EduReviews Blog

Prasekolah 101: Apakah Pendidikan Reggio Emilia?

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, seorang guru muda bernama Loris Malaguzzi (1920-1994) di Reggio Emilia, Itali, telah mengembangkan satu pendekatan pendidikan untuk kanak-kanak di kawasan tersebut. Pendekatan ini terlahir daripada keinginan kolektif masyarakat Reggio Emilia yang mahukan pendidikan yang lebih baik dan progresif untuk anak-anak mereka. Dalam usahanya untuk mencipta pendekatan yang boleh memenuhi keperluan anak-anak dalam komuniti tersebut, beliau telah menyedari bahawa personaliti dan pemikiran kanak-kanak paling berkembang pada beberapa tahun terawal pembesaran mereka. Setiap kanak-kanak menggunakan cara yang berbeza untuk mengekspresikan diri mereka dan Malaguzzi memanggil cara ini ‘a hundred languages’ (seratus bahasa).

Pendekatan Reggio Emilia menjadi semakin popular apabila ia mendapat pengiktirafan dari majalah terkenal Newsweek pada tahun 1991 sebagai salah satu daripada sepuluh sekolah terbaik di dunia. Kemudian pada tahun 1997, Pusat Kanak-Kanak Prasekolah dan Kanak-kanak di Reggio Emilia telah bekerjasama dengan Sekolah Pendidikan Harvard untuk satu projek yang membincangkan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak. Kini, organisasi terkemuka seperti Google dan Bank Dunia juga telah menjadi antara penyokong terkenal bagi pendekatan Reggio Emilia. 

TIADA KURIKULUM TETAP

Apa yang membuatkan pendekatan Reggio sangat menarik adalah kerana pendidikan ini tidak mempunyai kurikulum yang tetap, peperiksaan piawaian bagi pensijilan guru, proses akreditasi dan sebagainya. Tumpuan Reggio Emilia adalah untuk membantu kanak-kanak untuk mengutarakan pengalaman mereka menerusi proses pemikiran kritis dan kerjasama dengan rakan dan guru mereka.

Maka, di prasekolah Reggio, kanak-kanak tidak mengikut kurikulum yang telah ditetapkan sepertimana sekolah lain. Pembelajaran lebih fleksibel dan kelas disesuaikan mengikut keperluan kanak-kanak. Anda akan menyedari bahawa aspek seperti membaca, menulis dan mengira tidaklah terlalu ditekankan di prasekolah ini, tidak seperti di prasekolah Montessori dan Waldorf. Hal ini kerana, pendidik Reggio percaya bahawa terdapat seratus cara berbeza di mana kanak-kanak boleh belajar. Mereka juga boleh menjadi seorang pemikir kritis melalui tarian, berlakon olok-olok, eksperimen, bermain bayangan dan lain-lain. 

Pendekatan baru ini digelar ‘emergent curriculum’. Melalui pendekatan ini, kanak-kanak, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat sekeliling akan bekerjasama dalam merancang rangka pendidikan terbaik untuk kanak-kanak di sekolah tersebut. Dengan ini, tidak peliklah sekiranya apa yang dipelajari di setiap prasekolah Reggio berbeza, kerana rangka pendidikan akan direka mengikut keperluan komuniti sekolah tersebut. 

Sumber: The One School

MENGGALAKKAN MINAT MELALUI ‘PROJEK’

Salah satu elemen paling penting buat pendidikan Reggio Emilia dikenali sebagai ‘projek’. Berlainan daripada penyampaian yang bersifat sekali, projek di sekolah Reggio umumnya kumulatif dan melihat kepada kemajuan kanak-kanak. Satu projek boleh mengambil masa sebulan, malahan setahun untuk disiapkan. Topik projek mestilah konkrit, berdasarkan minat kanak-kanak (misalnya dinosaur, planet, makanan) dan dapat dikembangkan dari masa ke semasa. Idea setiap projek boleh datang dari pelajar sendiri atau cadangan daripada guru kelas mereka. 

Sebab mengapa minat kanak-kanak sangat dititikberatkan di dalam pemilihan idea bagi projek kelas mereka adalah kerana penyelidikan telah mendapati bahawa pelajar menunjukkan pemahaman yang lebih mendalam dan mereka lebih berkeinginan untuk mengambil bahagian secara aktif jika subjek yang mereka sedang pelajari adalah sesuatu yang menarik minat mereka.

Dalam menyiapkan sesuatu projek, guru Reggio akan membantu kanak-kanak dalam menentukan arah yang ingin diambil oleh mereka, bagaimana untuk mencari bahan dan informasi tentang topik yang dipilih, medium apakah yang paling sesuai untuk penyampaian tersebut serta bertanyakan soalan untuk dijawab oleh pelajar dengan bantuan ibu bapa mereka di rumah. 

Sumber: Highland Plaza Preschool

TUGAS GURU

Guru memainkan peranan yang penting di sekolah Reggio kerana mereka bukan saja membimbing pelajar, mereka juga dalam proses pembelajaran. Guru harus mendengar dan memerhati prestasi murid secara teliti, memberi murid maklum balas mengenai prestasi mereka, mendokumen kerja seni dan projek murid dan sentiasa mengingatkan murid bahawa usaha mereka dihargai. Melalui penelitian kerja setiap murid inilah, guru dapat mempelajari apa kelemahan murid dan aspek pengajaran manakah yang perlu ditambahbaik supaya murid tersebut dapat memahami subjek tersebut. Pendokumentasian juga memudahkan guru untuk memaklumkan ibu bapa tentang kemajuan atau kelemahan anak mereka di sekolah. Perkara ini sekaligus mendorong ibu bapa untuk lebih memainkan peranan dalam kehidupan anak mereka di sekolah

Interaksi dengan murid sebenarnya sangat penting dalam kelas Reggio kerana ini memberi ruang untuk guru memerhatikan murid-muridnya dan berfikir tentang apakah yang boleh diajar kepada murid-murid tersebut di dalam kelas seterusnya. Guru-guru Reggio juga selalu bertanyakan soalan terbuka kepada murid mereka supaya mereka lebih banyak berfikir secara kritis. 

Sungguhpun bilangan sekolah Reggio Emilia masih sedikit jika ingin dibandingkan dengan prasekolah Montessori dan Waldorf, sekiranya anda mencari sesuatu yang berlainan dan bukan konvensional buat anak anda, anda semestinya harus membuat lawatan ke sekolah Reggio Emilia dan lihat sendiri cara pembelajaran mereka. Mana tahu ini mungkin sesuatu yang anda akan sukai? Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pendekatan prasekolah yang ada di luar sana.