda bahawa mereka dibuli, berikan pujian kepada mereka kerana mereka telah melakukan sesuatu yang betul dengan bercakap mengenai perkara tersebut. Pastikan mereka menyedari bahawa ianya bukan salah mereka sekiranya mereka dibuli. Berikan jaminan kepada anak anda bahawa anda akan melakukan tindakan seterusnya bersama-sama.

 

GALAKKAN PERUBAHAN

Jika anak anda menghindari sukan tertentu yang pernah digemari sebelum ini, cuba memahami situasi terlebih dahulu supaya anda mengenalpasti jika anak anda dibuli oleh ahli pasukannya. Sama ada anda berjaya mengetahuinya atau tidak, jangan paksa mereka untuk terus menyertai pasukan tersebut kerana mereka ini boleh membuatkan mereka lebih takut. Anda boleh mencadangkan sukan atau pasukan lain yang boleh mereka sertai. Dengan itu, anak anda boleh menjauhkan diri dari si pembuli, sekaligus memupuk persahabatan yang baru dengan kawan mereka yang lain.

Sebagai alternatif, anda boleh juga mendaftarkan anak anda untuk aktiviti atau sukan yang tidak memerlukan mereka untuk bermain di dalam pasukan. Sebagai contoh, seni mempertahankan diri, berenang atau menari. Ini mampu menggalakkan anak anda membina keyakinan diri tanpa tekanan untuk menggembirakan rakan sepasukan mereka.

MENASIHATI ANAK ANDA UNTUK MENCARI SEORANG KAWAN YANG BAIK

Kanak-kanak yang selalu duduk bersendirian dan tidak mempunyai kawan akan mudah menjadi mangsa buli. Kehadiran seorang kawan yang baik dapat mengurangkan risiko buli kerana pembuli selalunya tidak mahu saksi melaporkan perbuatan mereka kepada guru-guru. Anak anda bukannya memerlukan seorang kawan yang boleh melawan pembuli tersebut. Sebaliknya, adalah lebih penting untuk kawan tersebut untuk menyokong mereka dan memberitahu mereka bahawa “Ini bukan salah kamu, mari kita bercakap dengan cikgu.”

 

DIDIK ANAK ANDA CARA MENANGANI SEORANG PEMBULI

Kanak-kanak yang menjadi sasaran buli selalunya lebih malu dan takut. Reaksi seorang kanak-kanak kepada ‘serangan’ pertama akan menentukan sama ada dia menjadi sasaran berulangan atau tidak. Menangis, menuruti kata si pembuli dan menunjukkan reaksi marah mungkin akan menggalakkan pembuli tersebut. Ingatkan anak anda untuk tidak melawan kerana ini hanya akan menyebabkan pembuli tersebut lebih marah. Cara terbaik untuk bertindak balas adalah dengan menunjukkan kepada si pembuli yang mereka tidak akan mendapat apa-apa faedah pun daripada membuli anak anda.

Oleh itu, ibubapa harus mendidik anak mereka supaya mereka lebih tegas dan berani berdiri untuk diri sendiri apabila dibuli. Ingat, ini tidak bermaksud anak anda perlu bergaduh kerana tentunya ini bukan cara penyelesaian yang terbaik. Ajarlah mereka untuk bertenang apabila ‘diserang’ dan tunjukkan muka dan gaya berselamba sehinggalah mereka tidak berada dalam keadaan bahaya. Jangan ketawa atau senyum kerana perbuatan ini mampu memprovokasi pembuli. Akhirnya, pembuli akan bosan dan menukar sasarannya.

Ibubapa juga boleh mengajar anak mereka untuk lebih yakin dan tegas dalam menyuruh pembuli untuk menghentikan perbuatannya. Ajarkan anak anda untuk memberitahu si pembuli bahawa dia akan melaporkan kepada guru jika perkara tersebut diulangi. Anak anda juga boleh berkata “Apa-apa lah, saya tidak peduli” lalu berjalan ke tempat lain. Jika perlukan, latih satu skrip bersama anak anda di rumah dan ajar mereka cara bercakap dengan berani dan tegas. Ibubapa juga patut ingatkan anak anda supaya mendapatkan bantuan dan sokongan dari guru atau pengetua mereka jika diganggu.

Untuk anak yang lebih kecil, ibubapa boleh menggunakan helah yang menjadikan anak anda sebagai sasaran yang kurang menarik. Contohnya, suruh anak anda berlatih melihat warna mata kawan mereka dan melakukan perkara yang sama apabila sedang bercakap dengan seorang kanak-kanak yang sedang mengganggunya. Ini akan menolong anak anda untuk menjadi lebih yakin dan berani.

 

JANGAN KURANGKAN PENGGUNAAN ALAT PERANTI ATAU RAMPAS MEREKA TANPA SEBAB YANG KUAT

Apabila ibubapa selalu ‘menghukum’ anak sebelum mengenalpasti situasi yang sebenarnya, ia akan menyebabkan anak anda enggan memberitahu apa-apa kepada anda. Sekiranya anda merampas alat peranti mereka kerana mereka terlalu terikat dengannya atau kelihatan terganggu apabila menggunakan, sudah pasti mereka tidak akan memberitahu anda akan sebab perlakuan mereka yang sedemikian kerana mereka takut dengan anda.Sebaliknya, anda perlu menunjukkan bahawa anda tidak akan mengambil peranti mereka dan betul-betul ingin memahami apa yang sedang mengganggu mereka.

 

KEPENTINGAN PRIVASI DAN ILMU TENTANG BAHAYA TALIAN

Mendidik anak anda cara menggunakan internet dengan betul dan bagaimana untuk melindungi mereka adalah satu idea yang baik. Luangkan masa untuk mengajar mereka tentang privasi dan cara melindungi privasi mereka daripada ancaman. Biar mereka menyedari dan memahami apakah pembulian siber dan isu atas talian lain seperti sexting, pedofilia, penyamaran identiti, ancaman, serta akibatnya. Anak anda juga perlu diajar bahawa cara terbaik untuk menangani perkara tersebut adalah dengan tidak membalasnya kerana ini hanya akan memburukkan keadaan. Tangkap dan simpanlah gambar mesej tersebut sebagai bukti dan laporkan kepada platform media sosial atau pihak yang berkuasa.

Read: Cabaran Ibu Bapa Zaman Digital: Apa Yang Harus Anda Lakukan?

MENELITI AKTIVITI DALAM TALIAN DAN TETAPKAN LARANGAN

Sama seperti di alam realiti, anda juga perlu melibatkan diri dalam dunia siber anak anda. Ini membantu ibubapa mengetahui apa yang sedang berlaku, menjadikannya lebih mudah untuk anda melindungi mereka daripada perkara berbahaya. Ibubapa mungkin ingin memberikan anak remaja mereka privasi untuk menggunakan alat peranti, tetapi pastikan anda telah aturkan alat peranti mereka ke tetapan kanak-kanak. Mustahak juga untuk ibubapa meneliti tingkah laku anak mereka, mengenalpasti platform, aplikasi dan laman web yang dikunjungi anak-anak. Cuba berkenalan dengan kawan-kawan anak anda di luar dan di atas talian. Ibubapa juga boleh menggunakan fungsi kawalan ibubapa yang terdapat dalam kebanyakan alat peranti untuk menyekat mana-mana aplikasi atau laman yang membahayakan anak-anak mereka.

 

MENGHUBUNGI KAUNSELOR ATAU AHLI PSIKOLOGI

Jika anak anda masih kelihatan sedih atau tertekan walaupun pembulian telah berhenti dan anda telah mencuba segala cara untuk membantu mereka, anda mungkin boleh membawa mereka berjumpa dengan kaunselor kanak-kanak atau ahli psikologi oleh sebab mereka lebih pakar dalam bidang ini.

Jika anda tidak pasti sama ada anak anda dibuli, klik pautan ini untuk mempelajari tanda amaran yang mungkin menunjukkan bahawa anak anda adalah mangsa buli. Jika sebaliknya, anda boleh membaca artikel “12 Tanda Anak Anda Mungkin Dibuli”.

Jangan lupa melanggan kami untuk mendapatkan e-book percuma yang membincangkan isu Keibubapaan Pada Era Digital!