EduReviews Blog

Prasekolah 101: Apakah Pendidikan Waldorf?

Kisah di sebalik bagaimana tercetusnya pendidikan Waldorf sedikit menarik kerana pedagogi ini bukanlah dinamakan bersempena pencetusnya. Malah, pedagogi Waldorf dicipta oleh Rudolf Steiner, seorang penulis Austria dan ahli falsafah pendidikan, yang mengembangkan falsafah rohani yang dikenali sebagai antroposofi (iaitu pemahaman tentang sifat sebenar manusia dari masa kanak-kanak hingga dewasa).

Pada tahun 1919, beliau telah dijemput oleh pemilik kilang Waldorf-Astoria, iaitu Emil Molt untuk memberi syarahan tentang falsafahnya. Dalam syarahan tersebut, beliau menekankan tentang kepentingan kewujudan sekolah komprehensif yang fokus kepada hati, minda dan tangan dalam membentuk generasi muda yang yang harmoni dan holistik. Dalam kata lain, aspek kognitif, spiritual dan fizikal perlu di ambil perhatian dalam pembelajaran kanak-kanak, terutamanya ketika mereka masih kecil. 

Pada masa tersebut, Jerman berada di dalam keadaan haru biru setelah kekalahan mereka di dalam Perang Dunia Kedua, maka komuniti tersebut sangat memerlukan sesuatu yang baru yang dapat memberi harapan kepada mereka. Oleh itu, Steiner telah diminta untuk menubuhkan Sekolah Waldorf yang pertama di Waldorf. Steiner bersetuju untuk melakukannya dengan 4 syarat – sekolah tersebut bukan hanya untuk murid lelaki sahaja, guru akan menentukan apa yang terbaik buat kelas (dengan gangguan minimum dari mana-mana badan kerajaan), jangka masa persekolahan ialah 12 tahun dan sekolah ini haruslah terbuka buat kanak-kanak dari semua latar belakang

MONTESSORI VS WALDORF

Sama seperti Montessori, beberapa tahun awal di sekolah Waldorf tidaklah terlalu tertumpu kepada pengajaran akademik sahaja.Di prasekolah Waldorf, kanak-kanak tidak digesa untuk segera mahir dalam pembacaan, penulisan dan mereka juga tidak dinilai melalui peperiksaan. Terdapat dua sebab untuk ini. Pertama, untuk memberi tumpuan lebih kepada pembelajaran holistik berdasarkan pencapaian perkembangan mereka. Kedua, bagi mengajar mereka bahawa motivasi pembelajaran tidak seharusnya datang dari kepuasan mengalahkan orang lain melalui persaingan.

Kajian terkini yang dijalankan oleh Stanford, telah membuktikan bahawa pelajar Waldorf menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan selaras peringkat negeri walaupun tidak pernah mendudukinya sebelum ini. Mereka juga menunjukkan lebih interaksi di dalam kelas dan menunjukkan tahap ponteng yang sangat rendah berbanding pelajar sekolah lain.

BELAJAR MELALUI PERMAINAN

Asasnya, prasekolah Waldorf meletakkan fokus kepada pembelajaran melalui permainan dan muzik. Anak anda akan didedahkan dengan masa bercerita, pelbagai aktiviti artistik dam mereka juga dapat bermain di dalam dan di luar kelas. Melalui masa bercerita, kanak-kanak dapat mempelajari perkataan baru dengan masa yang menyeronokkan. Pengulangan lagu dan perkataan yang diperkenalkan semasa aktviti ini membantu menguatkan memori dan mendorong mereka untuk menjadi lebih interaktif apabila mereka menyanyi dan membaca bersama guru dan rakan sekelas mereka. Kebolehan untuk memahami dan menggunakan imaginasi inilah yang akan menjadi kunci kepada penggunaan bahasa yang baik kelak, dari segi percakapan mahupun penulisan.  

Sumber: Te Ra Waldorf School

Semasa aktiviti seni, kanak-kanak akan diberi masa yang tidak terganggu untuk meneroka cara untuk menyelesaikan karya seni mereka. Selalunya, guru tidak akan menyediakan model seni untuk ditiru, membolehkan kanak-kanak Waldorf menjadi sekreatif yang mungkin dalam proses menyiapkan kerja seni mereka. Aktiviti ini juga memerlukan kanak-kanak untuk bekerja dengan kemahiran motor halus dan kasar mereka. Selain itu, pelajar juga harus memikirkan apakah bahan dan warna yang paling sesuai untuk kerja seni, sekaligus mengasah deria sentuhan, penglihatan dan juga bau mereka.

Tambahan lagi, prasekolah Waldorf juga memberi penekanan kepada waktu bermain kerana Steiner percaya bahawa persekitaran ketika bermain dapat membantu kanak-kanak untuk menjadi lebih cekap dari segi sosial. Masa bermain mengajar kanak-kanak untuk menjadi lebih empati dengan rakan-rakan mereka apabila mereka berusaha bersama-sama untuk menyelesaikan konflik, lebih bekerjasana dan mampu bertolak ansur untuk mencapai matlamat bersama. 

Sumber: Madison Waldorf School

Kesimpulannya, anda boleh lihat bahawa prasekolah Waldorf meletakkan tekanan kepada aktiviti yang menajamkan penggunaan deria dan kebolehan sosial dahulu sebelum terus fokus kepada konsept pengiraan dan pembacaan. 

Pada fasa ini, prasekolah berfungsi sebagai platform di mana kanak-kanak diperkenalkan dengan keseronokan pembelajaran. Sekolah bukanlah tempat untuk bersaing dengan rakan sebaya mereka bagi melihat siapakah yang terbaik dalam sesuatu. Jika anda rasa kaedah ini boleh memanfaatkan si kecil anda, mungkin anda ingin membuat lawatan ke prasekolah Waldorf. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang pendekatan pra-sekolah yang lain.

Fakta: Sekolah-sekolah Montessori dan Waldorf telah ditutup oleh rejim Nazi pada Perang Dunia Kedua kerana mereka enggan mengajar ideologi Hitler kepada pelajar mereka.