Melihat seorang wanita hamil dengan perutnya yang besar boleh mencetuskan soalan seperti ‘Kenapa perut perempuan itu besar?” Dan apabila anda menjawab “Oh, ada baby di dalam perut perempuan itu.”, anda mungkin boleh menjangkakan soalan seterusnya untuk berbunyi “Macam mana baby boleh masuk ke dalam perut?”, “Perempuan tu makan baby ke?”, “Baby datang dari mana?.”
Ramai ibu bapa berasa sangat sukar untuk menjawab soalan-soalan yang menduga ini terutama sekali jika anak-anak mereka masih kecil. Tetapi sebenarnya, lebih muda anak tersebut, lebih mudah untuk menjawab soalan mereka kerana minda kanak-kanak tidaklah serumit minda orang dewasa. Pada usia ini, mereka sangat tinggi dengan sifat ingin tahu tetapi mereka tidak berfikir dengan terlalu mendalam, maka jika anda beri mereka penjelasan yang mudah, selalunya itu sudahpun memadai. Walau bagaimanapun, jawapan anda juga patut mempersiapkan mereka untuk dunia nyata. Sudah tentu anda boleh tapis penjelasan anda tetapi anda harus cuba bersikap jujur dalam menerangkan soalan yang ditanya.
Dengar soalan mereka dengan teliti dan ambil masa untuk memikirkan jawapan anda
Sangat kurang kemungkinannya bagi seorang kanak-kanak di bawah usia 7 tahun untuk bertanyakan perihal seks. Oleh itu, penting untuk anda dengar soalan yang ditanya anak anda dengan teliti, pertimbangkan konteks soalan tersebut, dan sesuaikan jawapan mengikut umur anak anda. Kadang kala sebagai ibu bapa, kita mudah melatah. Anak kita bertanyakan soalan yang senang sahaja, tetapi kita pula yang berfikir secara berlebihan.
Namun sekiranya anda memerlukan masa untuk memikirkan jawapan, mungkin anda boleh tangguhkan daripada menjawab atau cuba jawab soalan tersebut dengan kehadiran pasangan anda. Anda boleh kata pada anak anda “Soalan yang menarik, tapi rasanya lebih baik kalau ibu dan ayah terangkan soalan ini sekali.” Jika anak anda bertanya mengapa anda tidak boleh menerangkannya sendiri, anda boleh jawab “Sebab seorang bayi kan anak ibu dan ayah, jadi dua-dua pihak kenalah jelaskan sekali.” Dengan cara ini, anda akan mempunyai masa yang lebih untuk memikirkan jawapan yang paling sesuai dengan pertanyaan mereka. Kalau anda bernasib baik, ada kemungkinan anak anda akan lupa mengenai soalan tersebut, jadi anda boleh simpan penjelasan anda buat lain kali!
Cuba ketahui apa yang mereka ketahui
Tanyakan dahulu kepada anak anda jika mereka dapat mengagak dari mana datangnya bayi, dan dengar jawapan mereka. Dengan cara ini, anda akan lebih megetahui tahap pemahaman anak anda mengenai perkara itu dan membolehkan anda memberi jawapan yang sesuai dengan tahap pengetahuan mereka. Sekiranya anak anda masih kecil, ada kemungkinan mereka akan berfikir bahawa bayi muncul secara magik, atau bayi lahir daripada hasil ciuman atau mereka juga mungkin tidak mempunyai sebarang idea sama sekali. Peranan anda sebagai ibu bapa adalah untuk mengesahkan andaian anak anda dan memberikan mereka penjelesan yang bersesuaian. Hal ini kerana, jika mereka bertanya, maknanya mereka juga tidak berapa yakin akan cerita yang mereka dengari atau tanggapan mereka sebelum ini. Namun begitu, ini bukanlah bermaksud anda perlu terus menceritakan perihal seks kepada mereka.
Bagi mereka yang berusia empat tahun ke bawah, anda boleh memberikan mereka jawapan yang ringkas seperti, “Bila seorang lelaki dan perempuan sayang antara satu sama dengan lain, macam ibu dan ayah, salah satu cara untuk menunjukkan rasa sayang itu adalah dengan mempunyai bayi. Adik masa kecil dulu pun bayi juga. Lahir di dunia sebab ibu dan ayah sayangkan adik.”
Bagi kanak-kanak yang lebih besar yang mahukan lebih perincian tentang bagaimanakah bayi boleh tercipta, anda boleh terangkan pada mereka dengan menggunakan perkataan yang mudah, dan terangkan dengan cara yang paling mudah untuk difahami.
Usah berkias
Apa paling penting dalam mendidik anak kita tentang perihal ini ialah keterbukaan dan keselesaan dalam membincangkannya. Elakkan daripada menggunakan bahasa kiasan apabila merujuk kepada bahagian sulit kerana ini hanya akan membuatkan anak anda berfikir bahawa ini adalah sesuatu yang memalukan dan tidak patut menjadi bahan bicara. Selari dengan adab timur, benar perlu ada rasa segan apabila bercakap tentang alat sulit tetapi dalam mendidik, tidak ada salahnya jika anda merujuk kepada alat sulit dengan namanya, sama seperti bahagian tubuh yang lain. Anda juga boleh mengambil kesempatan ini untuk mengajar anak anda tentang persetujuan apabila sesuatu perbuatan itu melibatkan alat sulit mereka. Perkara ini adalah supaya anak anda tahu bahawa alat sulit mereka tidak boleh disentuh dan dilihat orang lain sesuka mereka.
Perkenalkan anak anda kepada perkataan seperti uterus atau rahim, faraj, sperma, ovum, dan gunakan bahan bantuan pendidikan seperti buku cerita bergambar untuk memudahkan pemahaman mereka. Dengan memahami kedudukan organ-organ ini, lebih mudah untuk anda menerangkan proses kehamilan dan kelahiran. Anda juga boleh beritahu mereka yang bayi bukan keluar melalui punggung (ya, ada kanak-kanak yang berfikir sedemikian!) dan kedudukan bayi yang sebenarnya berada di dalam rahim, bukannya perut.
Terangkan secara teknikal
Daripada memfokuskan kepada perbuatan persetubuhan itu sendiri, adalah lebih baik sekiranya anda menerangkan mekanisme kehamilan secara umum dahulu. Bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun, anda boleh beritahu mereka “Dalam rahim ibu ada satu benih. Semakin benih itu membesar, ia akan bertukar menjadi bayi. Bayi ini akan berehat di dalam rahim hinggalah ianya sedia untuk keluar. Selalunya, selepas 9 bulan, apabila bayi itu sudah bersedia, barulah ibu akan teran bayi tersebut keluar dari bahagian antara dua kaki ibu.”
Apabila mereka sudah sedikit besar, anda boleh mula untuk menggunakan perkataan yang lebih khusus apabila bercakap mengenai kehamilan. Pastikan anda bermula daripada tempat terakhir anda berhenti bercakap mengenainya dan pastikan tahap pemahaman mereka kerana ada kemungkinan mereka telah mempelajari atau terdengar perihal ini daripada orang lain. Saat anda rasa mereka sudah bersedia, anda boleh terangkan pada mereka bagaimana bayi tercipta apabila sperma bertemu dengan ovum, yang sperma itu datangnya dari zakar, bayi keluar daripada faraj dan sebagainya. Di bawah ini adalah buku yang kami syorkan sekiranya anda ingin mula memperkenalkan topik tersebut kepada si kecil anda.
Jadilah tempat anak anda boleh berdialog secara telus dan terbuka
Ramai di antara kita yang membesar tanpa sebarang penjelasan mengenai seks dan kehamilan kerana ibu bapa kita tidak selesa untuk bercakap mengenainya. Walau bagaimanapun, mustahak bagi kita untuk mendidik anak kita tentang perkara ini dari usia muda supaya mereka tahu bahawa mereka boleh datang kepada kita sekiranya mereka mempunyai seberang kemusykilan mengenai topik yang dikira sensitif ini. Anak-anak kita akan membesar dan akan membuat keputusan buat diri mereka sendiri di kelak hari, tetapi jika kita sendiri pun enggan berdiskusi dengan anak kita secara telus dan terbuka, nescaya anak kita juga tidak akan berani untuk bercakap mengenainya kerana risaukan stigma. Mempersiapkan anak kita dengan didikan seks yang secukupnya tidak patut menjadi sesuatu yang kita malukan.
Dengan tips-tips di atas, kami berharap agar anda boleh sedikit sebanyak mempersiapkan diri anda dengan jawapan yang sesuai bagi soalan “Dari mana datangnya bayi?”. Klik di sini jika anda berminat untuk mengetahui tentang Pendidikan Seks Kanak-kanak di Malaysia.