EduReviews Blog

Aktiviti-aktiviti Yang Dapat Mengembangkan Pemikiran Kritis Anak Anda

Pemikiran kritis merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menganalisis situasi secara rasional dan memahami hubungan antara sebab dan akibat. Untuk berdaya saing dalam dunia yang pantas berkembang ini, anak-anak kita perlu mempunyai kemahiran berfikir kritis yang baik. Mereka harus berupaya mengemukakan soalan yang relevan dan memikirkan cara menyelesaikan masalah secara sistematik daripada hanya menerima maklumat secara membuta tuli. Berita baiknya, kemampuan ini dapat diasah! Berikut adalah beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan pemikiran kritis anak-anak anda.

Terokai pelbagai jenis permainan teka-teki

Susun suai gambar atau teka-teki jigsaw ialah kaedah yang baik untuk meningkatkan kemahiran kesedaran ruang bagi anak anda. Ketika mereka sedang menyelesaikan susun suai gambar, anak anda perlu memutar kepingan gambar tersebut dan mencari bagaimana kepingan yang mereka sedang pegang boleh dihubungkan dengan kepingan yang lain. Ini juga membantu untuk menajamkan memori mereka kerana mereka perlu menghafal rupa bentuk keseluruhan teka teki. 

Sudoku juga merupakan teka-teki lain yang dapat meningkatkan daya tumpuan dan pemikiran logik anak anda. Untuk menyelesaikannya, anak anda perlu memahami corak nombor dahulu barukah mereka boleh mengisi petak kosong dengan digit yang betul. Proses percubaan dan kesilapan juga secara tidak sedar akan melatih minda mereka untuk mengenali corak nombor dengan lebih cepat. Sekiranya anda ingin menjadikan sudoky lebih mencabar, anda boleh tetapkan masa untuk mereka selesaikan teka-teki tersebut. Setelah mereka memahiri tahap tersebut, mungkin ada boleh berikan mereka teka-teki yang lebih sukar dan kurangkan masa untuk mereka menyelesaikannya. Semakin sukar sesuatu tahap sudoku itu, semakin rumitlah corak kesimpulannya. Kesannya, anak anda memerlukan tahap pemikiran yang lebih tinggi untuk menyelesaikan teka-teki ditahap ini. 

Teka-teki silang kata juga merupakan satu metod luar biasa untuk memperluas perbendaharaan kata anak anda. Sekiranya mereka tidak mengetahui perkataan untuk soalan tersebut, mereka sama ada perlu meminta bantuan daripada orang lain, merujuk kepada kamus ataupun mencari informasi di atas talian untuk mendapatkan jawapannya. Sebenarnya, teka-teki silang kata ini tidaklah semudah yang disangka!

Cabar permainnan papan strategik

Dengan kepelbagaian permainan papan di luar sana, anda pastinya dimanjakan dengan pilihan. Permainan strategik tradisional seperti catur, dapat memperkuat kemampuan pemainnya untuk mengesan corak, meramalkan potensi pergerakan dan merancang pergerakan lawan seterusnya. Permainan ini umumnya juga dikenali dapat meningkatkan IQ. Permainan popular yang lebih baru seperti Cluedo, memerlukan anak-anak anda menggunakan pemikiran deduktif mereka untuk mengetahui siapakah pembunuh dalam permainan tersebut dengan menghubungkan petunjuk yang terdapat pada setiap giliran. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai permainan papan yang menyeronokkan, anda boleh baca artikel di bawah.

Baca: Permainan Papan Untuk Dimain Bersama Anak Anda

Buat aktiviti lakon peranan penyelesaian masalah

Lakon peranan atau role-play merupakan satu kaedah yang sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran berfikir dan berkomunikasi secara kritis. Untuk mencabar kemahiran mereka menyelesaikan masalah, ajak mereka untuk lakon peranan dan beri mereka satu situasi yang mereka boleh fahami. Anak-anak yang lebih besar mungkin sedikit malu untuk berlakon dengan anda, tetapi kanak-kanak yang lebih kecil sangat suka apabila diberikan peranan untuk dilakonkan. Mungkin anda boleh tanya pada mereka apa yang akan mereka lakukan dalam situasi yang berbeza, misalnya, ketika seseorang yang tidak dikenali mendekati mereka, atau apa yang harus mereka lakukan jika mereka melihat kucing terperangkap di dalam longkang. Kemudian, kongsikan cara anda anda menyelesaikan masalah tersebut dan mengapa. Untuk menjadikan lakon peranan ini lebih seronok, anda juga boleh mencadangkan peranan dewasa kepada mereka!

Baca: AKTIVITI MENARIK UNTUK DILAKUKAN BERSAMA ANAK ANDA DI RUMAH

Adakan malam tontonan filem bersama anak anda dan minta mereka ulas filem tersebut

Dengan menonton filem, anda memberi peluang kepada anak-anak anda untuk menganalisis apa yang berlaku dalam cerita tersebut. Oleh itu, daripada hanya menontonnya secara pasif, anak-anak anda harus memikirkan apa yang mereka sukai, tidak sukai atau didapati menarik dalam filem itu. Anda juga boleh mengajukan beberapa soalan seperti, “Apa yang adik dapat belajar dari cerita tadi?”, “Adik rasa perkara tadi terjadi dalam kehidupan sebenar atau tidak?”, “Watak mana yang adik rasa paling sama dengan diri adik? Kenapa?” Ibu bapa sekalian, ingat, pemikir kritis adalah seseorang yang aktif berfikir! Aktiviti ini sangat bagus untuk anak anda kerana mereka juga dapat memperoleh pandangan dari orang lain dan membandingkan pandangan tersebut dengan apa yang mereka sendiri fikirkan. 

Tidak kira apa jua jalan yang anak-anak kita pilih pada masa depan, pemikiran kritis sangat mustahak dalam membantu mereka menilai pilihan dan situasi mereka. Dengan pemikiran kritis, anak-anak kita dapat membuat keputusan yang lebih baik dan menjadi lebih yakin pada diri mereka sendiri pada masa hadapan. Apapun, pastikan anda juga terlibat dalam aktiviti di atas dengan anak-anak mereka kerana mereka semestinya lebih gembira apabila anda meluangkan masa dengan mereka.